Isnin, 20 Januari 2020

E-Tunai, sejauh mana undang-undang sedia ada mampu lindungi pengguna?

Manzaidi Mohd Amin
Ahmad Amzad Hashim
Ahmad Amzad Hashim


KUALA LUMPUR – Walaupun Kementerian Kewangan memberi jaminan data peribadi pemohon e-Tunai Rakyat disimpan secara sulit oleh agensi pelaksana, Khazanah Nasional namun masih ada keraguan daripada segi keselamatannya.

Hal ini dibangkitkan Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim yang percaya data itu boleh dibocorkan terutama apabila wujud penyelewengan terhadap penyimpanan dan pemprosesan data yang diberikan.

Kata beliau, kebocoran data peribadi secara besar-besaran sebelum ini membabitkan rekod perubatan warganegara Malaysia seperti didedahkan syarikat keselamatan Jerman membuktikan ia risiko itu sentiasa wujud walaupun dikendalikan oleh kerajaan.

“Dalam isu pengenalan aplikasi e-Tunai Rakyat, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng memaklumkan semua data peribadi yang akan disimpan secara sulit oleh Khazanah Nasional Berhad, hanya dikongsi oleh kerajaan dan tidak syarikat luar.

“Kenyataan ini hakikatnya tidak menjamin data tersebut daripada dibocorkan terutamanya apabila wujud penyelewengan terhadap penyimpanan dan pemprosesan data yang diberikan,” katanya dalam kenyataan kepada media hari ini.

Dalam hal itu, beliau berpandangan penggunaan e-Tunai atau transaksi tanpa tunai adalah seiring dengan Revolusi Industri 4.0 dan tidak boleh dibendung lagi.

Cuma, soalnya, sejauh mana peruntukan undang-undang yang ada mampu melindungi pengguna secara menyeluruh.

“Oleh itu, saya mendesak kerajaan membuat pindaan segera kepada Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 bagi memastikan sekiranya wujud sebarang kebocoran data oleh mana-mana pihak, pengguna berhak untuk dimaklumkan dengan segera secara peribadi sebagaimana di praktis negara maju lain.

“Ini penting bagi memastikan keselamatan peribadi pengguna dilindungi setiap masa dan pihak yang bertanggungjawab tidak terlepas dari tindakan dengan menyembunyikan mana-mana insiden kebocoran data,” katanya. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: