Isnin, 24 Februari 2020

LANGSUNG: Pemimpin Umno, PAS bermesyuarat di PWTC

WARTAWAN MALASIAKINI

LANGSUNG | Dengan pelbagai perkembangan semasa yang berlaku pantas dalam negara sejak semalam, Malaysiakini membawakan laporan langsung mengenainya di sini.

Ikuti laporan wartawan kami mengenai gerakan penjajaran baru politik Malaysia di sini.

LANGSUNG

9.40 malam: Setiausaha politik Azmin Ali, Hilman Idham dilihat masuk ke bangunan yang menempatkan ibu pejabat Bersatu.

Hilman, yang juga ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gombak Setia, kelihatan cuba mengelak bercakap dengan media ketika berjalan masuk.

Bagaimanapun, apabila ditanya tentang kehadirannya di situ, dia hanya berkata dia hadir "untuk mesyuarat".



9.30 malam: Antara pemimpin Umno yang dilihat hadir ialah presiden parti, Ahmad Zahid Hamidi, naib presiden Ismail Sabri, bekas perdana menteri Najib Razak, bekas menteri Mahdzir Khalid, Ahli Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman dan Ahli Parlimen Baling Abdul Azeez Abdul Rahim.

Presiden PAS Abdul Hadi Awang, timbalan presiden Tuan Ibrahim Tuan Man dan setiausaha agung Takiyuddin Hassan juga turut kelihatan.

Tajuddin menolak untuk menjawab soalan pemberita apabila ditanya berhubung pertemuan malam ini.

Media tidak dibenarkan masuk ke dalam restoran yang menjadi tempat pertemuan itu diadakan. Pengawal peribadi dan anggota keselamatan dilihat menjaga pintu masuk.


9.10 malam: Bekas menteri pendidikan Maszlee Malik menafikan beliau keluar Bersatu.

Ketika diajukan pemberita berhubung spekulasi itu, Maszlee berkata: "Saya mahu masuk pejabat Bersatu sekarang, kenapa saya mahu keluar? Bila saya keluar?" katanya sambil tersenyum.



8.30 malam - Sekumpulan kira-kira 30 belia di luar ibu pejabat Bersatu di Petaling Jaya menjeritkan slogan "Hidup Tun" merujuk kepada Dr Mahathir Mohamad, ketika satu-satu pemimpin Bersatu tiba untuk menghadiri mesyuarat majlis tertinggi parti itu.

Bagaimanapun, Mahathir yang meletakkan jawatan sebagai pengerusi Bersatu hari ini tidak kelihatan.
Kumpulan itu turut bersorak apabila Ketua Pemuda Bersatu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tiba.

Pemimpin Bersatu yang kelihatan ialah Muhyiddin Yassin, Redzuan Yusof, Syed Saddiq Abdul Rahman, Rina Harun, Marzuki Yahya, Maszlee Malik, Rais Yatim, Wan Saiful Wan Jan, Rafiq Naizamohideen, Mukhriz Mahathir.

Sementara itu, The Malaysian Insight melaporkan bahawa pemimpin parti Pakatan Harapan - Presiden PKR, Anwar Ibrahim, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, dan Presiden Amanah Mohamad Sabu - sedang bermesyuarat di lokasi yang tidak didedahkan.

Terdahulu, mesyuarat majlis presiden Pakatan Harapan yang dijadualkan pada petang ini telah ditangguhkan sehingga esok. Masa dan tempat baru untuk mesyuarat itu belum diumumkan.

Turut difahamkan bahawa penyokong bekas timbalan presiden PKR Mohamed Azmin Ali berkumpul di sebuah hotel di Kuala Lumpur.



7:30 petang: Jurucakap Gerakan memaklumkan media bahawa Presiden Gerakan Dominic Lau akan keluar dalam masa 10 minit, tetapi tidak ingin mengemukakan sebarang kenyataan.

Jurucakap tersebut turut berkata bahawa, Lau mempunyai hal kecemasan yang menyebabkan mesyuarat tersebut terpaksa ditangguh buat seketika.

Bagaimanapun, sehingga pukul 8:00 malam, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh Gerakan.



7.25 petang: Pulau Pinang komited kepada Pakatan Harapan dan akan terus mentadbir kerajaan negeri secara bertanggungjawab seperti yang diputuskan oleh rakyat, kata Ketua Menteri Chow Kon Yeow.

Dalam satu kenyataan ringkas petang ini, Chow berkata, mandat rakyat adalah "suci dan mesti dihormati" oleh semua.

"Kerajaan Pulau Pinang terus menyokong kepimpinan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri di bawah Pakatan Harapan," kata Chow.



7.15 petang: Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali mengesahkan mengumumkan bahawa Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah berkenan melantik Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri interim.

Menerusi satu kenyataan, beliau memaklumkan bahawa Seri Paduka juga berkenan menerima perletakan perdana menteri tetapi memutuskan bahawa Dr Mahathir harus terus menerajui negara sehingga kerajaan baru dibentuk.

Terdahulu, Mahathir mengadap Seri Paduka di Istana Negara di Kuala Lumpur.

Sambungan berita klik di sini. 

Tiada ulasan: