Khamis, 23 Januari 2020

'Jho Low, pulanglah sambut Tahun Baru Cina, kami rindu'

ANNABELLE LEE




Ketika Jho Low masih dalam buruan pihak berkuasa, sekumpulan individu tampil menyeru ahli perniagaan itu pulang merayakan Tahun Baru Cina.

Seruan itu dibuat dalam bentuk dokumentari satira bertajuk Time To Come Home (Masa Untuk Pulang Rumah).

Dokumentari satira itu menampilkan beberapa personaliti tempatan yang berlakon sebagai keluarga, rakan, bekas kakitangan dan bekas teman wanita Jho Low.

Antara lain, ia memaparkan watak-watak berkenaan menyatakan rasa rindu terhadap Jho Low, selain terhadap wang, berlian dan kereta mewah yang dikatakan sering diberikan oleh ahli perniagaan dalam buruan itu kepada mereka.

Dalam satu babak, watak yang berlakon sebagai adik Jho Low duduk di dalam tab mandi merayu Jho Low pulang sambil 'mengeluh' terpaksa menjaga bunglow, Ferari dan jet peribadinya.

'Adik Jho Low' itu juga sambil menangis memohon maaf kerana membiarkan bot Jho Low - dipercayai merujuk kepada kapal layar mewah Equanimity - dirampas pihak berkuasa.

Selain dari klip video itu, sebuah laman web bertajuk Jho Please Come Home telah diwujudkan untuk orang ramai mengemukakan pesanan bertemakan Tahun Baru Cina kepada Jho Low untuk kembali ke Malaysia.

Salah satu mesej dari individu yang menggunakan nama 'Your Adviser' berkata, "Jho, can I advise you something?! Please come home." (Jho, bolehkah saya menasihati anda sesuatu?! Pulanglah rumah)

Bekas perdana menteri, Najib Razak, yang sedang dibicarakan di mahkamah atas dakwaan menyalahgunakan dana, menyalahkan Jho Low berhubung skandal 1MDB.

Jho Low, atau nama penuhnya Low Taek Jho, menafikan menjadi dalang dan menyifatkan semua tuduhan terhadapnya sebagai "pendakwaan politik".

Jho Low melarikan diri dengan mendakwa bahawa dia akan tidak mendapat perbicaraan yang adil di Malaysia.

Terdapat spekulasi yang mengaitkan keberadaan Jho Low di negara tertentu seperti China, Cyprus, Caribbean atau Timur Tengah.

Ketika dihubungi, pengarah dan produser, Derrik Yaw berkata dokumentari satira itu adalah pendekatan "ikhlas" untuk meyakinkan Jho Low pulang ke rumah.

"Semua orang mahu dia (Jho Low) kembali atas sebab-sebab tertentu jadi kami fikir kita harus mengubah strategi apabila meminta seseorang pulang ke rumah.

"Daripada memaksa pulang setiap tahun [...] apa kata kita menggunakan pendekatan yang lembut kali ini? Oleh itu, kami memutuskan mungkin kita patut buat rayuan dan minta simpati yang ikhlas.

"Harap-harapnya dia akan tersentuh dan pulang rumah," katanya kepada Malaysiakini.

Sementara itu, Yaw berkata, laman web berkenaan dicipta sebagai hiburan untuk orang ramai bagi menyampaikan pesanan mereka.

Klip video yang dimuat naik di YouTube "Demo TV" itu adalah kerjasama antara rumah produksi Yaw Graph Studio dan agensi pengiklanan Bolt KL. Skrip ditulis oleh Mo Nazmi.

Antara personaliti yang dipaparkan dalam video itu adalah Phoon Chi Ho, Ruby Ooi, Jin Joe, Steven Bones, Iedil Dzuhrie Alaudin, Jenn Chia, Dan Khoo, Ernest Ng, Joshua Desmond, Prakash Daniel dan Renny Tan.

LIHAT VIDEO DI SINI

Tiada ulasan: