Sabtu, 18 Januari 2020

Mujahid mahu pegawai kerajaan kata Ponggal haram diambil tindakan

Wartawan MalaysiaGazette
MGF01102019_Persidangan-Pendakwa-Syarie-Seluruh-Malaysia_10
Dr. Mujahid Yusof

NIBONG TEBAL – Datuk Seri Mujahid Yusof mahu tindakan tegas mesti diambil terhadap pegawai kerajaan yang mengeluarkan pekeliling mendakwa perayaan Ponggal adalah haram dalam Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu berkata, ini kerana Jakim tidak pernah mengatakan adalah “haram” untuk menghadiri perayaan itu tetapi sebaliknya berkata, orang Islam dibenarkan mengambil bahagian dalam perayaan itu selagi akhlak Islam dipatuhi.

“Isteri saya guru di sebuah sekolah di Nibong Tebal dengan ramai pelajar Tamil. Sekolahnya mengambil bahagian dalam Ponggal dan pada waktu sama mematuhi akhlak Islam sejak beberapa tahun,” katanya di Institut Perindustrian Arumugam Pillai seperti laaporan FMT di sini hari ini.

Mujahid mempersoal tindakan pegawai dari Kementerian Pendidikan kerana memutarbelitkan kandungan surat berkenaan.

“Anda (pegawai terbabit) menggunakan perkataan seperti ‘terpaksa’ dan ‘haram’. Come on lah. Kita kata Ponggal diharuskan selagi akhlak Islam dipatuhi.

“Kami mendesak tindakan tegas diambil ke atas individu yang menulis surat tersebut dan kemudian menyalahkan Jakim kerana membuat keputusan itu. Kasihanilah saya dan Jakim,” katanya.

Surat yang dirujuk oleh Mujahid merupakan pekeliling Kementerian Pendidikan kepada semua pengetua sekolah yang dikeluarkan menjelang sambutan perayaan Ponggal.

Pekeliling bertarikh 13 Jan itu menyebut bahawa Jakim mengisytiharkan mengambil bahagian dalam ritus Ponggal adalah “haram”, terutamanya perbuatan mendidihkan susu, yang merupakan acara utama perayaan menuai masyarakat Tamil itu.

Ia ditulis oleh penolong pendaftar institusi pendidikan dan guru Adzman Talib.

Terdahulu Mujahid melancarkan program e-RPH untuk sekolah agama, termasuk aplikasi telefon bimbit untuk guru bagi membantu mereka menyampaikan pendidikan berkualiti kepada pelajar.

Beliau berkata, kerajaan merancang untuk menaikkan elaun semasa RM1,000 kepada guru sekolah agama sebanyak RM100 bergantung kepada kelulusan.- MalaysiaGazette

Tiada ulasan: