Khamis, 30 Januari 2020

PH didesak bentang pelan pemulihan ekonomi akibat koronavirus

Nizam Zain
MGF270120_HUMAN-INTEREST-CORONAVIRUS05
Foto hiasan - Orang awam memakai topeng penutup mulut dan hidung bagi mencegah jangkitan 2019 Novel Koronavirus (2019-nCoV) ketika tinjauan Malaysia Gazette di sekitar Hospital Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK
 

KUALA LUMPUR – Kerajaan didesak merangka pelan pemulihan agar wabak 2019 Novel Koronavirus (2019-nCoV) tidak memberi kesan teruk kepada ekonomi negara.

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan, ia perlu dilakukan segera agar keyakinan rakyat tidak terjejas untuk berbelanja.

“Keresahan dan kegusaran rakyat termasuk para pelabur perlu diberi perhatian serius oleh kerajaan.

“Ekonomi negara bakal lebih terkesan kerana wabak ini boleh mempengaruhi rakyat untuk tidak berbelanja sekaligus menurunkan permintaan domestik.

“Pelan pemulihan yang komprehensif perlu diwujudkan agar wabak ini tidak akan menjejaskan kestabilan rakyat dan memastikan kesinambungan pertumbuhan ekonomi negara tidak terjejas, khususnya industri pelancongan negara,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Asyraf tidak menolak kemungkinan kesan wabak 2019-nCoV kepada ekonomi negara boleh berulang sepertimana yang berlaku ketika wabak SARS melanda dunia pada 2002.

“Ketika wabak SARS melanda dunia pada November 2002 sehingga Juali 2003, sebanyak 8,098 kes direkodkan dengan 132 kematian.

“Tidak terkecuali industri pelancongan negara telah menerima impak daripada wabak SARS itu,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: