Selasa, 31 Disember 2019

Rakyat bakal berdepan kenaikan harga perkhidmatan digital

Perkhidmatan digital di negara ini bakal berdepan kenaikan caj langganan perkhidmatan.


SHAH ALAM - Lebih 10 juta pengguna perkhidmatan digital di negara ini bakal berdepan kenaikan caj langganan perkhidmatan kesan daripada pelaksanaan Cukai Perkhidmatan Digital dikuatkuasakan bermula hari ini.

Pelaksanaan cukai perkhidmatan digital sebanyak enam peratus itu diumumkan kerajaan sebelum ini selepas Dewan Rakyat meluluskan Rang Undang-undang Cukai Perkhidmatan (Pindaan) 2019.

Antara penyedia perkhidmatan digital popular dikenakan cukai ini termasuk Netflix, Spotify, Amazon, pengiklanan di platform media sosial seperti Facebook dan Instagram, pengkomputeran awan, aplikasi dan permainan di telefon pintar.

Susulan itu, beberapa penyedia perkhidmatan asing berkenaan sudah mengumumkan kenaikan caj langganan perkhidmatan kepada pengguna di negara ini bermula tahun hadapan.

Sebagai contoh, Facebook (FB) baru-baru ini mengumumkan akan mengenakan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) sebanyak enam peratus kepada semua pelanggannya.

Berdasarkan notis pengebilan cukai dimuat naik oleh Facebook menyatakan bahawa ia membabitkan pengiklan yang mempunyai alamat di negara ini.

Cukai perkhidmatan ini ditambah untuk setiap kali pengguna dicaj bagi iklan dimuat naik dan ia tidak mengambil kira sama ada iklan itu dibeli menerusi Facebook atau tujuan perniagaan atau peribadi.

Selain itu, pengenaan nilai caj SST sama turut diguna pakai Adobe kepada mana-mana pelanggan yang menggunakan perkhidmatan Adobe Creative Cloud.

Syarikat Adobe menjelaskan pelanggan akan dikenakan caj tambahan ini apabila memperbaharui pelan mereka sama ada bulanan atau tahunan.

Begitu juga dengan syarikat enjin carian terkemuka global, Google yang akan mula mengenakan caj cukai perkhidmatan 6 peratus bagi perkhidmatan dan urus niaga digital membabitkan pelanggan negara ini.

Google dalam satu kenyataan disiarkan Nikkei Asian Review berkata, kutipan cukai itu dilaksanakannya bagi mematuhi undang-undang cukai di negara ini.

Terbaharu, penyedia servis penstriman video terkenal, Netflix, telah mengumumkan kenaikan harga tiga daripada empat pakej langganan yang ditawarkan.

Penyelarasan harga itu akan bermula 9 Januari 2020 ini susulan pelaksanaan Cukai Perkhidmatan Digital di negara ini bermula esok.

Tiga pakej langganan terlibat kenaikan harga terdiri pakej Netflix Basic daripada RM33 kepada RM55 sebulan, Netflix Standard (RM42 kepada RM45 sebulan) dan Netflix Premium (RM51 dinaikkan kepada RM55 sebulan).

Bagaimanapun, harga pelan Netflix Mobile masih tidak berubah dan kekal pada harga RM17 sebulan.

Bagi pandangan sebilangan rakyat, pengumuman kenaikan caj langganan perkhidmatan berkenaan memberi petanda jelas beban pelaksanaan Cukai Perkhidmatan Digital akhirnya ditanggung pengguna negara ini sendiri.

Bahkan, ada pihak menyuarakan kebimbangan berlakunya pengenaan cukai berganda (cascading effect) kepada pengguna susulan cukai SST turut dikenakan kerajaan selain Cukai Perkhidmatan Digital terbabit.

Bagaimanapun, Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan menjelaskan kerajaan sudah menetapkan beberapa layanan bagi memastikan tidak ada masalah penyedia perkhidmatan dan pengguna tempatan dikenakan cukai berganda.

Antaranya, kerajaan menyediakan kemudahan 'group relief' kepada pengimportan perkhidmatan bercukai yang layak daripada syarikat pemberi perkhidmatan tempatan, yang merupakan syarikat dari kumpulan sama berada di luar negara.

"Dengan kata lain, penyedia perkhidmatan tempatan tidak perlu dikenakan cukai perkhidmatan ke atas perkhidmatan bercukai diimport daripada syarikat penyedia luar negara berada dalam kumpulan sama.

"Selain itu, kerajaan turut memperkenalkan pengecualian dari mengakaunkan dan membayar cukai perkhidmatan berdasarkan kaedah 'self-recipient accounting' ke atas pengimportan perkhidmatan profesional dan perkhidmatan pengiklanan (B2B),"katanya.

Kementerian Kewangan turut menegaskan penyedia perkhidmatan tempatan yang membayar cukai perkhidmatan kepada penyedia perkhidmatan asing ke atas pengimportan perkhidmatan digital boleh membuat tuntutan pembayaran balik daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia (Kastam).

Menurutnya, perkhidmatan pendidikan jarak jauh bagi semua peringkat termasuk latihan profesional dan vokasional disediakan secara atas talian tidak dikategorikan sebagai perkhidmatan bercukai dan tidak dikenakan cukai perkhidmatan.

"Inisiatif sama juga dilaksanakan terhadap perkhidmatan atas talian seperti e-newspaper dan bahan bacaan berkaitan pendidikan, aspek teknikal, saintifik, serta mempunyai nilai sejarah atau budaya,"katanya.

Terdahulu, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng sewaktu membentangkan Belanjawan 2020 menjelaskan Cukai Perkhidmatan Digital dilaksanakan bagi memastikan satu ekosistem seimbang diwujudkan di mana tidak adil bagi penyedia perkhidmatan dalam negara dikenakan cukai, tetapi mereka di luar negara terlepas daripada pembayaran cukai.

Menurutnya, langkah kerajaan dalam mengenakan cukai perkhidmatan digital juga akan mewujudkan 'level playing field' atau pentas persaingan seimbang kepada syarikat tempatan.

"Pelaksanaan cukai digital sebanyak enam peratus kepada penyedia perkhidmatan digital asing di Malaysia dijangka berpotensi menjana RM449 juta kepada kerajaan," katanya.

Mana-mana penyedia perkhidmatan digital asing yang gagal berdaftar walaupun telah mencapai nilai ambang lebih RM500,000 setahun boleh didenda tidak melebihi RM30,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun.

Hukuman itu berdasarkan Seksyen 56C Akta Cukai Perkhidmatan 2018.

Tiada ulasan: