Isnin, 9 Disember 2019

Tidak timbul soal parti baharu, tetap bersama Presiden kukuhkan parti – Azmin

Kumara Sabapatty 
 
 
Saya tidak menyerang mana-mana secara peribadi, saya hanya menjelaskan pada anggota bahawa apabila presiden parti berdepan pelbagai bentuk ujian, saya sebagai timbalan presiden mengeluarkan kenyataan tuntas dengan segera mempertahankan presiden.
MG081219_MAKAN-MALAM-KEADILAN19
Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali (dua kiri) bersama penyokong mengangkat tangan pada Majlis Makan Malam Apresiasi Perwakilan Kongres Keadilan 2019 di Hotel Renaissance Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK
 

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengajak semua pemimpin dan ahli PKR mengetepikan perbezaan peribadi dan tampil untuk penyatuan parti demi rakyat dan negara.

Timbalan Presiden itu berkata, beliau bersedia untuk duduk bersama dan berbincang dengan semua pihak sekiranya terdapat usaha ke arah penyatuan parti itu demi keuutuhan dan pembangunan masa depan bersama.

“Saya hendak mengajak semua pemimpin dan ahli akar umbi supaya tampil ke hadapan demi penyatuan parti dan saya sedia bersama jika ada usaha ke arah itu,” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan ucapan amanat dalam Majlis Makan Malam Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 bersama lebih 5,000 anggota, penyokong dan pemerhati serta perwakilan PKR di ibu negara.

Turut hadir  Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin, Tian Chua, Ahli Majlis Pimpinan Pusat parti R. Sivarasa, Ketua Wanita Keadilan, Haniza Talha dan Timbalan Ketua AMK, Hilman Idham, dan Pengerusi Pimpinan PKR Selangor merangkap Menteri Besar Selangor Datuk Amirudin Shari.

Ditanya pandangannya sekiranya ucapan beliau malam tadi membawa kepada pemecatan dalam parti kelak, katanya, tidak timbul langsung soal pemecatan.

Katanya, ia adalah satu usaha yang baik yang telah beliau buktikan bersama pimpinan untuk memperkukuhkan parti Keadilan yang telah dibina bersama selama dua dekad lalu.

“Sebelum kongres kita telah mengadakan pertemuan dan ia berjalan sangat baik bagaimanapun seperi kita jelaskan dalam kenyataan media baru baru ini beberapa perkara penting dilanggar menyebabkan perkara ini amat dikesali.

“Saya berharap semua perbincangan itu mestilah untuk tujuan memperkukuhkan parti,” ujarnya.

Beliau juga diminta menjelaskan mengenai kritikan beliau bersifat menyerang presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berikutan apa yang berlaku dalam kongres di Melaka dua hari lalu.

Bagaimanapun Ahli Parlimen Gombak merangkap Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu menafikan beliau sebenarnya menyerang presiden parti.

“Saya tidak menyerang mana-mana secara peribadi, saya hanya menjelaskan pada anggota bahawa apabila presiden parti berdepan pelbagai bentuk ujian, saya sebagai timbalan presiden mengeluarkan kenyataan tuntas dengan segera mempertahankan presiden.

“Ini bukan saya buat-buat saya telah lakukan, setelah 20 tahun berlalu dalam parti saya tetap mempertahankan presiden dalam beberapa isu sensitif.

“Cuma saya tidak mahu beliau (Anwar) dipengaruhi oleh orang yang tidak memahami perjuangan reformasi sebenar, dan hanya mengampu kuat dalam parti,” katanya.

Ditanya mengenai nasihat beliau selaku pemimpin nombor dua dalam PKR, mengenai isu desakan penyokong dalam parti yang meminta menubuhkan parti baharu, Azmin berkata, setakat ini tidak timbul soal parti baharu dalam dirinya.

Sebaliknya kata beliau, PKR merupakan satu-satunya parti yang dibina bersama rakyat selama 20 tahun dan pihaknya akan kekal dalam parti. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: