Khamis, 12 Disember 2019

'Tiada tindakan yang boleh katakan saya nusyuz'

Ardini Sophia Sina
 


"ALHAMDULILLAH, Allah memberikan kekuatan pada diri saya untuk menerima ketentuan iaitu bahtera rumah tangga yang dibina kerana Allah dan restu ibu bapa pada 19 Februari 2015 berakhir dengan lafaz talak satu menerusi audio aplikasi WhatsApp pada 3 Disember 2019," kata Fatin Nurul Ain.

Bekas isteri juara rancangan realiti dakwah Da'i musim kedua, Nik Ahmad Farhan Nik Mohamad itu tampil mengesahkan khabar angin mengenai perceraiannya yang tular sejak semalam menerusi akaun Facebook Asiah Abd Jalil.

Perkongsian yang dibuat oleh Asiah mengatakan Fatin diceraikan atas alasan bekas isterinya itu nusyuz dan memfitnah suami.

Fatin menerusi kenyataan di Facebook berkata, dia menerima takdir dengan sepenuh hati walaupun secara fitrah tidak ada seorang isteri yang juga bergelar ibu berkehendakkan perkara itu terjadi.

"Tulisan saya kali ini bukan untuk menyatakan perasaan atau untuk menagih simpati sesiapa kerana saya sentiasa bergantung harap pada Allah dan keluarga yang sentiasa berdiri teguh di belakang.

Namun, tulisan kali ini bertujuan mempertahankan maruah saya dan juga keluarga bila mana didakwa menjadi isteri yang nusyuz.

"Seorang isteri dikira nusyuz apabila ingkar atau menderhaka suaminya tanpa sebab munasabah. Dan seorang suami juga dikira nusyuz apabila melakukan kezaliman terhadap isteri. Justeru, berdasarkan definisi ini, ingin dinyatakan tiada pun tindakan yang boleh mengatakan bahawa saya ini nusyuz," tulisnya.

Katanya, malang baginya kerana menerima hukuman nusyuz tanpa melalui proses pengadilan yang sepatutnya malahan terpaksa berhadapan dengan pelbagai maklum balas daripada masyarakat.

Menurutnya, biarlah pihak berwajib sahaja yang mengadili dan menentukan selepas mendengar penjelasan daripada kedua-dua belah pihak dan bukannya satu pihak membuat dakwaan dan membuat hukuman sesuka hati.

"Amat berat untuk saya menerima dakwaan seperti ini begitu juga ahli keluarga yang lain kerana ia mencemar maruah seorang wanita. Jika benar ingin menyatakan saya nusyuz eloklah membawa kes dengan mengemukakan tuntutan di Mahkamah Syariah atau Bahagian Pendakwaan Jabatan Agama Islam bagi mensabitkan seorang isteri itu nusyuz.

"Soal saya diceraikan, itu bukanlah perkara yang ingin saya fokuskan kerana sudah takdir jodoh kami sampai di sini.

"Namun, saya berharap dengan tulisan ini dapat sedikit sebanyak mengubati hati keluarga yang tidak mampu melihat anak atau kakak mereka dimalukan dengan dakwaan berat (nusyuz) ini sehingga diceraikan tanpa bertentang mata dan melalui saluran mahkamah yang sepatutnya," tulisnya.

Mengulas mengenai laporan polis yang dibuat atas tuduhan dipukul dan dikurung pada 22 November lalu, ia dilakukan atas nasihat ahli keluarga dan menyerahkan perkara itu sepenuhnya kepada pihak polis.

"Segala laporan itu saya sendiri yang menyatakannya kerana sayalah orang yang mengalami dan melaluinya. Merasa diri terancam dan perasaan takut serta rasa selamat sudah hilang menyebabkan saya menerima saranan daripada keluarga untuk membuat laporan polis. Laporan itu bukan untuk menghukum tetapi untuk keselamatan diri saya.

"Saya sedar, keadaan berlaku ini banyak mencalar imej saya dan bekas suami serta ahli keluarga.
Namun, kami perlu menerimanya sebagai ujian daripada Allah ini. Siapakah yang berkehendak untuk menjadi perhatian masyarakat dalam hal seperti ini.

"Apa yang berlaku, biarkanlah berlalu dan yang akan datang itulah perkara yang perlu saya fokuskan kerana hidup tidak berakhir dengan berakhirnya episod perkahwinan ini setelah hadirnya wanita kaabah dalam hidup bekas suami. Saya doakan semoga mereka berbahagia selamanya," tulisnya.

Walaupun melalui episod pahit, Fatin memohon supaya masyarakat tidak mengaibkan sama ada dengan perlakuan mahupun perkataan yang boleh mencemarkan imej ayah pada anaknya.

Kejadian itu juga tidak menghilangkan kebaikan bekas suaminya dan enggan memburukkan atau menyalahkan sesiapa.

"Bekas suami adalah walid kepada anak saya. Biarlah pihak keluarga kami uruskan dengan tenang tanpa mendapat perhatian media dan daripada semua pihak. Bagi kami masa untuk menyelesaikannya dengan cara yang baik.

"Hal berlaku ini adalah ujian buat diri saya dan keluarga. Insya-Allah kami akan harungi dengan bergantung penuh pengharapan kepada Allah Yang Maha Bijaksana lagi Maha Mengasihi," tulisnya.

Fatin turut menasihati wanita bergelar isteri supaya menjaga keluarga dengan iman dan takwa serta sentiasa dalam keadaan mawaddah, sakinah dan saadah.

Dia berharap supaya kisah yang menimpa dirinya itu dijadikan pengajaran dan bukan untuk diserang atau dihina.

Kisah rumah tangga Fatin dan Da'i Farhan mulai menjadi perhatian apabila Farhan didakwa berkahwin dengan janda anak lapan di Makkah tanpa pengetahuan Fatin yang kini sedang sarat hamil anak kedua.

Berita berkaitan
Da'i Farhan buat laporan polis, tuntutan saman
Benda boleh bincang, kenapa nak gaduh

Tiada ulasan: