Isnin, 20 Januari 2020

PBS tuntut timbalan menteri KDN letak jawatan berhubung isu PSS

Ketua Pemuda PBS Christopher Mandut berkata, PSS adalah 
rancangan yang merosakkan dan harus ditolak.

KOTA KINABALU: Ketua Pemuda Parti Bersatu Sabah (PBS) Christopher Mandut hari ini menggesa Timbalan Menteri dalam Negeri Azis Jamman meletak jawatan kerana didakwa memaksa rakyat sabah menerima Pas Sementara Sabah (PSS).

Beliau berkata, Azis lantang bercakap tentang PSS, terutama semasa berkempen dalam pilihan raya kecil (PRK) Kimanis baru-baru ini.

Mandut berkata, pas untuk pendatang asing di Sabah itu bukan sahaja merosakkan, tetapi merupakan ancaman kepada negeri itu dan kedaulatan negara.

“Kami mendesak timbalan menteri ini meletak jawatan kerana rakyat jelas menolak rancangan PSS yang merosakkan itu.
“Kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam PRK Kimanis baru-baru ini adalah amaran keras kepada kerajaan bahawa rakyat Sabah menolak PSS,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

“Kami menggesa kerajaan Pakatan Harapan-Warisan supaya mengetepikan terus idea itu…kita tak perlukan PSS. Pendatang tanpa izin mesti dihantar pulang.”

Calon BN Mohamad Alamin menang dengan majoriti selesa 2,029 undi selepas meraih 12,706 undi mengalahkan calon Warisan Karim Bujang dalam PRK Sabtu lepas.

Ketika mengucapkan tahniah kepada Mohamad atas kemenangan itu, Mandut berkata, pengundi memahami kepentingan menolak PSS demi kebaikan anak cucu mereka.

“Rakyat Sabah juga perlu mengongsi sentimen pengundi Kimanis. Kita perlu tolak rancangan yang merosakkan seperti itu.

“Dia (Azis) pergi serata tempat, seolah-olah mahu memaksa rakyat dan berusaha keras bagi mendapatkan sokongan kepada pelaksanaan PSS, tetapi semua usahanya gagal. Akhirnya rakyat membuat keputusan menolak PSS,” katanya.

Tiada ulasan: