Isnin, 20 Januari 2020

Sedia hadir ke mahkamah



SHAH ALAM - Bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Shahrir Abd Samad bersedia untuk didakwa dan akan hadir ke mahkamah.

Beliau berkata, seperti yang dimaklumkan sebelum ini, beliau menolak tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mengeluarkan notis kompaun bagi mendapatkan semula dana yang diarah dikembalikan atas dakwaan diambil dari 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

"Ketika pegawai SPRM hantar notis kompaun, saya maklumkan yang saya sudah berusia 70 tahun dan telah mempertahankan undang-undang, malah saya juga yang menggubal undang-undang. Jadi saya tidak akan mengaku salah.

"Saya tolak notis kompaun itu dan bila SPRM panggil saya untuk kali ketiga hari ini (semalam), saya masih tetap dengan pendirian dan tidak akan ubah kenyataan saya.

"Disebabkan itu saya akan dituduh di mahkamah kerana didakwa menerima wang hasil aktiviti pengubahan wang haram dan saya akan hadir esok," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Dalam pada itu, Shahrir turut memuji tindakan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya yang disifatkan menggunakan pendekatan beradab dalam menyantuni individu yang akan dituduh di mahkamah.

"Saya berterima kasih dengan Puan Latheefa kerana dia tidak lagi menyuruh kita pakai baju oren untuk berarak ke mahkamah dan tiada lagi reman semalam. Ini tindakan 'gentleman', terus jumpa di mahkamah," katanya.


Tiada ulasan: