Ahad, 19 Januari 2020

Dah bayar RM3.4 juta saman

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin
 


LEBIH RM3.4 juta kutipan bayaran saman diperoleh dalam tempoh lebih 24 jam selepas Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengumumkan diskaun 50 peratus bagi pembayaran saman secara dalam talian bermula kelmarin.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman Datuk Azisman Alias berkata, bagi tempoh bermula kelmarin hingga 12 tengah hari semalam, lebih 30,000 saman dijelaskan melalui aplikasi dalam talian.

“Setakat jam 12 tengah hari tadi, kami merekodkan pembayaran sebanyak 32,699 saman membabitkan kutipan bayaran lebih RM3.48 juta.

“Berdasarkan jumlah saman dijelaskan bagi hari kedua ini, kami mendapati orang ramai mengambil kesempatan membayar saman tertunggak mereka dengan jumlah diskaun sebanyak 50 peratus yang ditawarkan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Pada Isnin lalu, Azisman mengumumkan PDRM menawarkan diskaun saman 50 peratus untuk pembayaran secara dalam talian melalui MyEg dan Rilex.com bermula 18 hingga 22 Januari ini.

Beliau memaklumkan inisiatif itu juga bagi membolehkan orang ramai tidak perlu menunggu dan beratur berjam-jam bagi membuat pembayaran saman di balai polis.

Tiada ulasan: