Rabu, 26 Februari 2020

ARMADA tolak kerjasama dengan UMNO – Syed Saddiq

Kasthuri Jeevendran
MGF23022020_MAJLIS-MAKAN-MALAM-MUAFAKAT-PARLIMEN07-1
Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman hadir pada Majlis Makan Malam Muafakat Ahli Parlimen di Hotel Sheraton, Petaling Jaya. foto AFFAN FAUZI,


KUALA LUMPUR – ARMADA Bersatu tidak akan sesekali bekerjasama dengan UMNO dalam membentuk kerajaan baharu yang dianggap sebagai satu pengkhianatan mandat rakyat.

Ketuanya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman senada dengan pendirian Tun Dr. Mahathir Mohammad yang menolak kerjasama UMNO secara ‘en-bloc’ yang diterajui oleh Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

“Tidak mungkin kami akan bersekongkol dengan mereka yang telah mencalarkan imej bangsa Melayu dengan merompak dan mengkhianati amanat rakyat sewaktu ditampuk kuasa.

“Ini merupakan satu pengkhianatan kepada mandat rakyat dan prinsip perjuangan Bersatu.

“ARMADA akan terus mempertahankan kebenaran dengan mengangkat suara rakyat sebagai suara keramat,” katanya dalam satu kenyataan selepas bermesyuarat sebentar tadi di ibu pejabat Bersatu di Yayasan Selangor.

Semalam, Dr Mahathir membuat satu keputusan mengejut dengan meletakkan jawatan beliau sebagai Perdana Menteri ketujuh.

Bagaimanapun, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah melantik Tun Mahathir sebagai Perdana Menteri interim.

Dr Mahathir juga mengumumkan meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) berkuat kuasa serta-merta.

Dalam pada itu, semasa mesyuarat tadi, ARMADA telah mengambil satu ketetapan untuk menyokong Dr Mahathir untuk terus kekal menjadi Perdana Menteri bagi mengetuai pentadbiran negara demi kepentingan dan kemakmuran negara. – MalaysiaGazzete

Tiada ulasan: