Khamis, 31 Disember 2020

Sambutan tahun baru di ibu negara tak dibenarkan

Siti Hafidah

 

Sebarang himpunan di kawasan PKPB adalah salah: KPN

BANGI – Sebarang perhimpunan sambutan tahun baru khususnya di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sama sekali tidak dibenarkan.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador memaklumkan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) menolak tiga permohonan bagi mengadakan sambutan tahun baru di ibu negara.

Katanya, perkara itu telah diambil maklum oleh Ketua Polis Kuala Lumpur dan keputusan menolak permohonan tersebut adalah berhubung kait dengan prosedur operasi standard (SOP) COVID-19.

“Sekiranya permohonan ini diluluskan, kita bimbang akan menyebabkan kehadiran orang dalam kapasiti yang ramai hingga tempat tersebut menjadi padat.

“Saya tekankan sebarang perhimpunan khususnya di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) adalah salah,” katanya seperti dilapor Sinar Harian hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, PDRM akan membuat rondaan pada malam ini bagi memastikan tiada sebarang perhimpunan sambutan tahun baru di mana-mana tempat.

“Sekiranya kita kesan masih ada yang ingkar untuk berkumpul, kita akan ambil tindakan kompaun,” tegasnya.

Perniagaan ‘kereta piang’ didalangi kongsi gelap: Ayob Khan

Siti Fatimah

 

Kereta yang ditarik tidak diserah kepada bank, sebaliknya dijual dan diletakkan pelekat khas

JOHOR BAHRU – Perniagaan menarik kereta yang tidak mampu dibayar oleh peminjam kepada bank (perniagaan kereta piang) kini dipercayai turut didalangi kumpulan kongsi gelap yang masih aktif di negeri itu, kata Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay.

Mengakui perkara itu bukanlah satu perkara baharu, beliau berkata, ia adalah antara kegiatan yang dijalankan geng terbabit selain ativiti jenayah dan pengedaran dadah.

Perkara itu terbongkar susulan kejadian bunuh melibatkan seorang penarik kereta, dipercayai anggota kongsi gelap dari Selangor, yang didakwa berpunca daripada rasa tidak puas hati kongsi gelap lain dari Johor iaitu Geng Ngo Seek Kee, kerana memasuki kawasan mereka pada 20 Dis lepas.

“Geng Ngo Seek Kee ni dah lama (wujud)… dipercayai aktif sejak tahun 80-an lagi. Semalam kita dah dakwa lima orang di mahkamah dan kini masih mengesan seorang lagi suspek dikenali sebagai Tan Kim Bong berumur 36 tahun, yang dipercayai ketua sindiket berkenaan. Alamat terakhir di Batu Pahat, Johor,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Ayob Khan berkata, modus operandi perniagaan kereta piang menyaksikan kereta yang ditarik tidak diserahkan kepada bank sebaliknya dijual dan diletakkan pelekat khas serta hanya boleh bergerak di lokasi, kawasan atau negeri yang dikuasai kongsi gelap terbabit.

“Macam kes ini, mereka berebut kereta piang,” katanya sambil menambah bahawa pembeli atau pengguna akan membuat bayaran bulanan minimum RM100 kepada kumpulan kongsi gelap terbabit.

Beliau berkata, kumpulan kongsi gelap turut menyasarkan kereta mewah.

Ayob Khan turut mendedahkan lapan geng kongsi gelap masih aktif iaitu Geng 36 yang mempunyai 87 ahli diikuti Geng 04 (72 ahli), Geng 21 (91), Geng Jin Jee Tong 360 (71), Geng Hong Hong San (61), Geng Jjee It Hai 21 (25), Geng Gee Hong San 253 (71) dan Geng Double 7 (lima ahli).

“Pada 2018, banyak kita tangkap mereka untuk didakwa di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA).

“Ketika itu, kerajaan membuat keputusan untuk membebaskan mereka dan dituduh di bawah Akta Pertubuhan 1966 tetapi lepas mereka dibebaskan, mereka kembali aktif,” katanya sambil menambah aktiviti kumpulan terbabit kini turut tertumpu di daerah Batu Pahat.

Beliau juga berkata, polis terus memantau aktiviti kumpulan kongsi gelap terbabit dan akan segera bertindak sekiranya mereka didapati terlibat dengan jenayah. – Bernama

Polis Johor buka kertas siasatan berkaitan kartel daging

Siti Hafidah

 

15 laporan polis diterima dari pelbagai agensi kerajaan, parti politik

JOHOR BAHRU – Polis Johor akan membuka kertas siasatan berhubung satu laporan polis yang dibuat berkaitan kes kartel daging yang diserbu di Senai, dekat Kulai, awal bulan ini.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, seperti mana kenyataan yang dikeluarkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador semalam, agensi utama yang akan membuat siasatan ialah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

Katanya, Bukit Aman pula akan buka kertas siasatan di bawah Seksyen 505 (b) Kanun Keseksaan.

“Tetapi ada satu laporan polis yang dibuat di Kulai berhubung isu ini. Kita akan siasat di bawah Seksyen 298 (A), berbeza dengan seksyen yang dibuka di Bukit Aman.

“Seksyen ini berkaitan menimbulkan suasana tidak harmoni, permusuhan, perpecahan, perkauman, kebencian dan isu agama, kita akan siasat di bawah seksyen tersebut,” kata beliau kepada pemberita di Ibu Pejabat Kontinjen Johor, di sini, hari ini, ketika diminta mengulas perkembangan terkini kes berkenaan.

Menurut beliau, Polis Johor sehingga hari ini telah menerima 15 laporan polis daripada pelbagai agensi kerajaan dan parti politik.

Sementara itu, Ayob Khan berkata, kekuatan pegawai dan anggota di bawah Kontinjen Johor dilihat masih mencukupi, meskipun kadar jangkitan COVID-19 dan jumlah kuarantin dalam kalangan mereka dilihat semakin meningkat, setelah dikenal pasti sebagai kontak rapat positif COVID-19.

“Setakat ini, Alhamdulillah, masih cukup. Kita akan mengatur gerak kerja dan (kalau memerlukan) boleh menggunakan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) dan Pasukan Gerakan Am. Selain itu, kita akan gembleng tenaga anggota dan pegawai yang berada di Ibu Pejabat Daerah (IPD) yang tidak terjejas,” katanya.

Ayob Khan berkata, jumlah mereka yang yang positif dari IPK dan seluruh Johor adalah 76 orang membabitkan dua pegawai, 29 anggota, empat kakitangan awam, 41 ahli keluarga, sementara mereka yang dikuarantin adalah seramai 401 orang melibatkan 16 pegawai, 366 anggota, tiga kakitangan awam dan 16 ahli keluarga.

“Angka ini mungkin akan meningkat, kita pun sedang menunggu keputusan ujian tersebut sebab ada yang masih belum dapat lagi. Paling tinggi adalah dari IPD Kota Tinggi, setakat ini 13 pegawai, anggota 11, keluarga 12 positif, yang dikuarantin 175,” tambah Ayob Khan.

Sementara itu, beliau berkata, kira-kira 90 orang kena tahan (OKT) yang didapati positif dalam lokap IPD Kota Tinggi, berkemungkinan akan dipindahkan ke Dewan Arena Segitiga, Kota Tinggi, malam ini, susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD). – Bernama

Pelajar IPT kembali ke kampus berperingkat mulai 1 Mac

Siti Hafidah

 

10 hari lebih awal untuk pelajar dari kawasan zon merah

BANGI – Semua pelajar tempatan institusi pengajian tinggi (IPT) dibenarkan kembali ke kampus secara berperingkat seawal 1 Mac depan.

Bagi pelajar dari zon merah, kemasukan adalah 10 hari lebih awal untuk menjalani proses pengasingan serta memastikan mereka bebas COVID-19.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Noraini Ahmad berkata, bagi IPT yang terletak di Sabah dan Sarawak, kemasukan pelajar tetakluk kepada prosedur yang ditetapkan kerajaan negeri masing-masing.

“Majlis Keselamatan Negara (MKN) juga telah meluluskan cadangan KPT untuk membenarkan kemasukan pelajar antarabangsa sedia ada dan baharu di IPTA dan IPTS kecuali dari United Kingdom seawal esok.

“Pelajar antarabangsa perlu memenuhi syarat kuarantin wajib selama 10 hari sebelum masuk ke kampus,” katanya menerusi satu kenyataan pada Khamis.

Mengulas lanjut, beliau berkata, keputusan bagi membenarkan kemasukan secara fizikal ini agar aktiviti pengajaran dan pembelajaran (PdP) dapat dilakukan secara bersemuka dan atas talian.

Keputusan itu katanya selari dengan hasrat kerajaan dalam memastikan kualiti pendidikan tinggi negara terjamin.

“Kementerian menyeru agar pelaksanaan aktiviti akademik di kampus dijalankan dengan mematuhi sepenuhnya Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan dan mengutamakan langkah keselamatan.

“… serta mengamalkan pembudayaan norma baharu seperti sentiasa memakai pelitup muka, memakai cecair pembasmi kuman serta menjaga penjarakan fizikal,” katanya.

Pelajar yang mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubungi Bilik Gerakan COVID-19 KPT yang beroperasi 24 jam di talian 03-8870 6777/6949/6623/6124 atau terus menghubungi IPT masing-masing bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai tarikh dan jadual kemasukan ke IPT.

Sah! Ahli keluarga Zeti mengaku terima wang 1MDB

Salinan akuan berkanun suami dan dua anak lelaki bekas gabenor BNM, Zeti Aziz, 
menyatakan kesediaan mereka memulang wang 1MDB kepada syarikat itu, sekiranya 
pihak berkuasa Singapura menggugurkan siasatan.

PETALING JAYA: Adakah bekas gabenor Bank Negara, Zeti Aziz, benar-benar tidak tahu tentang RM2.6 bilion dalam akaun bank peribadi Najib Razak? Atau sebaliknya?

Ini persoalan yang timbul susulan pendedahan mengejutkan bahawa ahli keluarga beliau menerima wang daripada dana 1MDB.

Suami Zeti, dan dua anaknya, mengaku mengetahui tentang wang 1MDB di dalam akaun mereka, menurut akuan berkanun yang ditandatangani mereka pada Mac tahun lepas.

Wang itu dalam akaun syarikat Cutting Edge Industries di Singapura dan mereka bertiga mengakui pemilik akaun itu.

SD itu, yang dilihat FMT, adalah tulen dan boleh dipercayai, menurut peguam yang menandatangani dokumen itu.

Pendedahan dalam SD itu menyusuli laporan oleh blog MalaysiaToday, yang dikendalikan Raja Petra Kamaruddin, mendakwa suami Zeti dan anak-anak lelakinya menerima lebih RM100 juta ringgit daripada ahli perniagaan dikehendaki, Low Taek Jow, yang didakwa mendalangi skandal 1MBD.

Dakwaan itu disokong SD yang menyatakan suami dan dua anak lelaki Zeti mengaku menerima dana berkenaan dalam akaun bank mereka di Singapura.

Wang itu daripada syarikat yang dikaitkan dengan Low.

Susulan pendedahan itu, Najib mendesak Zeti menjawab dakwaan berkenaan dan berkata bekas gabenor BNM itu sendiri yang menyarankan beliau membuka akaun bank bawah nama sendiri dan bukan atas nama UMNO untuk menerima “derma Arab”.

Bekas perdana menteri itu juga mendakwa ada meminta Zeti memantau sebarang transaksi mencurigakan dalam akaun berkenaan.

Pada Julai 2018, Zeti nafi dakwaan Najib bahawa beliau tahu mengenai derma RM2.6 bilion itu, yang menurut Najib sumbangan daripada kerabat diraja Saudi kepada kerajaan, yang disalurkan ke akaun peribadinya.

Najib bagaimanapun mempersoalkan logik di sebalik penafian Zeti itu.

“Mana mungkin seorang gabenor BNM boleh tidak tahu apabila dana asing berjumlah berbilion masuk ke dalam akaun bank atas nama perdana menteri sedangkan setiap transaksi besar dari luar negara perlu kelulusan BNM,” katanya di Facebook.

Dalam pada itu, SD berkenaan menyatakan suami dan dua anak lelaki Zeti bersetuju menyelesaikan isu dana 1MDB itu dengan kerajaan Singapura.

Menurut SD itu, mereka bersetuju untuk memulangkan wang 1MDB dalam akaun mereka kepada syarikat itu, sekiranya pihak berkuasa Singapura menggugurkan siasatan.

SD suami dan dua anak Zeti membuat cadangan penyelesaian itu dengan merujuk kepada Seksyen 370 Kanun Tatacara Jenayah Singapura, berkenaan perampasan harta.

Suami Zeti, Tawfiq Ayman, dan anak mereka, Abdul Aziz dan Alif Ayman Aziz, menguruskan akaun itu bawah nama Cutting Edge Industries LTd, yang berpangkalan di Singapura.

Menurut pendedahan MalaysiaToday, wang dalam akaun mereka itu disalurkan daripada Iron Rhapsody Ltd, yang ditubuhkan untuk menerima wang daripada Low.

Laporan itu mendakwa suami dan dua anak lelaki Zeti adalah juga pemilik Iron Rhapsody.

FMT masih berusaha mendapatkan komen Zeti.

Rekod baru 2,525 kes COVID-19, 8 kematian

PETALING JAYA: Kes baru COVID-19 mencapai rekod tertinggi sejak virus itu tersebar ke Malaysia, dengan 2,525 kes dicatatkan dalam tempoh 24 jam lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah itu, 2,512 kes adalah penularan tempatan dan baki 13 kes import.

Katanya, lapan kematian dilaporkan hari ini, menjadikan keseluruhan 471 pesakit meninggal dunia setakat ini.

Beliau berkata, seramai 1,481 pesakit sembuh hari ini, menjadikan semuanya 88,941 kes pulih daripada keseluruhan 113,010 kes COVID-19 sehingga kini.

Katanya, Selangor yang mencatatkan 1,205 kes kembali mendahului senarai kes harian tertinggi, diikuti Sabah (299 kes) dan Melaka (239 kes).

Hisham berkata, peningkatan kes di Selangor itu disumbang kluster dan saringan kontak rapat di lapangan, iaitu 995 kes.

Negeri lain yang mencatatkan kes baru termasuk Kuala Lumpur sebanyak 222 kes, Johor (194), Pulau Pinang (92), Negeri Sembilan (78), Labuan (63), Kelantan (37), Perak (33), Kedah (24), Terengganu (17), Pahang (15), Putrajaya (5), dan Sarawak (2).

Hampir semua negeri mempunyai jangkitan baru hari ini kecuali Perlis.

Ketika ini, seramai 23,598 pesakit sedang dirawat, dengan 60 daripada 131 pesakit di unit rawatan rapi memerlukan bantuan pernafasan.

Lima pesakit lelaki dan tiga wanita berusia 39 hingga 79 tahun meninggal dunia hari ini.

LIHAT VIDEO DI SINI

Covid-19: Johor tertinggi, 1,870 kes positif baharu .

KUALA LUMPUR – Sebanyak 1,870 kes positif baharu Covid-19 direkodkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes positif meningkat kepada 110,485 kes dengan kebolehjangkitan sebanyak 22,562 kes.

Daripada jumlah kes baharu berkenaan, terdapat dua kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara manakala penularan wabak itu dalam negara pula adalah sebanyak 1,868 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, buat pertama kalinya, Johor mencatatkan kes harian baharu tertinggi iaitu sebanyak 607 kes atau 32.5 peratus.

Jelas beliau, daripada jumlah itu, sebanyak 578 kes atau 95.2 peratus adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat Covid -19 yang aktif dijalankan di lapangan.

Menurutnya, peningkatan kes di Johor dipengaruhi oleh kluster yang berkaitan dengan penjara iaitu Kluster Tembok Choh yang melaporkan sebanyak 374 kes atau 61.6 peratus.

“Ini diikuti oleh Selangor sebanyak 472 kes atau 25.2 peratus dan Sabah sebanyak 280 kes atau 15.0 peratus). Sebanyak 402 kes atau 21.5 peratus yang dilaporkan pula adalah berkaitan kluster-kluster di lokap, depot tahanan imigresen dan penjara yang membabitkan Kluster Tembok Choh atau 374 kes.

“Kluster Penjara Jalan Harapan pula adalah lapan kes, Kluster Pagar Bentong (enam kes), Kluster Tembok Mempaga (enam kes), Kluster Tembok (empat kes), Kluster Pagar Siput (tiga kes), Kluster Tembok Gajah (dua kes) dan Kluster Hala Mutiara sebanyak satu kes,” katanya dalam satu kenyataan harian berkaitan Covid-18 di sini hari ini.

Dr Noor Hisham menambah, sehingga kini, terdapat 131 kes positif Covid-19 yang sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di mana 62 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Beliau memberitahu, terdapat pertambahan enam kes kematian Covid-19 pada hari ini yang menjadikan jumlah kumulatif kes kematian adalah sebanyak 463 kes atau 0.42 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

“Kementerian Kesihatan Malaysia memaklumkan pada hari ini bilangan kes sembuh Covid-19 adalah sebanyak 745 kes.

“Ini menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh sepenuhnya daripada wabak itu adalah sebanyak 87,460 kes atau 79.2 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” katanya. – MalaysiaGazette

Suspek sunting video hina lagu Indonesia Raya disyaki warga Indonesia – KPN.

MGF06042020_PC-IGP05
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.

KUALA LUMPUR – Suspek utama yang menyunting lirik lagu kebangsaan Indonesia seperti tular di media sosial dan bertujuan menghina negara itu disyaki dilakukan warga republik berkenaan dan video tersebut bukan dibuat di Malaysia, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Beliau berkata maklumat itu diperoleh hasil soal siasat terhadap seorang buruh warga Indonesia berusia lingkungan 40-an di Sabah yang juga merupakan salah seorang suspek kes itu.

“Suspek itu ditahan di Sabah, pada Isnin lepas dan PDRM (Polis Diraja Malaysia) menemui petunjuk baharu dalam penyiasatan kes berkenaan.

“Ya, PDRM dapat petunjuk baharu bahawa pelakunya dikatakan berasal dari negara seberang (Indonesia) dan kami sedang menyoal siasat untuk mendapatkan maklumat lanjut pengakuannya siapa yang sunting video itu,” katanya kepada Bernama di Bukit Aman.

Abdul Hamid berkata maklumat itu telah dikongsikan kepada pihak Polisi Republik Indonesia (POLRI) kerana kedua-dua pihak berkuasa negara mengambil serius tentang perbuatan berkenaan dan suspek utama akan diketahui dalam masa terdekat.

“Dalam kes terbaharu ini, ada manusia durjana yang tidak bertanggungjaawab dan bermotif jahat telah memperlekehkan lagu kebangsaan Indonesia Raya.

“Parodi ini menimbulkan kemarahan rakyat Indonesia dan saya memberi jaminan bahawa satu tindakan drastik telah diambil oleh Jabatan Siasatan Jenayah iaitu menubuhkan satu pasukan khusus telah diterbangkan ke Sabah pada semalam untuk menjejaki pelaku-pelaku ini,” katanya.

Abdul Hamid menegaskan sebarang perbuatan atau tindakan yang mengaibkan kehormatan sesebuah negara itu merupakan kesalahan yang amat berat.

“Insya-Allah apabila tertangkapnya suspek, kita akan adili dan mendakwanya di mahkamah untuk menerima hukuman setimpalnya.

“Saya memberi amaran kepada rakyat Malaysia supaya tidak meneruskan aktiviti terkutuk ini dan (perbuatan) yang menimbulkan perasaan sakit hati dalam kalangan rakyat negara jiran kita hentikan,” katanya.

Terdahulu, satu video dimuat naik dua minggu lepas oleh individu tidak bertanggungjawab di ruang komentar di laman YouTube My Asean, memaparkan lirik lagu kebangsaan Indonesia, Indonesia Raya, disunting bagi tujuan menghina Indonesia.

Video di ruang komen di YouTube berkenaan dipadamkan, namun video itu sempat dimuat naik ke pelbagai aplikasi lain dan ditularkan di platform media sosial lain di Indonesia, yang menimbulkan pelbagai komen kebencian dan kemarahan.- BERNAMA

Geng Kecik Benut tumpas

Adnan Ibrahim

EMPAT kenderaan yang dirampas dalam serbuan berkenaan. FOTO ihsan polis

Kluang: Dua anggota geng curi kenderaan dikenali Geng Kecik Benut ditahan dalam serbuan di Taman Midori, Simpang Renggam, di sini, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Low Hang Seng berkata, kedua-dua suspek berusia 26 dan 56 tahun itu ditahan dalam serbuan jam 3.30 petang.

"Selain serbuan itu, kita juga melakukan serbuan serentak di beberapa rumah di Rengit, Batu Pahat, Parit Haji Adnan dan Parit Sikom di Pontian.

"Hasilnya, kita berjaya merampas tiga kereta dan satu lori dianggarkan bernilai RM100,000," katanya.

Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod kesalahan lampau berkaitan kes curi kenderaan dan dadah.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 379 A Kanun Keseksaan (KK) (curi kenderaan)," katanya.

Hang Seng berkata, dengan penahanan kedua-dua suspek itu pihaknya berjaya menyelesaikan empat kes curi kenderaan di daerah berkenaan.

"Kedua-dua suspek kini ditahan reman selama empat hari sehingga 2 Januari 2021," katanya.

PEMBERITAHUAN:

  BERITA POLITIK DALAM KEMBAR BLOG ' AR RISALAH '

Enam kali langgan pelacur, percuma sekali

Nor Azizah Mokhtar
 
GAMBAR HIASAN

Kuala Lumpur: Polis menyerbu sebuah sarang pelacuran yang beroperasi di sebuah hotel bertaraf tiga bintang di Jalan Ipoh, Sentul di sini dan menahan 12 wanita warga asing yang disyaki pekerja seks, malam tadi.

Dalam serbuan jam 11 malam itu, polis turut menahan dua lelaki tempatan dan seorang warga asing yang berperanan sebagai penjaga.

Semua wanita yang ditahan berusia lingkungan 20-an dan 30-an terdiri daripada sembilan warga Vietnam dan tiga warga Thailand.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Saiful Annuar Yusoff berkata, serbuan dijalankan hasil maklumat yang disalurkan orang awam melalui aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Susulan itu, kita melakukan risikan dan pemantauan hampir dua minggu ke atas kegiatan pelacuran di hotel ini sebelum menjalankan serbuan.

"Kita dapati 12 bilik, masing-masing enam bilik di tingkat lapan dan sembilan hotel ini digunakan sebagai bilik pelacur melayan pelanggan," katanya ketika ditemui di lokasi serbuan.

Menurut beliau, hasil siasatan awal mendapati sindiket ini menawarkan khidmat mereka melalui WeChat dan menggunakan aplikasi sama untuk berurusan dengan pelanggan.

"Pelanggan akan diminta datang ke hotel ini sebelum dibawa ke bilik-bilik yang menempatkan pelacur untuk mereka membuat pilihan.

"Sindiket didapati mengenakan bayaran sebanyak RM235 kepada pelanggan untuk sekali langganan," katanya.

Katanya, pelanggan juga diberikan satu kad 'loyalty' dan akan dicop setiap kali mereka datang melanggan sebelum diberikan sekali khidmat percuma selepas enam kali langganan.

"Pemeriksaan mendapati sebahagian warga asing yang ditahan mempunyai dokumen perjalanan sah manakala selebihnya mendakwa pasport mereka disimpan oleh pihak lain.

"Kita percaya sindiket pelacuran ini beroperasi di hotel ini sejak tiga bulan lalu dan siasatan lanjut sedang dijalankan termasuk pembabitan pihak hotel dalam kegiatan itu," katanya.

Jangan salah anggap - Dr Zulkifli

Samadi Ahmad

Dr Zulkifli melawat kilang HS Nada Sdn. Bhd. FOTO Twitter Dr Zulkifli

Putrajaya: Masyarakat diharap tidak tersalah anggap dan menunding jari mengatakan Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) bersikap lepas tangan dalam menangani isu daging import.

Menterinya, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, perkara itu penting kerana ia membabitkan umat Islam.

Katanya, beliau ada menerima beberapa tangkap layar laporan media selain terdapat segelintir pihak mempersoalkan kenyataan dikeluarkan pihaknya sebelum ini membabitkan isu berkenaan.

"Ada pihak mendakwa seolah-olah saya lepas tangan dan tidak serius dalam menangani masalah ini.

"Kenyataan itu adalah asas kepada dua pilihan yang dikemukakan sebagai jawapan pertanyaan wartawan ketika sidang media diadakan," katanya menerusi ciapan yang dimuat naik di Twitter hari ini.

Zulkifli berkata, kenyataan beliau semalam bagi menjawab pertanyaan wartawan berhubung pandangan Timbalan Mufti Perak, Datuk Zamri Hashim yang menyarankan untuk mengelak makan daging import.

Katanya, beliau amat menghormati pandangan Zamri kerana itu juga antara pilihan yang tersedia untuk umat Islam.

Pada masa sama, katanya, beliau perlu mengingatkan yang umat Islam di negara ini ada banyak pembekal daging import dalam kalangan Bumiputera Muslim yang juga pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia yang sah, tidak seperti isu daging haram baru-baru ini.

Zulkifli berkata, umat Islam boleh membuat semakan terhadap status pihak terbabit melalui di laman halal.gov.my.

"Justeru, dengan meraikan pandangan sahabat saya Timbalan Mufti Perak, jua suara pembekal daging import dalam kalangan bumiputera Muslim yang tidak terlibat dalam hal ini, itulah pilihan yang saya kemukakan.

"Saya yakin kita semua bersetuju bahawa pembekal daging import dalam kalangan bumiputera Muslim yang tidak bersalah, tidak wajar terpalit sama dalam isu ini," katanya.

Zulkifli juga menyentuh sebuah hadis Rasulullah SAW yang bermaksud 'Tinggalkanlah perkara yang meragukan kamu kepada perkara yang tidak meragukan kamu'.

"Saya amat berharap kenyataan ini tidak disalahanggap sebagai saya bersikap lepas tangan terhadap isu yang penting bagi umat Islam ini," katanya.

Ketuk, lerai tembaga curi dalam longkang

Ramli Ibrahim

SIK (kanan) menunjukkan tembaga dirampas daripada suspek. FOTO RAMLI IBRAHIM

Gua Musang: Bunyi pelik dari longkang besar di sekolah menengah di Sungai Asap, dekat sini, membongkar aktiviti mencuri dawai dan tembaga di sekolah berkenaan.

Malah, turut ditemui di 45 kilogram (kg) tembaga di dalam longkang itu pada pagi Selasa lalu, sekali gus meleraikan misteri kehilangan tembaga lintas pintas yang berlaku sejak beberapa bulan kebelakangan ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Gua Musang, Deputi Superintendan Sik Choon Foo berkata, kejadian itu disedari seorang tukang kebun sekolah terbabit.

Beliau berkata, ketika tukang kebun itu sedang membersih persekitaran sekolah itu 9 pagi, dia terdengar bunyi orang mengetuk besi dalam longkang besar.

"Tukang kebun terbabit menjenguk dalam longkang itu dan ternampak seorang lelaki sedang mengetuk tembaga untuk dimasukkan dalam guni.

"Di sisi lelaki terbabit itu didapati sejumlah tembaga yang siap dimasukkan dalam guni untuk dijual," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Daerah Polis (IPD) Gua Musang di sini, hari ini.

Sik berkata, sebaik tukang kebun itu ternampak suspek yang sedang mengetuk tembaga itu, dia memanggil pengawal keselamatan bertugas di sekolah.

Beliau berkata, suspek yang tidak sempat melarikan diri diberkas tukang kebun itu bersama pengawal keselamatan sebelum diserah kepada polis.

"Hasil siasatan mendapati suspek sudah tiga kali mencuri tembaga lintas pintas sekolah itu dan ditangkap dalam kejadian kali empat.

"Sebanyak 45kg tembaga yang dirampas bernilai RM30,000 dan turut dirampas pelbagai peralatan digunakan untuk tujuan itu.

"Suspek berusia 24 tahun yang ditahan itu disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan," katanya.

Renang 20 km 21 m sambut 2021

Amir Abd Hamid
 
Ahli kelab bergambar kenangan selepas acara Pulau Perhentian Round Island 16KM, pada 2019. FOTO ihsan AMMJB

Kuala Lumpur: Memeriahkan sambutan Tahun Baru 2021, Kelab Renang AMMJB Elite Swimmer menganjurkan acara renang di perairan terbuka sejauh 20 Kilometer (km) 21 meter, esok.

Renangan selama lapan jam itu bermula 8 pagi hingga 4 petang di Tasik Saujana Putra, Bandar Saujana Putra, Kuala Langat, dekat sini.

Exco Komunikasi Korporat AMMJB, Mohd Yuzafi Yunos berkata, acara renang itu disertai sembilan peserta.

"Objektif penganjuran acara ini adalah untuk memartabatkan sukan renang Open Water di Malaysia.

"Memupuk semangat kesukanan di antara ahli kelab dan juga memberi pendedahan umum berkenaan sukan air yang bukan sahaja di kolam renang tetapi juga di laut dan di tasik (Open Water Swimming).

"Menerapkan ciri-ciri keselamatan semasa renangan dengan pemakaian Safety Buoy, life guard dan juga penjarakan fizikal," katanya.

Beliau yang juga Pegawai Seksyen Komunikasi Strategik, Unit Komunikasi Korporat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjelaskan, format renangan adalah bagi setiap tiga km renangan akan diadakan Pit Stop.

Menurutnya, Pit Stop itu membolehkan peserta untuk minum air dan refreshment (menyegarkan diri).

Mohd Yuzafi berkata, harapan AMMJB sukan air 'open water' menjadi sukan alternatif peringkat beginner hingga elite dan dapat melahirkan lebih ramai perenang Openwater di Malaysia.

"Antara peserta ialah Pengerusi AMMJB, Saiful Nizam Kamal Ariffin yang pernah mewakili Malaysia dalam acara World Championship Open Water Oceanman di Dubai pada tahun 2018," katanya.

"Kebanyakkan ahli AMMJB terdiri mereka yang pernah menyertai acara renang jarak jauh atau triathlon seperti Oceanman dan Ironman di peringkat antarabangsa mahu pun di dalam negara.

"Sungguhpun begitu, AMMJB sentiasa terbuka untuk menerima ahli baru yang berminat untuk mempelajari teknik renangan Open Water," katanya.

Beliau berkata, adalah menjadi kepuasan melihat ahli kelab dan orang ramai mampu berenang dengan cekap dan selamat di laut.

Ini sekaligus, katanya, juga boleh meningkatkan tahap keyakinan diri apatah lagi apabila ditimpa kemalangan atau situasi yang mencemaskan di kawasan perairan.

Maklumat produk halal boleh diperolehi dalam blok rantai

fazleensafina

 

Pengguna juga disaran semak pengesahan halal melalui kod QR

BANGI – Blok rantai adalah antara teknologi wajar dimanfaatkan pada zaman Revolusi Industri 4.0.

Dr Mohd Farhan Md Ariffin yang mengesyorkan perkara itu berkata, teknologi itu digunakan bagi membendung isu sindiket kartel daging import, membabitkan aktiviti pemalsuan pelabelan logo halal daripada terus berulang.

Beliau yang juga Pensyarah Kanan, Akademi Tamadun Islam, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu berkata, setiap maklumat halal produk halal akan disahkan dalam pangkalan data halal melalui teknologi berkenaan.

“Oleh itu, maklumat produk sepanjang rantai makanan bermula pengesahan badan berautoriti, pembekal bahan mentah, pengeluar, pemborong, logistik dan peruncit akan diketahui secara telus,” katanya menulis di Berita Harian hari ini.

Mengulas mengenai perkara sama, Mohd Farhan turut mencadangkan, pengguna boleh membuat semakan pengesahan halal dan memberi maklum balas dengan mengimbas kod QR menggunakan telefon pintar.

Paling tidak, katanya, pengguna juga perlu menggunakan kod hologram khusus bagi setiap produk halal supaya tidak mudah dipalsukan.

Katanya, ia sama seperti dipraktikkan pada produk susu dan klinikal masa kini.

“Antara lain, kita wajar memperketatkan syarat permohonan pensijilan halal, mewujudkan label halal berbeza bagi produk import, memboikot daging import dari negara tidak peka atau meragukan serta pemantauan lebih kerap terhadap syarikat berisiko tinggi,” katanya.

Sebelum ini, negara didedahkan dengan taktik jahat kartel yang menyeludup daging sejuk beku dari China, Ukraine, Brazil dan Argentina sebelum membungkus semula daging berkenaan menggunakan logo halal dan menjualnya ke pasaran seluruh Malaysia dalam serbuan bersepadu pihak berkuasa di sebuah gudang di Senai.

Hasil risikan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) kartel berkenaan dipercayai menyamar sebagai syarikat pembekal daging sejuk beku telah menjadikan gudang berkenaan sebagai lokasi untuk membuat label dan cap palsu yang kemudiannya akan ditampal pada kotak daging yang telah dibungkus semula itu.

Tindakan itu dibuat bagi menyakinkan pemborong di Malaysia kononnya bekalan daging sejuk beku itu diperoleh dari negara yang dibenarkan pengimportannya sebelum dipercayai diedar ke pasaran tempatan.

Terdahulu, Berita Harian melaporkan kartel berkenaan menubuhkan syarikat proksi di negara ini dan dinamakan dengan nama berunsur Islamik dan keMelayuan yang boleh meraih keyakinan pengguna Islam.

Kegiatan syarikat dinyatakan dalam pendaftaran dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pula adalah mengimport bekalan daging, namun ada juga kegiatan yang dinyatakan langsung tiada kaitan dengan industri berkenaan.

Bantah Jawi: Sikap antinasional Dong Jiao Zong makin menebal

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

 

Fahaman rasis pertubuhan Cina hanya gagalkan usaha integrasi nasional

BANGI – Pertubuhan radikal Cina, Dong Jiao Zong sewajarnya akur dengan keputusan Kementerian Pendidikan yang menetapkan pengajaran dan pembelajaran tulisan Jawi, akan diteruskan di Sekolah Jenis Kebangsaan (SJK) dan Sekolah Kebangsaan (SK).

Menerusi kenyataan bersama dalam hantaran di Facebook Dong Zong pada 21 Disember lalu, Dong Jiao Zong mendedahkan hasil soal selidik yang mendapati hampir semua ibu bapa pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) membantah modul ‘pengenalan Jawi’ Tahun 4.

Pertubuhan itu mendakwa, 1,298 buah SJKC, 98.23 peratus (1,275) membantah pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran Jawi dan hanya 23 buah SJKC yang bersetuju.

Dong Jiao Zong mendakwa, KPM sepatutnya mengetepikan langkah-langkah pelaksanaan yang dibayangi kontroversi – itu adalah perkara utama dalam semakan pengajaran dan pembelajaran Jawi.

Menyelar kenyataan pertubuhan radikal itu, Presiden Ikatan Guru-Guru Muslim Malaysia (iGuru), Ustaz Mohd Azizee Hasan berkata, Dong Jiao Zong tidak patut mempertikaikan pembelajaran tulisan Jawi di SJK kerana sekolah-sekolah ini mendapat bantuan daripada pihak kerajaan.

“Mereka patut akur kerana pembelajaran tulisan Jawi adalah dasar yang telah dimuktamadkan KPM

“Sebarang isu teknikal berkaitan pendekatan pengajaran perlu diselesaikan secara rundingan dan perbincangan yang harmoni,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net.

Mengulas lanjut, Ustaz Azizee berkata, kedegilan pihak Dong Jiao Zong hanya menunjukkan sikap antinasional dan fahaman rasis mereka yang menebal.

“Sikap mereka ini akan menggagalkan usaha memupuk integrasi nasional dan semangat patriotisme,” katanya.

7 Disember lalu, Timbalan Menteri Pendidikan, Muslimin Yahaya, berkata pembelajaran Jawi akan diteruskan kerana keputusan Jemaah Menteri pada 14 Ogos tahun lalu memutuskan supaya pengenalan tulisan jawi tetap dilaksanakan di SJK dan SK.

Mangsa culik lepaskan diri dengan tangan bergari

Oleh SHAARANI ISMAIL
GAMBAR yang tular lelaki bergari dibantu anggota polis di Taiping hari ini setelah menyelamatkan diri daripada kumpulan penculik di Kampung Teluk Perang, Parit -  MEDIA SOSIAL

PARIT: Seorang lelaki mangsa culik empat individu melarikan diri dalam keadaan tangan bergari dari kenderaan miliknya yang dilarikan dalam kejadian di Kampung Teluk Perang, dekat sini hari ini.

Dalam kejadian itu, mangsa cedera ringan dan calar di beberapa bahagian badan selepas membuka pintu keretanya dan terjun ke arah sebuah masjid di Taiping bagi mendapatkan bantuan orang ramai.

Timbalan Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Deputi Superintenden Nik Rosdi Nik Yahya berkata, pihaknya menerima panggilan dari Balai Polis Taiping yang memaklumkan mengenai lelaki berkenaan.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati, mangsa sebelum itu memandu kereta Honda HRV miliknya di kawasan Teluk Perang Parit sekitar pukul 8.30 malam semalam dan ditahan sebuah kereta Proton Waja berwarna gelap dinaiki empat lelaki.

“Tiga lelaki turun dari kereta Proton Waja tersebut dan dua daripada mereka memperkenal diri sebagai anggota polis mahu buat pemeriksaan ke atas mangsa sebelum menaiki kereta mangsa.

“Mangsa akur untuk diperiksa dan beri kerjasama namun kemudiann digari dan matanya diserkup dengan topeng hitam.

“Mangsa dibawa masuk ke dalam keretanya dan bersama tiga lelaki manakala seorang lagi menaiki Proton Waja mengekori kenderaan dinaiki mereka,” katanya di sini hari ini.

Nik Rosdi berkata, mangsa dibawa menaiki kereta untuk suatu tempoh yang panjang dan turut dipukul dengan kayu pada badannya serta dipaksa menyerahkan barang miliknya iaitu dua buah telefon bimbit, dompet berisi dokumen pengenalan diri dan kad ATM serta wang tunai RM200.

Menurutnya, sebelum itu polis menerima laporan pada pukul 1.40 pagi ini daripada seorang wanita berusia 25 tahun.

Katanya, dalam laporannya, wanita itu menerima panggilan dari telefon bimbit suaminya kira-kira pukul 9.30 malam menyatakan terlibat kemalangan di Simpang Papan, Pusing dan meminta wang tunai RM50,000 sebagai bayaran ganti rugi kerosakan kenderaan yang dilanggarnya.

Beliau berkata, wanita itu mendakwa panggilan itu bagaimanapun terputus dan pengadu kemudian menerima satu lagi panggilan menyatakan harga ganti rugi diturunkan kepada RM20,000 dan minta dibayar segera ke akaun Maybank suami pengadu.

“Pengadu bersama bapanya keluar mencari namun tidak menemukan mangsa dan datang ke Balai Polis Parit membuat laporan untuk tindakan lanjut,” katanya.

Nik Rosdi berkata, sepasukan polis kemudian menjalankan operasi  mengesan mangsa namun gagal malah polis juga tidak mengesan sebarang laporan kemalangan di daerah Perak Tengah serta daerah jiran melibatkan kereta dinaiki suami pengadu.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan cedera ketika melakukan rompakan dan usaha mengesan keempat-empat suspek terlibat giat dijalankan.

“Polis juga menyeru orang ramai mengesan kenderaan Honda HRV berkenaan yang bernombor pendaftaran AKC 939 supaya segera menghubungi polis,” katanya.

Beliau berkata, sebarang maklumat berhubung kes itu boleh disalurkan kepada Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Perak Tengah, Asisten Superintenden Mohamad Jazlan Sharif di talian 013-5218607 dan Pegawai Penyiasat kes, Inspektor M. Maheswaran di talian 010-7005051 atau menghubungi Bilik Gerakan IPD Perak Tengah di talian 053712222.  – UTUSAN ONLINE

Pekerja binaan maut ditimbus tanah runtuh

KOTA KINABALU: Seorang pekerja binaan warga asing maut apabila tertimbus bawah runtuhan tanah di Jalan Lama Tuaran, Bandar Sierra, di sini, petang tadi.

Dalam insiden kira-kira jam 4 petang, Sukirman Rappe, 43, dikatakan sedang menjalankan kerja pengambilan tanah menggunakan jengkaut sebelum tiba-tiba berlaku tanah runtuh.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 4.09 petang.

Susulan itu, katanya, sepasukan lapan anggota diketuai Pegawai Bomba Kanan II, Rozam Shah Rahmat, dikerah ke lokasi bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) serta Perkhidmatan Penyelamatan dan Perawatan Kecemasan (EMRS).

"Mangsa berjaya dikeluarkan daripada runtuhan tanah pada jam 5.12 petang oleh pasukan bomba, namun disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan di lokasi kejadian," katanya.

Katanya, mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Janda, duda dihukum penjara dan denda kerana berkhalwat

CHUKAI: Sepasang kekasih berstatus janda dan duda dihukum penjara sebulan serta denda RM3,000 oleh Mahkamah Rendah Syariah Kemaman, semalam, kerana berkhalwat.

Wanita berusia 22 tahun dan pasangannya yang berumur 34 tahun itu turut berdepan hukuman penjara dua bulan lagi jika mereka gagal menjelaskan denda berkenaan.

Hakim Syarie Mohd Fakhruddin Yusof membuat keputusan itu selepas mereka mengaku bersalah atas pertuduhan mengikut Seksyen 31 (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 kerana berkhalwat.

Terdahulu, Mohd Fakhruddin dalam penghakimannya berkata, pesalah wanita dilihat tidak serik kerana masih mengulangi kesalahan sama.

"Kali pertama pada 2017 dan kali kedua pula pada 2018 (kes semalam) yang mana kamu tidak hadir serta lari daripada hadir ke mahkamah seperti diarahkan sehingga kamu ditangkap lagi ketika melakukan perbuatan tidak bermoral, tahun ini.

"Kesalahan ketiga dilakukan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mana ia adalah satu tempoh amaran dan ujian Allah untuk manusia.

"Sepatutnya awak semakin takut untuk melakukan maksiat dalam tempoh sebegini, dan saya berharap hukuman ini menjadikan masyarakat gerun serta takut untuk mendekati maksiat yang mendatangkan bala kepada seluruh ummah," katanya.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa melakukan khalwat di sebuah bilik di Bandar Baru Kerteh, di sini, jam 1.10 pagi 13 Februari 2018.

Pendakwaan dikendalikan oleh Ketua Pendakwa Syarie, Mustafar Hamzah.

Berdasarkan fakta kes, sepasukan penguat kuasa syariah daerah Kemaman melakukan pemeriksaan berwaran di lokasi kejadian hasil maklumat yang diterima.

Sebaik saja sampai di hadapan pintu bilik berkenaan, penguat kuasa mendapati keadaan di luar bilik gelap sebelum anggota mengetuk pintu dan memberi salam beberapa kali.

Bagaimanapun, anggota mendapati pintu itu tidak berkunci sebelum pemeriksaan mendapati ada seorang wanita dan seorang lelaki di dalam bilik berkenaan.

Hasil soal siasat mendapati kedua-duanya bukan pasangan suami isteri atau mahram.

Polis buru pesakit lari

BH ONLINE
Polis memburu pesakit COVID-19 yang melarikan diri dari Hospital Tampin. - Gambar hiasan NSTP
Polis memburu pesakit COVID-19 yang melarikan diri dari Hospital Tampin. - Gambar hiasan NSTP

TAMPIN: Polis mengesan seorang pesakit COVID-19 yang melarikan diri dari Hospital Tampin, pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Tampin Superintenden Anuwal Ab Wahab, berkata lelaki berusia 33 tahun yang beralamat terakhir di Petaling Jaya, Selangor itu dikesan tiada di katil hospitalnya pada 11.45 pagi.

"Kali terakhir dilihat lelaki itu memakai kemeja T gelap warna hijau dan seluar jeans warna biru. Usaha mengesan pesakit COVID-19 itu kini giat dijalankan," katanya, di sini hari ini.

Beliau berkata, pesakit berkenaan juga bekas banduan Penjara Jelebu dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai lelaki boleh menghubungi balai polis berhampiran atau Kementerian Kesihatan. – BERNAMA

Rabu, 30 Disember 2020

Polis Kelantan guna dron pantau PKPD Madrasah Daril Naim, Kluster Halban

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat, berkata penggunaan dron itu dibuat berikutan faktor geografi kawasan itu yang mempunyai sawah di belakang kawasan berkenaan.

"Penggunaan dron adalah untuk membantu pemantauan dari udara berikutan kedudukan rumah penduduk agak rapat dan penghuninya ramai dalam kalangan warga emas serta kanak-kanak.

"Kawalan terhadap kawasan ini agak mudah kerana dikelilingi pagar dan bendang padi di bahagian belakang pula tidak boleh dilalui orang ramai," katanya kepada pemberita ketika meninjau madrasah itu hari ini.

Madrasah yang menempatkan 161 penghuni itu dikenakan PKPD mulai semalam sehingga 11 Januari ini bagi mengekang penularan Kluster Halban yang dikesan di kawasan terbabit.

Shafien berkata, seramai 15 lagi penghuni madrasah itu dibawa ke hospital hari ini dan jumlah keseluruhannya sudah lebih 60 orang sedang mendapatkan rawatan di beberapa hospital.

"Untuk kawalan di kawasan ini, dua laluan dibuat, manakala bagi pergerakan penduduk kampung pula, mereka mempunyai jalan lain dan setakat ini, kami mendapat kerjasama sangat baik daripada semua pihak," katanya.

Mengenai Kluster Pintu Geng yang dikesan dua hari lalu, Shafien berkata, pihaknya membuat pemantauan terhadap kawasan itu membabitkan semua aspek.

Pihaknya juga dimaklumkan bahawa majoriti penduduk kawasan itu mengambil langkah keselamatan sendiri iaitu tidak keluar daripada kediaman masing-masing sebagai pencegahan penularan.

"Ia satu langkah yang baik dan wajar dipuji kerana dapat membendung penularan wabak dan kita sangat alu-alukan," katanya.

Mengulas perkembangan 15 anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu yang dikenal pasti kontak rapat seorang tahanan positif COVID-19, Shafien berkata, pihaknya sedang menunggu keputusan ujian calitan kali kedua.

Katanya, ketika ini semua anggota itu menjalani kuarantin di rumah masing-masing itu adalah kontak rapat kepada tahanan kes komersil dari zon merah iaitu Selayang, Selangor.

"Jika keputusan (ujian calitan) negatif, negatif lah. Jika sebaliknya, kita hadapinya," katanya.

LIHAT VIDEO DI SINI

Turap sendiri jalan tak ikut spesifikasi undang bahaya

azrulhakimie

 

Orang ramai diminta tak tampal sendiri lubang dikhuatiri berisiko kepada lain

IPOH – Orang ramai diminta tidak menurap atau menampal sendiri lubang pada jalan raya, kerana dikhuatiri akan mendatangkan risiko kepada pengguna yang lain.

Menteri Besar Datuk Saarani Mohamad berkata, tindakan tersebut boleh mengundang bahaya kerana ia dibuat tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan.

“Ini sepatutnya tidak berlaku kerana setiap pembinaan jalan ada spesifikasi tersendiri. Jangan ambil tindakan tidak mengikut spesifikasi, kerana nanti rosak sikit akan jadi besar dan bahaya,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan kepada mahasiswa terkesan dengan penularan wabak COVID-19 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini, hari ini.

Beliau mengulas mengenai beberapa tular yang menunjukkan orang awam bertindak menutup jalan berlubang, kerana bimbang dengan keselamatan pengguna jalan raya terutama penunggang motosikal.

Selain itu, Saarani berkata Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak berjaya menyelesaikan sebanyak 685 daripada 705 aduan berkaitan kerosakan jalan raya sepanjang tahun ini, di semua 12 daerah seluruh negeri dengan kebanyakannya berkaitan penyelenggaraan.

Dalam perkembangan lain, Saarani berkata seramai 1,200 mahasiswa anak Perak khususnya daripada keluarga B40 yang terjejas dengan COVID-19 layak menerima bantuan sekali bayar sebanyak RM150 seorang.

Katanya pembayaran secara dalam talian dibuat mulai 18 Dis lepas sehingga Jan 2021 kepada pelajar yang layak, sama ada penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) awam atau swasta.

“Seramai 7,613 penuntut memohon bantuan tersebut sejak ia dibuka pada Okt lalu, yang dijalankan Pusat Aspirasi Anak Perak (Pasak) dengan kerjasama Majlis Perundingan Mahasiswa Perak serta Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung,” katanya.

Saarani menjelaskan antara kriteria utama untuk layak bantuan itu adalah keluarga mahasiswa mempunyai pendapatan isi rumah di bawah paras kemiskinan, dan mereka terjejas akibat penangguhan pendaftaran di IPT masing-masing.

“Kerajaan negeri berharap usaha ini dapat mengurangkan beban serta menampung keperluan tambahan mahasiswa, seperti membeli data mudah alih dan keperluan akademik,” katanya. – Bernama

PEMBERITAHUAN:

  BERITA POLITIK DALAM KEMBAR BLOG ' AR RISALAH '

Kartel daging haram: Kenapa hanya Jakim ‘diserang’?

Athirah Huda Zalhe

 

Patutnya Genting perlu ditutup kerana kegiatan judi juga haram

BANGI – Kenapa nampak seakan-akan marah terhadap Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), sedangkan agensi itu yang banyak berusaha untuk meningkatkan syiar Islam di Malaysia?

Justeru, dalam isu kartel daging haram ini, tidak sepatutnya hanya Jakim ‘diserang’. 

Walhal, agensi-agensi lain yang turut terbabit secara langsung dengan penyeludupan daging import haram, tidak pula menerima tekanan sama supaya dirombak mahupun disiasat seperti Jakim, kata pemerhati politik, Ustaz Sharipudin Abdul Kadir.  

“Seolah-olah semuanya di bawah Jakim. Persoalannya kenapa begitu marah terhadap kartel daging haram?

“Bagaimana pula dengan pusat judi di Genting? Judi juga haram. Apa kata kalau kita juga mendesak supaya Genting ditutup atas asas yang sama,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas saranan Pengerusi Jawatankuasa Pemandu Majlis Perundingan Melayu (MPM), Tun Mohammaed Haniff Omar supaya rombakan besar-besaran dilakukan ke atas Jakim bagi memantapkan kredibiliti dan integriti susulan pendedahan kartel daging haram baru-baru ini.

Beliau meminta Skim Pensijilan Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dibekukan serta merta dan jabatan itu perlu melepaskan tugas dan tanggungjawab mengendali pensijilan halal yang selama ini dikelolakan bersendirian.

Selain itu, beliau juga mahu fungsi Majlis Halal Malaysia (MHM) yang dibekukan kerajaan sebelum ini dikembalikan bagi mengelakkan isu sama berulang lagi. 

Isu kartel yang terbabit dalam pengimportan daging sejuk beku dari negara sumber tidak sah, termasuk diragui status halal dan kualitinya kini heboh diperkatakan. 

Sebelum ini, Berita Harian melaporkan sumber yang rapat dengan siasatan kes terbabit, mendakwa, kartel mempunyai ‘orang dalam’ pada semua peringkat prosedur dan pemeriksaan di pintu masuk, menyebabkan mereka kebal sehingga mampu beroperasi sejak lebih 40 tahun lalu.

Rampasan 30 tan daging sejuk beku yang dipercayai dibungkus semula dan kemudian menggunakan tanda halal palsu di Johor pada awal bulan ini, didakwa sebahagian bukti kegiatan kartel yang disyaki dibantu beberapa penjawat awam yang menyalahguna kuasa.

Mengapa tak ternak khinzir di kawasan pemakan babi?

Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah

 

Lama tinggal di negara Islam, ultra kiasu tak faham sensitiviti Melayu

SAYA berasa hairan kerana boleh dikatakan saban minggu kita disajikan dengan berita dan pencemaran najis babi, yang memberi kesan kepada air (sungai), udara (bau), manusia (ketidakselesaan) dan sebagainya.

Dalam erti kata lain, penternakan babi telah memberi kesan yang sangat tidak baik terhadap alam sekitar dan manusia.

Namun, apa yang paling pelik dan menghairankan, mengapa tiada tindakan dan aktiviti itu terus dibiarkan berleluasa?

Rintihan dan aduan bukan perkara baharu, malah ia telah dilakukan sekian lama di setiap negeri, terutamanya Pulau Pinang, Selangor, Perak, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang dan sebagainya.

Bagi Kampung Air Melintas Kecil, Tasek Gelugor di Pulau Pinang, isu pencemaran najis babi di Sungai Kereh akibat longgokan najis babi yang mengalir dari ladang di Kampung Selamat yang jaraknya kira-kira lima kilometer dari sini, sejak tahun 1980 hingga kini, bukan isu baharu tetapi telah bertapak lama.

Negeri ini diperintah oleh ultra kiasu. Mengapa jadikan orang yang tidak makan babi sebagai mangsa apabila menternak haiwan itu berdekatan dengan kampung dan sungai mereka?

Mengapa perkara ini tiada sebarang tindakan dan penguatkuasaaan undang-undang, malah terus berleluasa?

Seperti harapan penduduk di sana dan negeri lain, sudah tiba masanya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat perkara tersebut, yang berkemungkinan melibatkan faktor “orang dalaman”.

Pencemaran Sungai Kereh telah berlaku sejak 40 tahun lalu, berpunca dari ladang babi dan bahan kimia kilang.

Menurut penduduk di sana, keadaan menjadi semakin serius ketika musim kemarau, di mana mereka terpaksa menghidu bau yang kuat hasil campuran najis babi dan bahan kimia dari kilang.

Penceraman najis babi ini turut memberi kesan kepada sawah padi, disebabkan air sungai yang tercemar itu turut memusnahkan hasil tanaman padi.

Petani mengalami kerugian ribuan ringgit malah, terdapat penduduk mengalami penyakit kulit, gatal-gatal akibat daripada ternakan babi-babi ini.

Babi adalah makhluk Allah SWT dan tidak bersalah. Penternak babi yang bersalah dalam perkara ini dan tindakan mesti diambil.

Untuk makluman, sebelum penternakan babi ketika Sungai Kereh belum tercemar pada awal 1970-an, sungai itu adalah lubuk rezeki penduduk setempat kerana terdapat banyak udang galah.

Kini, aktiviti menangkap dan menjual udang galah tidak lagi dapat dilakukan. Inilah angkara perbuatan penternak babi.

Kedua, semua pihak mesti bersatu hati mengambil tindakan. Ini termasuk campur tangan daripada Kementerian Alam Sekitar dan Air, Kementeri Pertanian, Industri dan Asas Tani, Kementerian Luar Bandar, Kementerian Kesihatan, Pejabat Tanah dan Jabatan Pengairan dan Saliran, Jabatan Veterinar dan sebagainya.

Begitu banyak agensi kerajaan terlibat, kenapa masih tidak dapat diselesaikan?

Paling kurang pun, pindahkan ladang ternak babi ke kawasan pemakan babi.

Pemakan babi tidak ramai, termasuk sebahagian orang Cina yang tidak makan babi, tetapi babi terlalu banyak diternak.

Siapa lagi yang makan, kalau bukan untuk tujuan eksport? TIdakkah kita berasa malu, sebuah negara Islam menjadi pengeksport babi, bukannya kambing dan lembu?

Ketiga, kajian rapi hendaklah dibuat dengan mencari punca penternakan babi kerap dilakukan di kawasan majoriti Melayu. Begitu juga dengan kubur-kubur mereka seperti di Semenyih. Mengapa tidak di kawasan ‘mereka’?

Malah, cari sebab mengapa sebuah negara Islam perlu menternak menjadi begitu banyak babi, berbanding lembu dan kambing.

Bukan tidak boleh ternak, tetapi berpada-pada dan mematuhi Standard Prosedur Operasi (SOP) yang telah ditetapkan.

Keempat, setelah sekian lama tinggal dalam negara Islam, mengapa ultra kiasu tidak pernah cuba memahami sensitiviti orang Melayu (Islam) mengenai babi.

Begitu juga dengan filem bertajuk babi. Bukan soal filem yang menjadi masalah sangat, tetapi, perkataan babi dan gambaran babi.

Orang Melayu usahkan babi, melihat babi pun, kalau boleh dia cuba memaling atau menjauhkan diri.

Memanglah persepsi ini salah. Tidak ada salah dengan babi, kerana babi adalah juga makhluk Allah, tetapi itulah cara nak mengenali dan memahami orang Melayu. Tengok lori babi lalu pun mereka tidak suka atau tidak selesa.

Saya tidak percaya ultra kiasu tidak faham soal ini. Tetapi sengaja untuk menguji. Kesabaran orang Melayu ada had.

Jika ultra kiasu terlalu obses dengan babi, peluk ciumlah babi itu setiap hari berdekatan dengan rumah. Mengapa orang Melayu mesti berhadapan dengan semua masalah ini?

Umat Islam ada pilihan tak makan daging import

fazleensafina

 

Masih terlalu awal Jakim buat rombakan besar-besaran

KUALA NERUS – Umat Islam mempunyai pilihan sendiri untuk tidak memakan daging import khususnya lembu sekiranya mempunyai keraguan status halal daging tersebut, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

“Sepertimana yang disebut dalam hadis, tinggalkan apa yang menjadi keraguan kepada apa yang tidak menjadi keraguan.

“Sebab itu saya sendiri telah pergi ke dua tempat (kilang menyimpan daging beku) dua hari lepas untuk memastikan daging import yang benar-benar ikut piawaian dan garis panduan,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Program Dana Inspirasi Malaysia (Inspirasiku) di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Timbalan Mufti Perak Datuk Zamri Hashim, yang dilapor menyarankan umat Islam menggunakan kuasa pengguna dengan tidak memakan daging import khususnya lembu buat sementara waktu sehingga keyakinan mengenai status halal daging terbabit diperakui sepenuhnya.

Dr Zulkifli berkata, ia adalah pandangan dan saranan oleh Zamri sebagai satu ikhtiar atau ‘jalan berhati-hati’ yang boleh dipilih umat Islam, sekiranya mereka mempunyai keraguan terhadap status halal daging import.

Bagaimanapun, katanya, pihak yang berkaitan dengan isu ini termasuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah pun memberikan penjelasan yang sebaiknya bagi meredakan keresahan dan keraguan masyarakat Islam.

Timbalan Menteri (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid dalam satu program semalam, berkata, tiga syarikat pengeluar daging sejuk beku terbesar iaitu Allana Group, Amroon dan Al-Aali adalah antara pembekal daging yang dijamin halal dan masyarakat Islam di negara ini tidak perlu berasa was-was dengan pembelian daging daripada tiga syarikat berkenaan.

Dalam perkembangan sama, Dr Zulkifli berkata, masih terlalu awal bagi pihaknya memutuskan untuk melakukan rombakan secara besar-besaran terhadap Jakim.

“Ini terlalu awal untuk kami katakan apa-apa, saya lebih suka menambah kualiti dan kebaikan…kami akan melihat dengan lebih meluas lagi dari pelbagai aspek.

“Seperti yang saya katakan kita akan kerjasama dengan beberapa pihak dan kemas kini SOP (prosedur operasi standard) Jakim dan beberapa yang terkait dengan cara import daging dan pelaksanaannya. Insya-Allah kita akan tengok dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas cadangan Pengerusi Jawatankuasa Pemandu Majlis Perundingan Melayu Tun Hanif Omar yang dilapor mencadangkan Jakim dirombak secara besar-besaran, bertujuan untuk melantik mereka yang lebih kompeten, berkebolehan dan berintegriti untuk menerajui jabatan itu. -Bernama

Sindiket Macau Scam guna portal MyEG, JPJ dan SPR cungkil maklumat mangsa, 22 ditahan

Zainuddin Yaacob menunjukkan gambar 22 suspek sindiket Macau Scam pada 
sidang media di IPK Perak hari ini.

IPOH: Polis menahan 22 warga tempatan yang dipercayai terlibat dalam kegiatan sindiket penipuan Macau Scam dalam serbuan di premis yang menjadi pusat operasi panggilan mereka di sini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Zainuddin Yaacob berkata 19 lelaki dan tiga wanita yang berumur 20 hingga 46 tahun ditahan dalam serbuan semalam.

“Hasil siasatan mendapati, sindiket ini sudah beroperasi lebih kurang dua tahun lalu dan bergiat aktif sejak April 2018.

“Beberapa individu dalam kumpulan ini menjalani latihan seminggu di Kemboja dan kemudian bekerja di Laos sejak pertengahan 2018 hingga Mac 2020 dan kembali ke Malaysia pada Mei 2020 berikutan pandemik Covid-19.”

Katanya, setiap anggota sindiket menerima elaun RM3,000 hingga RM4,000 sebulan, dengan makanan dan tempat tinggal disediakan.

Ketua JSJK Bukit Aman, Zainuddin Yaacob.

Beliau berkata, kumpulan sindiket terbabit mula menjalankan kegiatan mereka di sebuah rumah transit di Menglembu, dekat Ipoh sebelum berpindah ke Taiping sehingga bulan lalu.

Zainuddin berkata, kumpulan itu menghentikan operasi di Taiping dan berpindah ke sebuah premis yang dijadikan pusat panggilan di bandar raya ini pertengahan bulan ini sehingga serbuan semalam.

“Sindiket ini menggunakan aplikasi komunikasi terkini di pasaran sebagai medium komunikasi mereka dan laman web palsu untuk mendapatkan maklumat mangsa yang disasarkan.

“Sindiket ini juga menggunakan portal MyEG, JPJ dan SPR untuk mendapatkan maklumat lebih mendalam serta melakukan penyamaran sebagai pegawai khidmat pelanggan Telekom Malaysia dan pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu,” katanya.

Beliau berkata, sepanjang operasi sindiket berkenaan, ia mengakibatkan kerugian RM360,000 kepada mangsa.

Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau didenda atau kedua-duanya dan turut disiasat mengikut Akta Pencegahan Jenayah (POCA) 1959.

Kartel daging: Jangan anggap selesai, KPDNHEP belum ‘cuci tangan’

MGF22122020_PELANCARAN-SKIM-HARGA-MAKSIMUM-KRISMAS_11
Rosol Wahid

KUALA BERANG – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan membuat pemantauan secara berterusan dan serbuan secara berkala terhadap syarikat atau pengedar berkaitan daging import tanpa sebarang notis pada bila-bila masa.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, kementerian belum ‘cuci tangan’ berkaitan isu tersebut dan pemantauan berterusan bertujuan memastikan semua daging yang diimport masuk ke Malaysia adalah halal.

“Kementerian juga memberi jaminan bahawa semua daging import yang ada di pasaran ketika ini adalah halal…..apa yang berlaku baru-baru ini, kita telah dapat bendung dan kenal pasti.

“Tanggungjawab kita memastikan semua daging yang nak masuk ke Malaysia wajib halal kecuali daging babi, ia dalam kategori yang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas membuat tinjauan pematuhan skim harga maksimum musim perayaan Krismas yang turut dihadiri Pengarah KPDNHEP Terengganu, Saharuddin Mohd Kia di sebuah pasar raya di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, sebanyak 9,629 premis perniagaan di seluruh negara telah diperiksa oleh KPDNHEP bagi tempoh 22 Dis hingga 29 Dis untuk pemantauan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Krismas kali ini.

Rosol berkata, hasil pemeriksaan sepanjang tempoh itu hanya merekodkan 10 kes kesalahan sahaja dengan jumlah kompaun sebanyak RM1,100 dan jumlah sitaan RM386.

“Satu kes ialah gagal mempamerkan tanda harga khas (merah jambu) manakala sembilan kes lagi kerana tiada tanda harga barangan dipamerkan. Tindakan diambil mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

“Ini menunjukkan skim pemantauan harga adalah efisyen kerana peniaga sudah mengikuti peraturan yang ditetapkan agar tidak mengambil kesempatan pada musim perayaan,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, KPDNHEP juga telah memulakan Op Catut sebanyak tiga fasa untuk memantau harga barangan dan pakaian sekolah menjelang sesi persekolahan 2021 yang akan dibuka tidak lama lagi.

“Fasa pertama ialah dari 24 Dis hingga esok, fasa kedua pada 1 Jan hingga 19 Jan dan fasa ketiga dari 20 Feb hingga 7 Mac depan. Op ini bertujuan memastikan tiada peniaga yang mengambil kesempatan untuk menaikkan harga pakaian dan kelengkapan sekolah yang mana antara barangan diperiksa ialah seperti beg, kasut, stokin dan tudung,” katanya.

Bagi operasi fasa pertama, sebanyak 279 premis telah diperiksa setakat ini melibatkan 1,154 barangan yang daripada jumlah itu, 271 notis pengesahan maklumat barangan dikeluarkan untuk tindakan lanjut.

Selain itu, Rosol berkata, KPDNHEP juga akan melancarkan kempen ‘Back To School’ untuk memudahkan ibu bapa membuat persediaan membeli kelengkapan persekolahan dan setakat ini permohonan dari pasar raya atau premis perniagaan masih dibuka untuk menyertai kempen tersebut. – Bernama

231 individu ditahan ingkar PKP

MGF220720_SIDANG-DEWAN-RAKYAT-28
Ismail Sabri Yaakob

KUALA LUMPUR – Pihak berkuasa menahan seramai 29 pendatang asing tanpa izin (PATI) dalam Ops Benteng yang dilakuan semalam.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebanyak 10 buah kenderaan turut dirampas dalam operasi berkenaan.

Beliau berkata, penahanan PATI terbabit adalah bagi mengekang jenayah rentas sempadan selain menyekat penularan wabak Covid-19.

“Kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba memasuki sempadan negara secara haram dan agensi-agensi penguatkuasa akan terus mengetatkan kawalan kawasan sempadan terutamanya di lorong-lorong tikus,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, seramai 231 individu ditahan atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Katanya, daripada jumlah itu , 225 telah dikenakan kompaun manakala enam direman.

Antara kesalahan ingkar arahan PKP yang dilakukan katanya, termasuk gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan (80), tidak memakai pelitup muka (71), aktiviti pusat hiburan (63), gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal (13) dan lain-lain (4). – MalaysiaGazette

Kenapa mahu roboh gerai peniaga masa Covid-19? – Noh

MGF29122020_NOH-OMAR-6
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar ketika membuat lawatan ke tapak gerai yang telah dirobohkan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) di Puchong Permai, Selangor. Foto AFIQ HAMBALI,

PUCHONG – Badan Perhubungan UMNO Selangor mempersoalkan tindakan kerajaan Negeri Selangor melalui Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) merobohkan gerai makan milik sekumpulan 43 penjaja di Puchong Permai ketika rakyat sedang bergelut dengan Covid-19.

Pengerusinya, Tan Sri Noh Omar melahirkan rasa kesal dengan tindakan terburu-buru itu sambil menyifatkan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari sebagai buta, tuli dan pekak kepada masalah rakyat.

“Mengapa Menteri Besar ini? Pekak ke? Buta ke? Tak dengar ke? Tak lihat apa yang berlaku?

“Datuk Bandar ini dia pun tak guna otak ker? Ini masalah rakyat, kamu kena turun kena tengok. Nak roboh boleh, nak ambil tindakan boleh tapi jangan sekarang.

“Ini waktu Covid-19, rakyat tengah susah, orang yang tiada modal kita kena bagi berniaga,” katanya kepada pemberita selepas turun padang ke kawasan gerai makan di Puchong Permai hari ini.

MGF29122020_NOH-OMAR-9
Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Tan Sri Noh 
Omar ketika sidang media selepas membuat lawatan ke tapak 
gerai yang telah dirobohkan Majlis Bandaraya Subang Jaya 
(MBSJ) di Puchong Permai, Selangor. Foto AFIQ HAMBALI,

Isnin lalu, lebih 100 anggota penguat kuasa termasuk MBSJ, PDRM dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) terlibat dalam operasi perobohan gerai-gerai makan milik 43 penjaja kecil di Puchong Permai, di sini.

Operasi yang bermula kira-kira jam 8 pagi tadi bermula agak kecoh apabila sekumpulan penjaja terbabit terpaksa bergelut dengan penguatkuasa yang bertindak melakukan perobohan gerai makan yang diusahakan sejak 20 tahun lalu.

Dalam pada itu, Noh juga menyifatkan tindakan perobohan gerai makan yang diusahakan hampir 20 tahun itu sebagai zalim dan tidak berperikemanusiaan.

“Sebab itu rakyat dah jemu dengan Kerajaan PH, kalau macam ini perangai PH yang Menteri Besar, Exco dan ADUN kepada kawasan ini tidak prihatin masalah rakyat, pergi belajar dengan Tan Sri Annuar Musa.

“Bagaimana dia beri peluang kepada peniaga-peniaga sebab rakyat tengah susah, kena faham rakyat tengah menderita.

“Ini kerajaan zalim, sebab itu kerajaan PH tak lama memerintah di pusat, sebab zalim, dah la janji, zalim pula kepada rakyat,” katanya.

Lebih menyedihkan apabila penempatan baharu buat 43 peniaga makan itu mempunyai keluasan hampir sama dengan saiz parkir kenderaan tanpa kemudahan asas.

“Tempat saya tengok itu (kiosk MBSJ) macam parkir kereta saja, guna lah otak sikit. Pegawai-pegawai MBSJ yang buat kiosk ini pernah berniaga ker?

“Kalau tidak, patut tanya pendapat peniaga, adakah sesuai nak buat tapak baharu yang elektrik tiada, air tiada, berniaga pula ikut tiga shift secara bergilir-gilir, tempat masak pun tiada.

“Kalau nak buat satu pembaharuan okay tapi sebelum buat pembaharuan, dengarlah pendapat dan masalah peniaga,” tegasnya.

Sehubungan itu beliau mencabar Amirudin dan Datuk Bandar Subang Jaya, Noriani Roslan untuk mengadakan perjumpaan dan dialog bersama pihaknya esok.

“Saya nak cabar Datuk Bandar saya sendiri akan pergi ke Datuk Bandar. Kalau Menteri Besar anak jantan, datang sekali saya nak jumpa sekali, saya nak cabar Menteri Besar.

“Kalau Datuk Bandar bukan orang politik, Menteri Besar kena datang, Khamis kita minta jumpa (esok) saya nak cabar Menteri Besar, Exco atau siapa pun datang Khamis berdepan dengan kita, kita berdialog.

“Kita nak ajar kamu macam mana nak memerintah. Kalau tak nak belajar dengan Wilayah Persekutuan, kita nak sekolahkan dia,” katanya lagi. – MalaysiaGazette