Isnin, 27 Januari 2020

Koronavirus: Kerajaan boleh diheret ke mahkamah – peguam

Muhammad Azizul Osman
MG041119_KEABSAHAN-SEKOLAH-VERNAKULAR04
Ketua peguam, Datuk Shaharudin Ali bercakap kepada media semasa hadir bagi pendengaran kes peguam, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz mencabar keabsahan sekolah vernakular di Mahkamah Persekutuan Putrajaya, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK
 

KUALA LUMPUR – Peguam Datuk Shaharudin Ali berkata kerajaan boleh diheret ke mahkamah kerana gagal atau cuai menghentikan kemasukan pelancong yang berisiko tinggi dan menyebabkan jangkitan atau kematian ahli keluarga.

Menurut beliau, mana-mana individu yang rasa terancam mengenai tindakan kerajaan yang tidak menyekat kemasukan pelancong terutamanya dari tanah besar China, boleh berbuat demikian atas prinsip Tort (perbuatan salah atau pelanggaran hak selain daripada di bawah kontrak) yang membawa kepada liabiliti undang-undang.

“Saman tort bukan berdasarkan di bawah mana-mana akta.

“Ia berpaksikan undang-undang am dan Malaysia mengikuti common law dari England,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Mengulas lanjut, beliau berkata, untuk saman pelanggaran kewajipan statutori, a peguam melihat sama ada terdapat ketidakpatuhan kepada mana-mana akta atau peraturan yang sedia ada dan melihat sama ada kerajaan mempunyai kuasa mengekang, menghadkan, mengurangkan risiko wabak itu menular.

Dalam pada itu, Shaharudin turut menjelaskan bahawa wujud kuasa-kuasa untuk kerajaan mengawal virus berjangkit di dalam akta- akta berkaitan kawalan wabak penyakit, peraturan pasport, peraturan kuarantin malah peraturan kecemasan.

“Jika kerajaan dilihat berpeluk tubuh tentang kemasukan rakyat negara China, tidak memulakan prosedur kecemasan atau darurat, tidak melakukan apa-apa maka itu adalah bukti awal bahawa kerajaan telah cuai. Terlambat (bertindak) pun termasuk dalam erti kata cuai,” katanya lagi.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata Malaysia tidak menghentikan pemberian visa kepada warga China yang ingin ke negara ini.

Ia berdasarkan saranan saranan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) yang tidak mengeluarkan sebarang larangan lawatan dan perdagangan dengan negara China.

Badan dunia itu sebelum ini hanya menggesa negara-negara anggota untuk memantapkan tahap kesiapsiagaan di peringkat masing-masing bagi menghadapi potensi penularan virus ini.

Untuk rekod, angka korban akibat wabak koronavirus di China meningkat kepada 80 mangsa setakat awal pagi tadi. -MalaysiaGazette

Tiada ulasan: