Isnin, 20 Januari 2020

SPRM dakwa Ahmad Maslan, Shahrir Samad esok

MALAYSIAKINI




Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini menahan anggota parlimen Pontian, Ahmad Maslan dan bekas anggota Parlimen Johor Bahru, Shahrir Samad.

Kedua-dua pemimpin Umno itu akan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur esok.

"Shahrir dan Ahmad masing-masing bakal menghadapi satu dan dua pertuduhan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001," kata SPRM dalam satu kenyataan.

Ahmad ditahan pada jam 10.10 pagi manakala Sharir ditahan pada jam 11.22 pagi.

SPRM berkata kedua-dua mereka ditahan selepas hadir untuk melengkapkan proses siasatan di ibu pejabat SPRM di Putrajaya.

Mereka kemudiannya dibebaskan dengan jaminan SPRM.

SPRM tidak mengulas lanjut mengenai kesalahan yang didakwa dilakukan mereka.

Bagaimanapun, kedua-dua mereka sebelum ini dikaitkan menerima wang daripada bekas perdana menteri Najib Razak, yang sumber dananya didakwa disalahgunakan daripada 1MDB.

Menurut jejak wang dalam akaun bank Najib, Ahmad menerima RM2 juta dari akaun bank bekas perdana menteri itu yang nombor akaunnya berakhir 906 pada 27 November 2013.

Pada 28 Nov 2013, Shahril juga menerima RM1 juta dari akaun bank yang sama.

Shahrir pada Ogos 2015 mempertahankan tindakannya mengambil wang daripada Najib apabila jejak wang itu didedahkan kepada awam.

"Kepada siapa lagi harus saya minta bantuan kewangan untuk perbelanjaan dalam mentadbir bahagian saya jika bukan dari presiden parti saya sendiri?," kata Shahrir.

Sebulan sebelum itu, Ahmad Maslan juga mempertahankan sumber dana Najib, menegaskan bahawa ia tidak disalahgunakan daripada 1MDB.

Ahmad berkhidmat sebagai Timbalan Menteri Kewangan dan Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri di bawah kerajaan BN sebelum ini.

Shahrir pula merupakan menteri perdagangan dan hal ehwal pengguna daripada tahun 2008 dan 2009. 
Beliau berkhidmat sebagai Pengerusi Felda di bawah kerajaan sebelumnya

Tiada ulasan: