Isnin, 27 Januari 2020

Litar pintas punca rumah kedai terbakar

BERNAMA




LITAR pintas dipercayai punca kebakaran bangunan kedai di Jalan Bukit Ubi, di Kuantan yang diubah suai menjadi unit sewaan hingga menyebabkan kematian seorang warga India, Khamis lalu.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Mohd Zahar Abdullah berkata, siasatan Bahagian Forensik Bomba mendapati kebakaran bermula di satu daripada unit sewaan di tingkat tiga bangunan itu.

“Unit yang menjadi lokasi pertama kebakaran dipercayai tidak berpenghuni dan litar pintas berlaku disebabkan pendawaian lama, mungkin melebihi 10 tahun yang tidak diperiksa,” katanya semasa dihubungi Bernama, hari ini.

Kebakaran pada 12.53 tengah malam 23 Januari lalu mengorbankan pekerja restoran, M Manikandan 28, dari Chennai, India, yang ditemukan dalam keadaan rentung berhampiran tangga di tingkat tiga, dipercayai terperangkap semasa kebakaran berlaku.

Bomba bagaimanapun berjaya menyelamatkan 27 penyewa lain di bangunan itu.

Difahamkan unit sewaan di bangunan itu menjadi pilihan mereka yang memerlukan tempat tinggal di bandar disebabkan sewa yang murah selain tidak mengenakan bayaran pendahuluan.

Tiada ulasan: