Khamis, 23 Januari 2020

Selamat jalan Abdul Aziz, perginya permata MAS!

Syahril A. Kadir

83284017_10157901876353050_71112976110714880_o

MAS itu adalah Aziz, dan Aziz itulah MAS.

Begitulah sinonimnya nama MAS dengan Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman, anak jati Kampung Pasir Pekan, Kota Bharu, Kelantan ini.

Apa tidaknya, insan inilah sewaktu menjawat jawatan Pengarah Urusan MAS dahulu telah meninggalkan syarikat itu dengan rizab tunai sebanyak RM5 billion sewaktu persaraannya sedangkan sewaktu memegang jawatan tersebut pada tahun 1982, MAS menanggung RM39 juta defisit dan memerlukan RM70 juta untuk dana operasi!

ss

Untuk rekod, MAS yang beroperasi pada Oktober 1972 kini mengalami kerugian hampir RM3 billion!

Kejadian melibatkan dua pesawatnya seperti yang kita tahu terus memburukkan lagi keadaan kewangan syarikat penerbangan itu yang semenangnya sudah meruncingkan.

Kerajaan melantik Christoph Mueller sebagai ketua pengarah urusan bagi membantu MAS pada 2016 tetapi beliau meletakkan jawatan sebelum tempoh tiga tahun perkhidmatan tamat.

Tempat beliau kemudiannya diganti oleh Peter Bellew, tetapi tempoh perkhidmatan Bellew juga singkat dan jawatan itu kemudiannya diserahkan kepada anak tempatan Izham Ismail sehingga kini.

Sebagai ‘orang lama’ MAS, Aziz adalah antara yang paling lantang membuat kritikan terhadap usaha-usaha yang dibuat oleh pihak kerajaan dalam memulihkan syarikat penerbangan berkenaan.
Beliau tidak faham bagaimana MAS dikatakan terus mencatatkan kerugian besar, walaupun mempunyai kadar muatan penumpang sebanyak 78%.

Beliau berkata, perkara itu tidak munasabah kerana sepanjang tempoh beliau mengetuai MAS, jika syarikat mencapai kadar muatan penumpang sebanyak 72 atau 73% maka ia sudah boleh meraih keuntungan berjuta dolar.

“Ini satu perkara yang aneh. Kita nak tengok akaun MAS. MAS juga baru-baru ini meraih anugerah syarikat penerbangan terbaik di Asia, tetapi rugi RM800 juta, sedangkan syarikat yang tidak dapat anugerah dapat keuntungan. Perlu ada penjelasan,” katanya tidak lama dulu.
MGF26102018_SIDANG-MEDIA-MPM_06
Ahli Lembaga Penasihat Majlis Perundingan Melayu (MPM), 
Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman bercakap pada sidang media 
khas MPM menolak cadangan kerajaan Pakatan Harapan 
menghapuskan Akta Hasutan di Wisma MPM, Taman Duta, 
Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL
Abdul Aziz suatu ketika dulu (sebelum perlantikan Izham) turut mempersoalkan tindakan pengurusan Malaysia Airlines yang masih bergantung harap dengan orang asing.

Menurutnya, MAS perlu memberi peluang kepada anak tempatan yang juga memiliki kepakaran dan pengalaman yang sama dengan orang asing.

“Sebelum ini saya pernah telefon Pengarah Urusan Khazanah Nasional, Tan Sri Azman Mokhtar berhubung orang asing menguruskan Malaysia Airlines.

“Beliau panggil saya berjumpa dan saya persoal isu itu namun beliau memberitahu pernah menemubual lima anak tempatan dan ke semuanya didapati tidak layak.

“Saya pun tidak tahulah siapa yang temubual mereka ketika itu,” katanya.

Beliau turut mempersoal langkah syarikat penerbangan yang bermasalah itu untuk membeli enam buah pesawat A380 yang pada pandangannya tidak akan digunakan sepenuhnya dan memerlukan kos operasi yang tinggi.

Ketika beliau menerajui MAS, syarikat itu bukan sahaja cemerlang dari segi kedudukan kewangan tetapi juga mendapat sanjungan kerana perkhidmatan dalam penerbangan yang cemerlang.

Menjelang persaraannya pada 1992, beliau sudah mengukir nama dalam industri penerbangan dunia.
Oleh itu tidak hairanlah sekiranya seorang perunding yang berpangkalan di New York menawarkan beliau untuk mengetuai Philippines Airlines untuk memulihkan syarikat yang “tenat” itu.

“Saya tolak tawaran itu kerana kalau terima bermakna saya perlu berpindah ke Manila dan isteri saya tak bersedia untuk ke sana,” Abdul Aziz memberitahu Bernama dalam wawancara di kediamannya di Bukit Damansara tidak lama dulu.

Bagi Abdul Aziz, usaha untuk menukar MAS daripada sebuah syarikat penerbangan kecil dengan hanya laluan penerbangan domestik kepada syarikat penerbangan bertaraf antarabangsa yang berjaya adalah pencapaian yang begitu membanggakan.

Sewaktu beliau menerajui MAS, syarikat itu mencatat pertumbuhan drastik dalam jumlah penumpang, kapal terbang serta laluan penerbangan. Syarikat itu melalui peringkat pengembangan operasi dan dilihat berada pada landasan yang betul.

“Saya melakukan beberapa langkah drastik termasuk menubuhkan pasukan petugas dengan matlamat meningkatkan keuntungan, memperkemas pasukan pekerja dan mengenal pasti laluan penerbangan yang menguntungkan,” kata beliau dalam temubual tersebut.
MGF19032019_MAS-FUTURE-MASRA06
President Persatuan Pesara Penerbagan Malaysia (MASARA), 
Kapten, Abdul Razak Hashim (dua kiri) diringi Bekas Pengarah 
Urusan MAS, Tan Sri Aziz Abdul Rahman (dua kanan) bercakap 
semasa sidang akhbar tentang masa depan MAS di Eastin Hotel 
Kuala Lumpur, Petaling Jaya. foto MUHAMMAD ZULHAIRI
Sayangnya Abdul Aziz pada MAS tidak ada noktah.

Tahun lalu, beliau dan Persatuan Pesara Penerbangan Malaysia (MASRA) yang dinaunginya telah mengadakan sidang akhbar khas bagi mengumumkan kesediaan mereka tampil untuk membantu memulihkan MAS.

Dalam sidang akhbar itu, Abdul Aziz berkata, MASRA berminat untuk membantu memulihkan semula syarikat penerbangan berkenaan.

“Kami mempunyai kepakaran, kami boleh memberi nasihat,” katanya bersungguh-sungguh.
Beliau berkata MASRA tidak mahu syarikat penerbangan itu yang dibangunkan sendiri oleh tenaga dan minda rakyat Malaysia, ditutup.

“Kami akan perjuangkannya dan menawarkan khidmat kami untuk memulihkan semula ikon dunia ini untuk semua rakyat Malaysia menikmati kebanggaan Golden Service yang terkenal ini,” katanya.

Namun takdir Allah tak siapa dapat mengatasinya. Hari ini dalam usia 87 tahun, lelaki yang sangat berjasa pada MAS khususnya dan negara amnya pergi untuk selama-lamanya.

Abdul Aziz meninggal dunia di Hospital Gleneagles Ampang.

ss-1

Beliau mungkin tak sempat menyaksikan MAS ‘bangkit’ semula daripada kegagalan namun sekurang-kurangnya beliau pernah meletakkan MAS dilandasan kecemerlangan.
Selamat jalan Tan Sri.

AL-FATIHAH. – Malaysiagazette.

Tiada ulasan: