Sabtu, 7 Disember 2019

Pertama kali dalam sejarah Presiden PAS di pentas perhimpunan agung Umno


Pentas Perhimpunan Agung Umno kali ini julung kali menerima kehadiran Presiden PAS Abdul Hadi Awang, susulan termeterainya Piagam Muafakat Nasional antara dua parti yang dahulunya seteru utama.

Kehadiran Hadi diumumkan Setiausaha Agung umno Annuar Musa ketika membuka Perhimpunan Agung Umno ke-73, di PWTC hari ini.

"Umno ingin mengalu-alukan kehadiran murabbi ummah Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang yang hadir buat pertama kali ke perhimpunan agung Umno bersama 30 anggota Jawatankuasa Pusat PAS, pimpinan Dewan Pemuda, Dewan Muslimat dan Dewan Ulamak.

"Sesungguhnya muafakat dan kerjasama Umno-PAS adalah anugerah Ilahi, bertepatan dengan prinsip agama kita," katanya disambut laungan takbir perwakilan.



Tanggal 14 September lalu, Umno dan PAS memeterai Piagam Muafakat Nasional yang antara lain menggariskan bentuk kerjasama antara dua parti itu.

Kedua-dua parti itu kemudian mewujudkan jawatankuasa teknikal Muafakat Nasional - untuk memutuskan sama ada Muafakat Nasional akan menjadi badan berdaftar - yang dijangka siap Februari depan.

Kehadiran Hadi itu 'membalas' kunjungan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dan pemimpin Umno lain ke muktamar PAS ke-64 di Kuala Terengganu pada September tahun lalu.

Hadi tidak hadir pada perhimpunan agung Umno tahun lalu yang dibuat pada bulan sama. Ketika itu, PAS menghantar timbalan presiden Tuan Ibrahim Tuan Man sebagai wakil.



Annuar memaklumkan penubuhan sekretariat tetap Muafakat Nasional yang menurutnya sebagai langkah bersama untuk "merealisasikan gerakan baru Muafakat Nasional".

"Ia berdasarkan perakuan jawatankuasa teknikal dan jawatankuasa pemandu yang dibentuk bersama Umno dan PAS," katanya.

Tiada ulasan: