Isnin, 20 Januari 2020

MP Wangsa Maju mahu heret NGO didakwa hasut peniaga Uptown Danau Kota ke mahkamah

Ahli Parlimen Wangsa Maju Tan Yee Kew bercakap kepada media 
di pusat khidmat beliau hari ini. Turut hadir wakil polis dari IPD 
Wangsa Maju.
 
KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Wangsa Maju Tan Yee Kew akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pengerusi Pertubuhan Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (Ikhlas) Mohd Ridzuan Abdullah kerana menghasut dan menghina beliau sebagai wakil rakyat.

Tan berkata, keputusan mengheret Ridzuan ke mahkamah itu disebabkan pemimpin NGO itu didakwa menghasut peniaga tapak lama Uptown Danau Kota bahawa beliau kononnya telah menyalah guna kuasa dalam pemberian tapak niaga baru di Bazaria Wangsa Maju.

“Saya telah maklumkan kepada peguam saya dan kami dalam proses menfailkan saman di mahkamah.

“Saya sudah beri dokumen kepada peguam sejak 2 minggu lalu. Mungkin sehari dua ini kita akan fail ke mahkamah, selepas itu saya akan bagi surat tuntutan kepada beliau (Ridzuan),” katanya pada sidang media di pusat khidmat ahli Parlimen Wangsa Maju di sini hari ini.

Katanya, tuntutan pemohonan maaf secara terbuka daripada Ridzuan juga akan dibuat.

Hadir sama pada sidang media tersebut, ialah wakil polis dari IPD Wangsa Maju, serta beberapa persatuan susulan kejadian samun membabikan pelajar di kawasan Parlimen berkenaan baru-baru ini.

Katanya, tindakan saman itu dibuat kerana Ridzuan juga didakwa menghasut peniaga sehingga 157 laporan polis dibuat terhadap beliau.

Tan berkata, beliau juga telah membuat laporan polis terhadap Ridzuan atas dakwaan sama.

Dalam laporan polis pada 11 Jan, Tan berkata, beliau percaya Ridzuan telah melakukan hasutan berhubung dakwaan berlakunya salah guna kuasa dalam pemberian tapak niaga baru di Bazaria Wangsa Maju.

“Saya menafikan segala tuduhan dalam kesemua 157 laporan polis mengenai perkara itu kerana ia adalah palsu dan tidak benar sama sekali.

“Saya diberitahu bahawa kesemua isi kandungan 157 laporan polis itu adalah sama dan saya percaya ada orang yang menyediakan laporan itu untuk mereka,” kata Tan.

Tan berharap pihak polis menyiasat kesemua laporan serta tuduhan palsu yang trkandung dalam laporan polis terbabit.

Tan juga mengesa pihak polis menyiasat motif Ridzuan mengutif bayaran RM150 daripada peniaga dengan alasan mahu membantu mereka kembali berniaga di tapak asal.

“Ridzuan kata lebih 300 setuju jadi ahli Ikhlas. Saya difahamkan 49 orang sudah membuat bayaran. Saya minta polis siasat apakah motif dia kutip duit tersebut sebab semua orang tahu tapak lama sudah ditutup,” katanya.

Tan berkata, daripada 157 individu yang membuat laporan polis tersebut, tidak semua yang layak menerima tapak untuk berniaga.

“DBKL sudah membuat siasatan latar belakang mereka yang buat laporan polis itu, bukan semua layak.

“Terdapat juga pihak yang menyewakan tapak kepada orang lain. Jadi mereka tidak layak mendapat tapak di kawasan baru,” katanya.

Tan berkata, sehingga kini hampir 60 tapak baru masih kosong dan ia akan diisi mereka yang layak, termasuk dalam kalangan yang membuat bantahan sebelum ini selepas ia diluluskan pihak DBKL.

Katanya, terdapat juga beberapa peniaga yang telah mendapat tapak, tetapi tidak hadir membuat undian kerana takut kepada “sindiket” di tapak lama.

Tan juga menafikan dakwaan Ikhlas sebelum ini bahawa wujudnya pemberian tapak baru kepada kroni.

“Saya tidak tahu. DBKL perlu buat siasatan kalau ada tuduhan seperti ini, tetapi pada pengetahuan saya ada banyak tuduhan yang tak benar. Kalau ada orang sewakan tapak kepada orang lain saya rasa DBKL perlu menarik balik lesen kepada mereka,” katanya.

Isu tapak Uptown Danau Kota yang diarah tutup pihak berkuasa memuncak apabila lebih 200 peniaga masing-masing membuat laporan polis terhadap Tan, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Hisham Ahmad Dahlan dan pengerusi Penjaja Bazaria Wangsa Maju, Ibrahim Merican.

Peniaga terbabit yang mendakwa berlaku salah guna kuasa dalam pemberian tapak niaga baru di Bazaria Wangsa Maju oleh pihak yang dinamakan membuat laporan di Balai Polis Setapak awal Jan lalu dengan dibantu oleh Ikhlas.

Tiada ulasan: