Khamis, 12 Disember 2019

Tuduhan ‘Deep State’ untuk sembunyi salah laku PH

DR MOHD ZUHDI MARZUKI



MUTAKHIR ini, pimpinan PH sering menuding jari kepada penjawat-penjawat awam, setelah naratif menyalahkan Kerajaan lama tidak lagi ditelan oleh rakyat. Sepertimana biasa mereka akan memperkenalkan jargon baru iaitu ‘Deep State’ atau Daulah Terpendam supaya ditelan oleh rakyat.

Ekoran daripada tindakan itu, beberapa Penjawat Awam dalam kategori jawatan utama (Turus dan Jusa) telah dijadikan ‘kambing hitam’. Selain daripada pimpinan-pimpinan PH di semua peringkat memainkan lagu yang sama, menuduh wujudnya Penjawat-penjawat Awam yang cuba mensabotaj pentadbiran Kerajaan diterajui oleh PH.

Menteri-menteri PH bersama pegawai-pegawai lantikan politik sebenarnya telah melangkaui kuasa yang ada pada mereka sehingga menghakis sistem pemisahan kuasa di negara ini. Tindakan ini juga telah mencabuli janji-janji mereka seperti yang diuar-uarkan dalam Manifesto PH sebelum ini.

Tindakan pimpinan PH memungkiri janji manifesto mereka sendiri sebenarnya menimbulkan satu lagi persoalan, mengapa janji yang semudah itu tidak boleh ditunaikan? Mungkinkah dengan mengugut Penjawat-penjawat Awam, pimpinan PH mengharapkan pekung mereka dapat disembunyikan daripada pengetahuan rakyat?

Sekiranya itulah yang cuba disembunyikan oleh pimpinan-pimpinan PH, saya yakin Penjawat-penjawat Awam sentiasa bersedia untuk mendedahkan salah laku mereka demi menyelamatkan negara. Saya sendiri menawarkan diri untuk menerima maklumat-maklumat salah laku pentadbiran Kerajaan PH tanpa mendedah identiti whistleblowers.

*DR MOHD ZUHDI MARZUKI -Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: