Ahad, 19 Januari 2020

Anwar: ‘Parah’ jika PH tidak ambil iktibar kekalahan di Kimanis

Presiden PKR Anwar Ibrahim bersalaman dengan hadirin pada 
majlis sambutan Tahun Baru Cina di Port Dickson malam tadi. 
(Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Presiden PKR Anwar Ibrahim mengingatkan pimpinan Pakatan Harapan (PH) mengenai “keparahan” yang akan berlaku jika gabungan itu tidak mengambil iktibar daripada kemenangan calon Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya kecil Kimanis hari ini.

Anwar berkata, kekalahan hari ini juga tidak seharusnya menjadikan seluruh pimpinan PH lemah semangat, sebaliknya harus bangkit untuk menangani “luka” yang dihadapi rakyat.

“Saya fikir bukan masanya hendak salahkan sesiapa, tetapi tindakan harus diambil. Kalau tidak dapat terima kenyataan ini, kesannya parah kerana nampaknya ia sudah menyeluruh ke seluruh negara.

“Tentunya ada kesan. Bila masalah berbangkit ia bukan sahaja tanggungjawab Dr Mahathir Mohamad, ia juga tanggungjawab saya bersama rakan-rakan pimpinan PH, untuk memikirkan langkah berkesan.

“Khususnya untuk memenangi hati rakyat yang nampak luka,” katanya sewaktu ditemui pemberita pada Sambutan Tahun Baru Cina di Port Dickson, hari ini.

Pada PRK Kimanis hari ini, calon BN Mohamad Alamin mendapat 12,706 undi mengalahkan calon Warisan Karim Bujang yang memperoleh 10,677 undi, dengan majoriti jelas sebanyak 2,029 undi.

BN merampas semula kerusi berkenaan setelah keputusan pilihan raya umum 2018 dibatalkan oleh Mahkamah Pilihan Raya berikutan satu petisyen difailkan oleh Karim yang kalah tipis ketika itu.

Dalam pada itu, ketika mengulas tindakan Lembaga Disiplin PKR mengeluarkan surat tunjuk sebab terhadap naib presiden parti itu, Zuraida Kamaruddin, Anwar berkata, semua ahli Majlis Pimpinan Pusat PKR menerima keputusan berkenaan.

“Semua ahli MPP tahu. Tidak ada masalah dalam mesyuarat tadi. Semua terima keputusan Lembaga Disiplin, dia (Zuraida) akan jawab dalam tempoh 2 minggu,” katanya.

Tiada ulasan: