Sabtu, 18 Januari 2020

Lantik CEO Malaysiakini dalam MMC, apa muslihat kerajaan?

ainulillia 

 

Apakah rakyat akan terus diseleweng dengan pemikiran liberal, sesat

BANGI – Pelantikan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Malaysiakini, Premesh Chandran sebagai pengerusi sementara Majlis Media Malaysia (MMC) menimbulkan pelbagai persoalan mengenai arah tuju media di negara ini.

Presiden gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya berkata, selama ini Malaysiakini banyak mempromosi dan mengangkat pemikiran dan suara liberal serta anti-establishment. 

“Hasilnya, kerajaan BN berjaya ditumbangkan. Begitulah pentingnya peranan media yang bukan saja mampu mempengaruhi pemikiran rakyat malah menumbangkan kerajaan. 

“Dalam keadaan sedemikian sesuatu yang amat malang apabila Menteri Komunikasi melantik CEO portal berkenaan untuk ketuai Majlis Media Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, rakyat kini berhadapan dengan beberapa dilema dan persoalan sama ada media akan lebih adil untuk membawa imej Islam.

“Apakah rakyat khususnya belia akan terus diseleweng dengan pemikiran-pemikiran sesat? Apakah media akan mempromosikan integrasi kaum atau hanya menaikkan sentimen kebencian kaum?

“Apakah jati diri Bumiputera dan orang Melayu sebagai identiti nasional akan diberi keadilan atau ditenggelamkan? Ini antara persoalan besar yang kita akan hadapi,” katanya lagi.

Semalam, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo mengumumkan pelantikan seramai 17 wakil organisasi media cetak, elektronik dan dalam talian; media tempatan dan antarabangsa; kesatuan wartawan; serta wakil badan bukan kerajaan sebagai ahli jawatankuasa sementara MMC.

Pengumuman itu dibuat pada mesyuarat pelancaran penubuhan MMC yang dipengerusikannya di Kementerian Komunikasi dan Multimedia di Putrajaya.

Dalam pengumuman berkenaan, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysiakini Premesh Chandran dipilih sebagai Pengerusi sementara MMC.

MMC akan meliputi semua jenis media di Malaysia iaitu media cetak, elektronik dan dalam talian yang akan memperkasa dan memastikan kebebasan media serta hak-hak pengamal media dipelihara sementara memastikan pengamalan media yang lebih bertanggungjawab.

Gobind berkata, jawatankuasa itu mempunyai tempoh dua bulan bagi membincang dan menyediakan rang undang-undang yang dicadangkan bagi penubuhannya serta fungsi-fungsinya.


Tiada ulasan: