Selasa, 31 Disember 2019

Umno bukan parti bapa kamu, Shahidan beritahu Lokman

Pemimpin Umno Perlis Shahidan Kassim (kiri) mendakwa Lokman 
Noor Adam cuba mewujudkan perpecahan dalam parti.
 
PETALING JAYA: Pemimpin Umno Perlis, Shahidan Kassim menyelar Ahli Majlis Tertingginya, Lokman Noor Adam berhubung dakwaan bekas naib presiden Hishammuddin Hussein bersekutu dengan PPBM bagi membentuk “kerajaan pintu belakang”.

Shahidan memberitahu FMT bahawa Lokman cuba mewujudkan pergeseran dalam Umno apabila menggesa tindakan disiplin perlu diambil terhadap Hishammuddin.

“Tindakan harus diambil terhadap Lokman, bukan Hishammuddin, kerana menimbulkan masalah dan perpecahan dalam parti,” katanya.

Beliau juga menyalahkan Lokman yang mempersoalkan keputusan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi yang menolak tuduhan tersebut.

Lokman membuat laporan kepada lembaga disiplin parti selepas Hishammuddin dilaporkan menjadi sebahagian daripada sekumpulan ahli Parlimen Barisan Nasional yang menghadiri mesyuarat makan malam dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali di kediaman rasminya.

Dipercayai mesyuarat itu adalah untuk mendapatkan sokongan untuk Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Lokman menggesa tindakan disiplin yang tegas terhadap Hishammuddin kerana didakwa cuba mempengaruhi ahli Parlimen Umno mengisytiharkan sokongan kepada Mahathir dan Azmin.

Bagaimanapun, Shahidan menolak dakwaan Lokman bahawa Hishammuddin terlibat mengatur mesyuarat itu.

“Dia tidak menganjurkan mesyuarat itu. Seseorang yang lain terlibat. Dia (Lokman) menyasarkan sasaran yang salah,” katanya.

Beliau berkata pertemuan itu tiada kaitan dengan Umno, mengatakan pertemuan itu bagi membincangkan “isu-isu berkaitan kawasan (ahli Parlimen itu)”.

Beliau juga mempersoalkan motif Lokman menyiasat klip video yang dibocorkan pada Jun, membabitkan Azmin dalam skandal seks gay.

“Atas arahan siapa dia menjalankan siasatan, siapa arahkan? Umno tidak memberi apa-apa arahan untuk menyiasat video itu. Kenapa dia menggunakan nama Umno?” soalnya, merujuk kepada laporan bahawa Lokman menyerahkan laporan forensik kepada polis berhubung video dari syarikat yang berpangkalan di Birmingham.

Shahidan juga mendakwa Lokman tidak bermesyuarat dengan ahli Parlimen Umno.

“Dan sekarang, tiba-tiba, dia mahu tindakan diambil terhadap beberapa ahli Parlimen Umno.

“Lokman mesti ingat bahawa Umno bukan milik bapanya. Ia milik semua orang Melayu. Dan sekiranya ada isu, semua orang mesti mematuhi syarat dan peraturan parti,” katanya.

Tiada ulasan: