Rabu, 26 Februari 2020

Ahmad Maslan ramal pembentukan kerajaan PH2.0 tergantung

Wartawan MalaysiaGazette
MGF23022020_MESYUARAT-MT-UMNO_19
Ahmad Maslan 
 

KUALA LUMPUR – Keputusan pembentukan kerajaan baharu dijangka tergantung kerana Tun Dr. Mahathir Mohamad mahu pun Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak mendapat majoriti mudah yang diperlukan.

Datuk Ahmad Maslan meramalkan sebanyak 92 ahli parlimen mungkin menyokong Anwar untuk dilantik sebagai Perdana Menteri.

Manakala 61 lagi ahli parlimen semalam tidak menyokong Mahathir yang mahu bersama DAP dan minta Parlimen dibubarkan segera.

Ahli Parlimen Pontian itu berkata, berdasarkan pertemuannya dengan ahli-ahli parlimen Warisan semalam, hanya sembilan sahaja menyokong  Mahathir selain 26 ahli parlimen daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan 11 ahli parlimen dari kem Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Manakala seramai 12 lagi ahli parlimen dari Gabungan Parti Sarawak mungkin memberi sokongan kepada Mahathir.

Ini bermakna hanya 58 orang sahaja menyokong Mahathir, katanya.

“Maka rancangan PH2.0 atau kerajaan Mahathirisme akan gagal. Anwar tidak cukup kerusi. Tun M tidak cukup kerusi,” ramal Ahmad dalam satu kenyataan di media sosialnya hari ini.

Yang di-Pertuan Agong telah memutuskan untuk menemui semua 222 Ahli Parlimen bagi mendapatkan pengesahan sokongan penubuhan kerajaan baharu.

Pertemuan itu dijangka selesai hari ini apabila baki 132 orang ahli parlimen akan membuat pendirian masing-masing.

Namun jika kumpulan yang menyokong Anwar (92 ahli parlimen) menyokong Mahathir, maka PH2.0 akan berjaya.

“Lebih kurang muka-muka yang sama dalam PH1.0 iaitu pimpinan rejim DAP-PH setahun sembilan bulan yang telah runtuh masih ada dalam kabinet. Apa faedah yang dicapai? Tiada!,” ujarnya.

Oleh itu, katanya, keputusan paling tepat sekarang ialah sebagaimana keputusan Muafakat Nasional iaitu membubarkan parlimen dalam masa yang terdekat. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: