Jumaat, 28 Februari 2020

Kenyataan Tun M Amat Tidak Wajar, Dahului Majlis Raja-Raja Melayu

Farhana Malek




KUALA LUMPUR – Pengamal Undang-undang, Adnan Seman melahirkan rasa terkejut dengan tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad selaku Perdana Menteri (PM) Interim ekoran mengeluarkan kenyataan yang dianggap tidak wajar sama sekali.

Dilaporkan, Dr Mahathir membuat kenyataan bahawa Yang di-Pertuan Agong (YDPA) tidak menemui mana-mana ahli Parlimen yang mempunyai majoriti mudah untuk dilantik sebagai PM maka satu sidang khas pada 2 Mac 2020, Isnin depan akan diadakan bagi memilih PM sedangkan Majlis Raja-Raja Melayu hanya akan bersidang di Istana Negara hari ini berkaitan kemelut politik negara.
“Majlis Raja-Raja belum lagi bersidang maka tindakan mengeluarkan kenyataan sebegini adalah tidak wajar sama sekali,” katanya dalam kenyataan menerusi Facebooknya, malam tadi.


Tegasnya, Kenyataan Tun M ini sebenarnya bercanggah dengan Perkara 43(2)(a), (4) dan Perkara 55 (1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan dan keputusan Mahkamah Persekutuan di dalam kes DS Ir Hj Mohammad Nizar Jamaluddin v DS Zambry Abdul Kadir; Peguam Negara (Pencelah) [2012] 6 MLRA 259.

“Peruntukan-peruntukan Perlembagaan di atas memberikan kuasa kepada YDPA untuk terus membubarkan Parlimen apabila tiada mana-mana ahli Parlimen yang mempunyai majoriti mudah untuk dilantik sebagai PM. Ini sangat jelas.”

Malah jelasnya, Mahkamah Persekutuan di dalam kes yang dinyatakan di atas telah memutuskan:

Persoalan sokongan majoriti mudah ke atas mana-mana ahli Dewan Undangan Negeri (di dalam kes ini Ahli Parlimen) boleh ditentukan di Istana dan tidak semestinya di Dewan Undangan Negeri (di dalam kes ini Dewan Rakyat).

“Maka setelah YDPA menentukan tiada mana-mana ahli Parlimen mempunyai sokongan majoriti mudah di Istana Negara dengan menemui seorang demi seorang ahli Parlimen tiada lagi keperluan di sisi undang-undang untuk satu persidangan khas Dewan Rakyat bagi tujuan itu,” katanya lagi.

Dilaporkan, hari ini Majlis Raja-Raja dijadual mengadakan mesyuarat khas di Istana Negara, sebelum solat Jumaat.

Keputusan daripada mesyuarat antaranya difahamkan berhubung situasi politik terkini negara, termasuk kemungkinan yang sedang dalam pertimbangan raja-raja Melayu dan Yang di-Pertuan Agong, antaranya meneruskan kerajaan baharu, serta pembubaran Dewan Rakyat.

Sementara itu, semalam Dr Mahathir mengesahkan persidangan khas Dewan Rakyat akan diadakan pada 2 Mac bagi menentukan calon yang mendapat majoriti untuk menjadi perdana menteri baharu.

Dr Mahathir selepas mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi 2020 di Putrajaya memaklumkan Yang di-Pertuan Agong menitahkan forum yang tepat untuk memilih Perdana Menteri adalah di Parlimen selepas Seri Paduka mendapati tiada calon yang mempunyai majoriti ketara.

Beliau berkata sekiranya persidangan khas itu gagal mencapai keputusan, pilihan raya mengejut akan diadakan. – UMNO Online

Tiada ulasan: