Sabtu, 18 Januari 2020

Politik Melayu dan Islam bakal dilemahkan

DR MUHAMMAD FATHI YUSOF
 
 

KERAJAAN ada perancangan untuk menukar sistem pilihan raya. Antara yang disebut ialah untuk menukar sistem sedia ada kepada sistem baru yang tidak lagi memberikan keistimewaan kepada pengundi luar bandar.

Sistem sekarang membenarkan konsep ‘pewajaran desa’ (atau ‘rural weightage’) yang memberikan peluang kepada penduduk kampung dan desa untuk memiliki kerusi yang lebih banyak berbanding kawasan bandar. Sistem ini ingin dihapuskan, dan diganti dengan sistem yang memberikan hak sama rata kepada pengundi luar bandar dan bandar.

Timbul persoalan, adakah perubahan ini menjadikan kuasa politik orang Melayu Islam, yang secara tradisinya menjadi penduduk majoriti kawasan kampung dan desa akan terjejas? Adakah bangsa lain yang menjadi penduduk majoriti di kawasan bandar akan mendapat lebih banyak kerusi dan lebih berpeluang menguasai politik negara?

Sistem yang diamalkan sekarang dikenali sebagai FPTP iaitu ringkasan perkataan first-past-the-post. Mengikut sistem ini, pemilihan wakil rakyat ditentukan melalui kemenangan majoriti di kawasan masing-masing.  Kelebihan sistem ini ialah ia mudah difahami, menggalakkan kerjasama politik, menjimatkan masa, tenaga serta wang, dan mengurangkan potensi kumpulan ekstrem. Kritikan ke atas sistem ini biasanya berkisar dalam soal persempadanan pilihan raya.

Di Malaysia, proses persempadanan di bawah FPTP perlu mengambil kira konsep ‘pewajaran desa’. Maksudnya kawasan desa dibenarkan mempunyai kerusi dengan jumlah pengundi yang lebih kecil berbanding kawasan bandar. Oleh itu, Dewan Rakyat mempunyai ramai wakil rakyat yang dipilih oleh orang desa berbanding wakil rakyat yang mewakili kawasan bandar.

Konsep ini berjalan sejak sebelum merdeka. Ia digunapakai sewaktu Pilihan Raya Umum 1955, dan menjadi salah satu terma rujukan untuk dilaksanakan oleh Suruhanjaya Persempadanan Kawasan Pilihan Raya 1954 yang dipengerusikan oleh Lord Merthyr.

Ada yang mengaitkan konsep ‘pewajaran desa’ ini dengan isu kesukaran wakil rakyat untuk menjaga kawasan yang terlalu luas di pedalaman. Ada juga yang mengaitkan kaedah ini sebagai satu cara untuk mengimbangi kekurangan dan kelemahan pembangunan yang tidak sekata antara kawasan bandar dan luar bandar.

Kesemua alasan di atas adalah munasabah dan mempunyai asas tertentu. Namun begitu, jika disusuri sejarah bagaimana timbulnya konsep ‘pewajaran desa’, ia sebenarnya selari dengan beberapa asas negara yang menjaga dan melindungi elemen tradisi melalui beberapa prinsip Perlembagaan seperti kedudukan Raja-raja Melayu, Islam sebagai agama utama, hak istimewa orang Melayu, kedudukan bahasa Melayu dan seumpamanya. Konsep ‘pewajaran desa’ yang menguntungkan orang Melayu yang mendiami desa juga boleh difahami sebagai sebahagian daripada satu bentuk jaminan kuasa politik kepada orang Melayu melalui kaedah persempadanan pilihan raya.

Boleh dikatakan sistem FPTP dan konsep ‘pewajaran desa’ ini seumpama benteng pelindung yang mengekalkan kuasa orang Melayu dan umat Islam di Malaysia. Ia membolehkan jumlah kerusi majoriti Melayu pada peratusan yang tinggi. Ia ibarat hak istimewa Melayu yang tersirat, tetapi difahami dan diterima selama lebih 60 tahun. Tapi kini ia hendak dihapuskan.

Jika dilihat dari perspektif ini, usaha untuk menukar sistem FPTP kepada sistem baru, sekali gus menamatkan konsep ‘pewajaran desa’ adalah satu langkah yang mengancam kedudukan politik orang Melayu. Ia ibarat satu cubaan untuk menukar padang permainan bagi membolehkan kumpulan tertentu menguasai politik negara. Walau bagaimanapun, ancaman yang besar ini tidak disedari oleh orang Melayu kerana ia dilaksanakan secara licik di atas nama proses reformasi pilihan raya. Perlukah menunggu ‘sudah terhantuk baru tengadah’?   HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: