Khamis, 16 Januari 2020

SUPP cabar DAP bersuara untuk hak Sarawak ke atas minyak, gas





KUCHING: Ketua Pemuda SUPP, Michael Tiang mencabar Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen mengulangi kenyataannya 2 tahun lalu mengatakan Putrajaya menyalahi undang-undang apabila menafikan hak Sarawak ke atas minyak dan gas.

Bercakap kepada FMT, Tiang menuduh DAP mengubah nada selepas menjadi kerajaan persekutuan.

Beliau berkata Chong dan partinya tidak menunjukkan sokongan kepada azam kerajaan negeri menguatkuasakan autonomi dan menuntut hak-haknya, seperti dalam pertikaian dengan Petronas mengenai cukai jualan 5% ke atas produk petroleum.

“Kerajaan Pakatan Harapan mengambil hak kita ke atas minyak dan gas serta keuntungannya, ini menyalahi undang-undang,” katanya.

 'Saya mencabar Chong mengulangi kenyataannya di Dewan Undangan Negeri pada 2018 bahawa kerajaan persekutuan mengambil hak minyak kita, duit minyak kita, dan duit gas kita menyalahi undang-undang.”

Beliau meminta Chong menggunakan kedudukannya sebagai timbalan menteri untuk menasihatkan perdana menteri supaya melakukan semua yang perlu untuk memulihkan hak-hak Sarawak mengikut perlembagaan ke atas minyak dan gas.

“Sekarang masanya untuk Chong bersuara untuk Sarawak di Putrajaya,” katanya.

“Beliau mempunyai kedudukan dan DAP mempunyai pengaruh politik untuk berbuat demikian. Tiada sebab untuk dia berdiam diri.”

Kerajaan Sarawak tahun lepas memfailkan tindakan undang-undang terhadap Petronas berhubung pembayaran cukai jualan ke atas produk petroleum.

Tiada ulasan: