Khamis, 23 Januari 2020

KKM siasat kes pelancong China suspek koronavirus di Sabah

Ruzaini Zulkepli, Astro Awani
KKM siasat kes pelancong China suspek koronavirus di Sabah
Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, kes itu belum dapat disahkan dan pihaknya akan menyiasat perkara berkenaan. - Gambar fail/BERNAMA
 

KOTA KINABALU: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) masih menyiasat berhubung kes seorang pelancong warga China yang kononnya dikejarkan ke hospital di Sabah kerana dijangkiti koronavirus hari ini.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye ketika dihubungi Astro AWANI sebentar tadi berkata, kes itu belum dapat disahkan dan pihaknya akan menyiasat perkara berkenaan.

"Berhubung dakwaan seorang pelancong China di Kota Kinabalu, dia hanyalah suspek (jangkitan) tetapi belum ada sebarang pengesahan lagi.

"Kita masih menyiasat perkara ini sama ada betul atau tidak dan pihak kementerian akan membuat satu kenyataan dalam tempoh terdekat," katanya.
 
BACA: Koronavirus: Sabah tingkatkan pengawasan di KKIA

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai isu tular mendakwa seorang lelaki pelancong dari luar negara yang dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth (HQE) kerana disyaki dijangkiti wabak itu,

Susulan penularan wabak koronavirus di Wuhan, China, Kerajaan Negeri Sabah kini meningkatkan pengawasan di  Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA).

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Frankie Poon dalam kenyataan medianya pada hari ini berkata, langkah berjaga-jaga itu termasuk membuat ujian saringan kepada semua penumpang terutamanya melibatkan penerbangan antarabangsa.

"Orang ramai dinasihatkan agar tidak panik tetapi perlu berhati-hati dan mengamalkan langkah-langkah pencegahan dalam kehidupan seharian seperti memakai topeng muka, mencuci tangan secara kerap dan elakkan daripada kawasan yang sesak," katanya.

Terdahulu, beliau dan Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sabah, Datuk Christina Rundi turut berkesempatan berkunjung  ke KKIA pada jam 3 pagi tadi untuk melakukan pemantauan rapat terhadap ujian saringan 'Thermal Scanner’ yang ditempatkan di lapangan terbang tersebut.

Tiada ulasan: