Isnin, 20 Januari 2020

Dikecam kerana mahu ‘main forex’, Puteri Balqis tutup IG

Norlaile Abd Rahman
alif
Puteri Balqis, ibunya, Norashikin Mohd. Aziz dan Datuk Alif 
Syukri ketika dijemput ke kediaman ahli perniagaan tersebut 
baru-baru ini.
 
KUALA LUMPUR- Kehilangan akaun Instagram (IG) pelakon Puteri Balqis yang mempunyai kira-kira 500,000 pengikut telah mengundang tandatanya dalam kalangan para peminatnya hari ini.

Mungkinkah pelakon cilik itu menyahaktif akaunnya selepas dikecam teruk warga net kerana berhasrat untuk menggunakan sebahagian wang RM100,000 yang disumbangkan ahli perniagaan,  Datuk Alif Syukri untuk dilaburkan dalam pasaran mata wang asing (forex) hanya kerana beliau meminati graf.

Malah dalam satu klip rakaman video yang tular di media-media sosial baru-baru ini, Puteri Balqis langsung tidak memaklumkan mengenai rawatan penyakitnya selepas mendapat wang itu nanti.

“Puteri mahu menyimpan duit tersebut, sedekah dan (melabur) forex kerana kami minat graf,” katanya ketika Alif bertanyakan bagaimana beliau akan membelanjakan duit sumbangan RM100,000 itu.

Jawapan Puteri Balqis itu telah mengundang kritikan netizen yang rata-rata tidak bersetuju dengan niat pelakon berusia 13 tahun itu untuk membelanjakan wang tersebut.

Kebanyakannya berpendapat, Puteri Balqis sepatutnya menggunakan wang sumbangan tersebut secara berhemah dan menumpukan kepada rawatan penyakitnya.

Malah ada yang mencadangkan Alif supaya tidak memberikan wang tersebut secara sekali gus sebaliknya menggunakannya dengan cara membayar bil rawatan pelakon tersebut.

Kisah Puteri Balqis kembali hangat diperkatakan selepas beberapa tahun beliau “hilang” daripada dunia lakonan apabila dilaporkan terpaksa hidup dalam kesusahan kerana hilang punca pendapatan.

Puteri Balqis kini terpaksa bergantung hidup dengan menjual buku puisinya dan dilaporkan pernah tidak menjamah makanan selama beberapa hari kerana kesempitan hidup.- MalaysiaGazette

Tiada ulasan: