Jumaat, 31 Januari 2020

WHO isytihar coronavirus kecemasan global

sitifatimah

 

Bimbang virus Wuhan akan terus merebak ke negara lain

BEIJING – Selepas wabak Wuhan meragut nyawa 170 penduduk China dan merebak ke 20 negara lain, akhirnya Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengisytiharkan coronavirus sebagai kecemasan kesihatan global.

Ketua Pengarah WHO, Tedros Adhanom Ghebreyesus dalam satu kenyataan berkata, pihaknya bimbang virus merebak ke negara yang tidak mempunyai sumber untuk menanganinya.

“Sebab utama pengisytiharan ini bukan kerana apa yang berlaku di China semata-mata, tetapi kerana apa yang berlaku di negara lain.

“Kebimbangan utama kami ialah potensi virus itu merebak ke negara yang mempunyai sistem kesihatan yang lemah,” katanya yang kesal dengan kesilapan WHO menerusi tiga laporannya minggu lalu, apabila menyebut risiko global bagi wabak itu sebagai ‘sederhana’ berbanding ‘tinggi’.

Berdasarkan data terbaharu, lebih 7,784 kes dikesan di 20 negara dan membabitkan 170 kematian di China.

Terdahulu, Ketua Program Kesihatan Kecemasan WHO, Michael Ryan mengingatkan seluruh dunia supaya berada dalam keadaan berjaga-jaga dan sedia bertindak.

“Umum darurat kesihatan antarabangsa boleh membantu menyelaras operasi yang dilaksanakan kerana langkah atau tindakan bersendirian 194 negara yang terjejas berpotensi memburukkan lagi keadaan,” katanya.

Pengisytiharan kecemasan kesihatan global hanya pernah dibuat lima kali sebelum ini termasuk Ebola dan selsema babi. – Agensi


Tiada ulasan: