Selasa, 10 Disember 2019

SPR terima perakuan mahkamah bagi keputusan PRU kerusi Parlimen Kimanis

THE MALAYSIAN TIMES
 


PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menerima perakuan mahkamah yang mengisytiharkan bahawa keputusan pilihan raya bagi kerusi Parlimen P.176 Kimanis, Sabah yang diadakan pada 9 Mei 2018 adalah tidak sah dan terbatal.

Pengerusi SPR Datuk Azhar Azizan Harun berkata susulan itu selaras dengan Perkara 54(1) Perlembagaan Persekutuan, SPR akan mengisi kekosongan kerusi tersebut dalam tempoh 60 hari dari tarikh kekosongan yang ditentukan oleh SPR iaitu mulai 10 Dis 2019.

“Pemakluman secara rasmi telah dihantar kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat pada hari ini (9 Dis),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata SPR akan mengadakan mesyuarat khas bagi membincangkan mengenai pelaksanaan pilihan raya tersebut.

“Tarikh mesyuarat tersebut akan dimaklumkan nanti oleh pihak SPR,” katanya.

Mahkamah Persekutuan pada 2 Dis lepas menolak rayuan Datuk Seri Anifah Aman untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya pada 16 Ogos lepas bahawa kemenangannya di Parlimen Kimanis pada Pilihan Raya Umum Ke-14 tidak sah dan terbatal selepas mendapati ada kertas undi tambahan yang boleh menjejaskan keputusan pilihan raya.—Bernama 

Tiada ulasan: