Jumaat, 31 Januari 2020

Tanah 999 tahun: Kerajaan Perak didesak pertahan dasar MTN

fazleen safina

 

MTN tetapkan tempoh pajakan tanah tak boleh lebih 99 tahun

IPOH – Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di Perak, hari ini, mendesak kerajaan negeri supaya mempertahankan pelaksanaan dasar Majlis Tanah Negara (MTN) berhubung pemberian hak milik tanah 999 tahun kepada kampung-kampung baru di negeri itu.

Timbalan Presiden Gagasan Melayu Perak, Norali Nordin berkata, mesyuarat MTN pada 25 April 1997 telah menetapkan bahawa tempoh pajakan tanah di kampung-kampung baru hendaklah sekurang-kurangnya 60 tahun, tetapi tidak melebihi 99 tahun.

“Segala dasar MTN hendaklah dipatuhi oleh kerajaan negeri bagi memastikan keseragaman undang-undang dicapai dalam memberi keadilan yang saksama kepada rakyat dan pelanggaran dasar yang dilaksanakan MTN itu boleh mengakibatkan kerajaan negeri dianggap sebagai sebuah negeri yang tidak tahu menghormati keluhuran perlembagaan.” katanya pada sidang media yang turut dihadiri Majlis Tindakan Rakyat Perak dan Wira Perkasa Perak, di sini, hari ini.

Sebelum ini, Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming melaporkan beliau mahukan kerajaan negeri memberikan status hak milik 999 tahun atau hak milik kekal kepada kampung-kampung baru, seperti yang dijanjikan dalam manifesto Pakatan Harapan ketika pilihan raya umum ke-14 yang lepas.

Nga berkata, kuasa untuk meminda perkara hal ehwal tanah berada bawah bidang kuasa kerajaan negeri dan bukan tertakluk kepada MTN. -Bernama


Tiada ulasan: