Sabtu, 18 Januari 2020

PRK Kimanis: Kembar tiga seiras teruja mengundi

Juwan Riduan
 
 

TIGA pasangan kembar seiras mencuri tumpuan ketika hadir membuang undi di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Batu Enam, Kalatuan di Kimanis, hari ini

Tiga beradik itu, Zaki, Zakaria dan Zaidi Mahamud yang berusia 33 tahun turun mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Our Lady of Fatima, Kelatuan, Kimanis.

Zaki berkata, mereka tiba di PDM seawal 9.15 pagi dan bersyukur keadaan cuaca yang baik, memandangkan semalam hujan lebat di daerah berkenaan.

“Cuaca hari ini amat baik, malah kami tidak lama untuk menunggu (untuk mengundi), semuanya lancar dan teratur.

“Semua okay, daripada pihak polis dari Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), semua bagi kerjasama, tiada masalah,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Menurut Zaki, meskipun memiliki wajah seiras, rata-rata penduduk dan kenalan yang rapat dapat mengecam mereka.

Begitupun, katanya, sudah menjadi perkara biasa sekiranya ada yang keliru apabila bersua mereka.

“Kalau yang biasa (bertemu) seperti orang kampung di sini, memang sudah tahu (dapat mengenali).

“Melainkan, kalau orang baharu (datang ke kampung), mereka mungkin keliru, tetapi kerana orang baharu, kami kena tegur jugalah,” katanya.

Lokasi PDM Batu Enam Kalatuan itu turut menyaksikan calon BN, Datuk Mohamad Alamin membuang undi pada 9 pagi tadi.

Seramai 2,300 pengundi dijadualkan di PDM berkenaan yang membabitkan lima saluran mengundi.

Tiada ulasan: