Khamis, 30 Januari 2020

Peguam: Cabar notis warta senarai LTTE sebagai kumpulan pengganas

G Saminathan ketika pendengaran kes di Mahkamah Sesyen 
Melaka pada Disember tahun lepas. (Gambar Bernama)
 
PETALING JAYA: Kementerian Dalam Negeri harus dicabar supaya menarik balik notis warta yng menyenaraikan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) sebagai kumpulan pengganas, kata seorang peguam.

Beliau berkata, cabaran itu hendaklah dibuat oleh G Saminathan, seorang anggota Exco dari Melaka, dan 11 yang lain yang kini berdepan pertuduhan berkait kegiatan keganasan melibatkan LTTE.

Peguam Syed Iskandar Syed Jaafar al-Mahdzar berkata, 12 individu terbabit harus menuntut menteri menarik balik notis warta tersebut dan sekiranya beliau gagal berbuat demikian, mereka boleh memohon satu semakan kehakiman.

“Mereka boleh memaksa menteri melalui tindakan mandamus bagi membatalkan notis warta tersebut,” katanya.

Semalam permohonan Saminathan untuk dibebaskan dengan ikat jamin sementara menunggu keputusan perbicaraannya, ditolak oleh Mahkamah Tinggi apabila pesuruhjaya kehakiman Ahmad Shahrir Mohd Salleh berkata, mahkamah adalah terikat dengan warta yang menyenaraikan LTTE sebagai kumpulan pengganas melainkan ia ditarik balik oleh menteri dalam negeri.

Ahmad Shahrir berkata, satu-satunya cara untuk mengeluarkan LTTE daripada warta berkenaan ialah dengan menteri mengadakan semakan semula yang menjadi tugasnya dalam tempoh 6 bulan.

Beliau berkata, tidak timbul masalah sekiranya LTTE disenaraikan sebagai kumpulan pengganas di bawah perundangan lain misalnya di Kesatuan Eropah atau di negara asalnya, Sri Lanka.

Syed Iskandar tidak bersetuju dengan keputusan hakim yang menurutnya boleh “memberi gambaran salah bahawa hakim adalah tertakluk kepada budi bicara menteri dalam negeri dan tidak bebas”.

Beliau berkata, peguam yang mewakli Saminathan harus memfailkan permohonan ikat jamin baru di Mahkamah Rayuan.

Tiada ulasan: