Ahad, 23 Februari 2020

Kerajaan baru: Penyokong Anwar adakan majlis salat hajat, doa selamat



Penyokong Anwar pada majlis salat hajat, bacaan Yasin dan 
doa selamat di kediamannya di Segambut malam di sebalik cakap-
cakap mengenai pembentukan kerajaan baru.

KUALA LUMPUR: Di sebalik desas-desus akan berlakunya rombakan besar Kabinet dan penjajaran baru politik tersebar luas, presiden PKR, Anwar Ibrahim bersama kumpulan penyokongnya mengadakan majlis salat hajat, bacaan Yasin dan doa selamat bermula selepas maghrib di kediamannya di Segambut, di sini.

Sebelum majlis bermula petang tadi, beberapa pemimpin kanan PKR dilihat hadir, antaranya setiausaha agung, Saifuddin Nasution Ismail; pengarah komunikasi PKR, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil; Nik Nazmi Nik Ahmad, Lee Boon Chye, Dr Xavier Jayakumar, Abdullah Sani, Wong Cheng.Mereka kemudian keluar meninggalkan kediaman Anwar kira-kira jam 6 petang.

Sementara itu, seorang penyokong Anwar ketika ditemui berkata, majlis salat hajat dan doa selamat itu diadakan setiap minggu, dan bukanlah sesuatu yang baru.

“Majlis macam ini ada setiap minggu pada hari Ahad. Cuma malam ini rasa lain macam sebab macam-macam cerita kita dengar. Kata nak tukar kerajaan dan sebagainya,” kata beliau yang mahu dikenali sebagai Razak.

Hadir sama ialah, Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga timbalan perdana menteri.

Dalam pada itu, seorang lagi penyokong Anwar berkata, beberapa pemimpin PKR yang menyokong Anwar dikatakan akan mengadakan mesyuarat kira-kira jam 11 malam ini.

“Malam nanti saya difahamkan, mereka akan buat mesyuarat, saya tak boleh cerita lebih,” katanya yang enggan dinamakan.

FMT bagaimanapun, tidak dapat mengesahkan perkara itu dan sedang mendapatkan pengesahan daripada pimpinan PKR.

Lebih 100 penyokong Anwar hadir pada majlis itu.

Pihak media yang berkumpul di pekarangan kediaman tersebut sejak jam 3 petang tidak dibenarkan masuk dan diminta menunggu di luar.

“Malam ini tiada sidang media daripada Anwar,” kata seorang pembantu beliau.

Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad dijangka ke Istana Negara untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong dan memaklumkan tentang perubahan dalam kerajaan gabungan pimpinan beliau.

Berpuluh-puluh kenderaan yang diringi kawalan polis dilihat memasuki pekarangan istana di sini sejak jam 5.30 petang, sementara pemberita berkumpul di luar pintu utama.

Ini merupakan kunjungan kali kedua Mahathir ke Istana Negara bagi memaklumkan tentang perubahan kerajaan persekutuan selepas beliau menunggu beberapa jam pada Mei 2018 untuk mengangkat sumpah jawatan sebagai perdana menteri ketujuh.

Dalam pada itu, di ibu pejabat Umno di PWTC, FMT difahamkan presiden parti itu Ahmad Zahid Hamidi meninggalkan mesyuarat khas Majlis Tertinggi (MT) Umno untuk pergi ke istana.

Sejak awal pagi, Lembah Klang ‘sibuk’ dengan cakap-cakap bahawa Mahathir akan memimpin satu langkah politik untuk menendang keluar DAP daripada Pakatan Harapan (PH) yang berjaya merampas kuasa kerajaan berikutan kemenangan bersejarah gabungan politik itu pada pilihan raya umum Mei 2018.

Pagi ini pemimpin tertinggi PPBM mengadakan mesyuarat di ibu pejabat parti itu di Yayasan Selangor, Petaling Jaya, sementara penyokong timbalan presiden PKR Mohamed Azmin Ali mengadakan mesyuarat berasingan di hotel Sheraton yang berdekatan.

Perubahan politik di Putrajaya akan menamatkan penglibatan DAP dalam kerajaan persekutuan, sementara parti berteraskan orang Melayu dijangka memainkan peranan dominan dalam gabungan baru politik yang bakal muncul.

Ketegangan semakin memuncak dalam Pakatan Harapan (PH) ketika PKR, DAP, dan Amanah terus menekan Mahathir supaya menetapkan tarikh penyerahan kuasa kepada presiden PKR, Anwar Ibrahim.

Perkembangan hari ini berlaku kurang 48 jam selepas sidang media pada tengah malam Jumaat, yang menyaksikan Mahathir secara tegas mengumumkan bahawa beliau masih berkuasa dan rakan kongsi dalam PH memberi kepercayaan kepadanya untuk terus kekal sebagai perdana menteri selagi dia mahu.

Tiada ulasan: