Sabtu, 29 Februari 2020

Muhyiddin diingatkan laksana tanggungjawab ikut syariat

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

 

Kembalikan perpaduan, junjung tinggi Perlembagaan, patuh 'rule of law'


BANGI- – Gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) merakamkan tahniah kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin atas pelantikan beliau sebagai Perdana Menteri kelapan.

Sebagai pemimpin negara yang baharu, Amir ISMA, Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman mengingatkan Muhyiddin untuk menunaikan tanggungjawab mengikut syariat Allah serta menjunjung tinggi Perlembagaan di samping patuh kepada prinsip ‘rule of law’.

Pemimpin gerakan Islam itu berkata, rakyat tidak akan melepaskan perdana menteri baharu itu sekiranya beliau gagal melaksanakan tanggungjawab dengan amanah.

“Selain itu, kembalikan maruah kerajaan dengan melaksanakan dasar-dasar yang betul. Perdana Menteri kelapan juga perlu mengembalikan perpaduan rakyat atas kitab Allah dan sunnah Rasulullah ﷺ,” kata beliau.

Teka-teki siapa perdana menteri kelapan terjawab hari ini apabila Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, berkenan melantik Muhyiddin menggalas jawatan itu.

Menerusi kenyataan media Istana Negara yang dikeluarkan jam 4.29 petang tadi, Datuk Pengelola Bijaya Diraja, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, istiadat pengurniaan surat cara pelantikan dan mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri akan diadakan 10.30 pagi esok di Istana Negara.

“Hari ini, Istana Negara menerima senarai pencalonan nama-nama bakal Perdana Menteri daripada ketua-ketua parti politik yang mempunyai wakil dalam Dewan Rakyat dan Ahli Dewan Rakyat yang bebas.

“Proses ini lanjutan titah Yang di-Pertuan Agong, di mana ketua parti politik dan ahli Dewan Rakyat yang bebas mengemukakan pencalonan nama ahli Dewan Rakyat sebagai bakal Perdana Menteri.

“Selepas mendapat representasi semua, pada hemat Seri Paduka, Ahli Dewan Rakyat yang mungkin mendapat kepercayaan majoriti ialah Tan Sri Mahiaddin (Muhyiddin) Md Yassin yang juga Ahli Parlimen Pagoh,” katanya.

Ahmad Fadil berkata, perlantikan Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebagai Perdana Menteri itu, dibuat selaras Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.


Tiada ulasan: