Khamis, 23 Januari 2020

Tarikan harga mahal

Oleh Mohd Rafi Mamat
 


PEJABAT Hutan Daerah (PHD) Rompin sedang giat mengesan aktiviti melombong emas secara haram dalam hutan simpan kekal dan tanah kerajaan di daerah ini.

Antara lokasi tumpuan kegiatan itu di Hutan Simpan Ibam yang berkeluasan lebih 54,259 hektar.

Pegawai Hutan Daerah Rompin Shairani Mamat berkata, walaupun mengadakan operasi bersepadu setiap tahun namun kegiatan itu masih berlaku terutama kawasan hutan yang jauh dari laluan utama.

Katanya, ada antara kawasan yang memerlukan mereka menaiki kenderaan pacuan empat roda dan motosikal antara satu hingga dua jam melalui jalan balak.

“Biasanya pelombong berada di dalam hutan antara seminggu hingga dua minggu, mereka hanya akan keluar untuk menambah bekalan makanan selain menjual hasil emas diperoleh.

“Permintaan menggalakkan, selain harga tinggi iaitu antara RM150 hingga RM170 setiap satu gram emas bersih menjadi faktor utama kegiatan melombong emas banyak berlaku di daerah ini,” katanya dihubungi di sini, semalam.

Beliau berkata, selain masyarakat setempat terdapat juga individu dari luar daerah ini yang terbabit dalam kegiatan ini.

Shairani berkata, terbaharu, pihaknya menahan empat individu termasuk seorang wanita berusia antara 42 hingga 60 tahun dalam Operasi Degil di Sungai Charah dalam Hutan Simpan Ibam, awal bulan ini.

Katanya, mereka dikesan menjalankan aktiviti melombong secara haram di kawasan seluas 0.4 hektar.

“Kita percaya kegiatan itu sudah dilakukan sejak dua bulan lalu.

“Turut dirampas sebuah kenderaan pacuan empat roda dan tiga motosikal, empat unit enjin pam air dan lima unit pemotong kayu bergergaji serta dua unit palong kayu yang digunakan mengasingkan emas dengan bahan galian lain,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 47 Akta Perhutanan Negara (APN) 1984, dan mereka akan didakwa tidak lama lagi.

“Bahagian Penguat kuasa PHD Rompin akan terus menjalankan operasi lombong haram dalam memastikan kegiatan itu tidak terus berlaku.

“Ia bagi menjamin tidak berlaku pembukaan kawasan hutan hingga memusnahkan pelbagai spesies balak.

“Kerajaan negeri juga tidak berpeluang mendapat hasil cukai daripada pihak yang melakukan aktiviti melombong secara haram,” katanya yang yakin usaha berterusan dapat menyekat aktiviti melombong emas secara haram.

Tiada ulasan: