Khamis, 30 Januari 2020

Perpecahan dalaman PKR tidak gugat kedudukan Anwar sebagai bakal PM – Saifuddin

Muhammad Azizul Osman
MGF300120_KEMPEN-BELI-BARANGAN-MALAYSIA06-1
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail (tengah) melawat gerai jualan pada Majlis Perasmian Kempen Beli Barangan Malaysia di Tesco Extra Kajang, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK
 

KAJANG – Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata perpecahan dalaman dalam PKR tidak akan menggugat kedudukan Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk jawatan Perdana Menteri.

Setiausaha Agung PKR itu berkata hanya Pakatan Harapan (PH) yang boleh menentukan masa depan Anwar untuk menggantikan Tun Dr Mahathir Mohamad kelak.

“Dia (perpecahan dalam PKR) tidak ada kaitan untuk Anwar nak jadi PM atau tidak, (ia sama ada) PH dalam konsensus mereka ubah ke tidak.

“Ini kerana Anwar masa tu dalam penjara, dia pun tak brtanding apa-apa (masa konsensus itu dibuat). Masa tu, PH berbincang selepas Dr Mahathir maka Perdana Menteri ialah Anwar.

“Sama ada terjejas atau tidak, ia bergantung pada PH untuk ubah atau tak konsensus itu. Hari ni, tidak ada perubahan. Tidak nampak tanda-tanda perubahan apa. Sokongan Anwar datang daripada PH,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Kempen Beli Barangan Malaysia di Tesco Extra, Kajang hari ini.

Dalam pada itu, Saifuddin turut ditanya mengenai kenyataan bahawa lebih 10,000 ahli PKR akan keluar parti sekiranya Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin dipecat, Saifuddin berkata itu cuma andaian dan perkara itu tidak lagi berlaku.

“Benda itu belum berlaku. Cuma satu kenyataan. Ketika demo ini, suhu marah itu tinggi jadi wartawan tanya dia pun petiklah 10,0000 ahli akan keluar parti.

“Saya tak tahu berapa ramai nak kuar, tapi sebagai Setiausaha Agung tugas saya setiap minggu melaporkan dalam Biro Politik, kemasukan anggota baru dlm parti 10,000 seminggu,” katanya memberikan penjelasan.

Semalam, Pengerusi Persatuan Penggerak Muafakat Nasional Pulau Pinang, Shahrudin Mohd Shariff berkata, lebih 10,000 ahli PKR daripada 13 cabang di Pulau Pinang bertekad akan meninggalkan parti itu sekiranya Zuraida Kamaruddin dipecat.

Menurut beliau, pihaknya bersedia untuk berbuat demikian namun akan mempertahankan terlebih dahulu pemimpin mereka daripada diambil tindakan.

18 Januari lalu, Zuraida diberi tempoh 14 hari bagi menjawab surat tunjuk sebab yang dikeluarkan ke atasnya atas dakwaan salah laku disiplin. -MalaysiaGazette

Tiada ulasan: