Selasa, 28 Januari 2020

Dr Dzul: Berita palsu tular koronavirus kini 'kritikal', akan keluar senarai

FAISAL ASYRAF





Sementara koronavirus adalah perkara penting yang perlu ditangani, Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad berkata, satu lagi jenis "virus" telah menjadi kritikal, iaitu penyebaran berita palsu berhubung perkara itu.

"Saya ingin menekankan nasihat oleh Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah untuk kita mendapatkan maklumat yang disahkan daripada perdana menteri dan timbalannya, saya sendiri (sebagai menteri kesihatan), dan pengarah Jabatan Kesihatan.

"Masalah 'lebih kritikal' ialah penyebaran berita palsu berkaitan koronavirus.

"Sebagai contoh, (satu hantaran) mengatakan semua negara kecuali Malaysia menutup pintu mereka kepada pelancong China. Ini tidak benar.

"Tidak ada negara yang berbuat demikian kerana mereka mematuhi arahan daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) serta Public Health Emergency of International Concern," katanya ketika sidang media di KLIA2, Sepang, hari ini.

Dzulkefly berkata Kementerian Kesihatan akan mengeluarkan senarai semua berita palsu dan fitnah berkenaan koronavirus dalam masa terdekat.

Beliau menegaskan negara berada pada tahap kesediaan tinggi berdasarkan pengalaman besar dalam melaksanakan pengawalan virus pada masa lalu.

"Jika kita melihat sejarah, kita telah menangani SARS (Sindrom Pernafasan Akut Teruk), Nipah, H1N1, Ebola, Zika, dan Mers-CoV.

"Apa yang saya katakan ialah kita mempunyai banyak pengalaman, dan kita telah menjalankan latihan untuk menggerakkan jentera kita.

"Pusat kawalan kita sentiasa berjaga-jaga, kita tidak akan mudah berpuas hati dan akan terus ditambah baik," katanya.

Setakat ini, ada empat kes positif koronavirus yang telah disahkan di Malaysia, kesemuanya melibatkan warga China di Johor.

Sementara itu lima lagi individu yang disyaki dijangkiti virus itu kini ditempatkan di wad isolasi di hospital.


Tiada ulasan: