Khamis, 26 Disember 2019

Penjawat awam tertindas di negara sendiri

HARAKAH DAILY



KUALA LUMPUR: Peluang pekerjaan dalam negara kini semakin tenat apabila kerajaan mengumumkan untuk mengurangkan jumlah penjawat awam sebanyak 5 peratus sehingga tahun 2021.

Ketua Dewan Pemuda IKATAN Malaysia, Shahir Adnan berkata, pengumuman malang itu semestinya menghancurkan harapan rakyat Malaysia yang mengundi Pakatan Harapan (PH) pada PRU14 lalu.

“Kerajaan PH bukan sahaja gagal mewujudkan peluang pekerjaan, malah gagal mengekalkan pekerjaan sedia ada kerana kegagalan mengurus ekonomi negara.

“Persoalan di sini, bagaimanakah pengurangan sebanyak 5 peratus atau 85,000 pekerjaan sektor awam ini dapat menguatkan ekonomi negara apabila peluang pekerjaan di sektor swasta pun makin berkurang?

”Rakyat tidak mempunyai pilihan di sektor swasta atau perkhidmatan awam dan pengangguran di dalam negara akan meningkat dengan mendadak,” katanya dalam kenyataan media semalam.
Menurutnya, awal tahun 2019 lalu, Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia (JPA) telah pun mengedarkan satu pekeliling bertajuk “Kawalan Saiz Perkhidmatan Awam” yang bertujuan mengurangkan perjawatan di Kementerian dan Agensi Kerajaan sebanyak satu peratus (1%) secara keseluruhan.

Ia katanya melibatkan kira-kira 1.7 juta jumlah penjawat awam di Malaysia, dan bermakna sebanyak 17,000 rakyat Malaysia hilang sumber pendapatan.

Namun, tidak sampai setahun, angka peratusan pengurangan pekerja itu naik daripada 1 peratus kepada 5 peratus, bersamaan 17,000 kepada 85,000 rakyat Malaysia.

Lebih malang lagi katanya, pada akhir tahun 2019, Kerajaan PH melalui JPA mengeluarkan satu lagi pekeliling memansuhkan elaun-elaun penjawat awam, terutama Elaun Kritikal (RM 750) kepada pekerja baru dalam sektor kesihatan.

”Rata-rata (mereka) merupakan anak muda yang sudah bertukus-lumus mendapatkan kelulusan cemerlang di pengajian tinggi,” ujarnya.

Malahan, Kementerian Kesihatan sendiri telah mengunjurkan bahawa bilangan pesakit akan bertambah 4 kali ganda daripada 17 juta kepada 77 juta, namun bilangan doktor dan kemudahan fasiliti tetap sama.

Dalam pada itu, beberapa minggu lepas, kerajaan juga mengumumkan caj servis perkhidmatan doktor swasta akan ditentukan sendiri oleh hospital swasta tanpa mengikut had yang dikenakan sebelum ini.

Susulan daripada itu, Shahir berkata, pihaknya menjangkakan ramai anak muda dan doktor berpengalaman akan beralih arah ke pusat perubatan swasta dan hospital kerajaan akan berhadapan kekurangan doktor dan pertambahan pesakit.

“Rakyat akan menderita. Rakyat golongan B40 seakan-akan ditindas kerana tidak mendapat perkhidmatan terbaik oleh doktor terbaik di hospital kerajaan.

“Pesakit tidak akan ke hospital swasta kerana kos yang tinggi dek kerana tidak dipantau oleh kerajaan. Akhirnya, kesihatan rakyat dan institusi kesihatan negara kita akan lumpuh,” katanya.

Lantaran itu, pihak Pemuda IKATA menggesa kerajaan untuk memperhalusi keputusan berkenaan kerana rakyat sebenarnya makin dihimpit kegawatan ekonomi dan kenaikan kos sara hidup.

Jabatan Perkhidmatan Awam pada pekeliling bertarikh 20 Disember lalu mengumumkan bahawa akan menamatkan pemberian bayaran insentif perkhidmatan kritikal kepada doktor, jururawat, jurutera dan profesional lain yang menyertai perkhidmatan awam bermula 1 Januari tahun depan.

Bagaimanapun, mereka yang sudah menerima elaun akan terus mendapat bayaran tersebut, termasuk pekerja kontrak yang kontraknya telah diperbaharui. HARAKAHDAILY

 

Tiada ulasan: