Selasa, 31 Disember 2019

Peniaga bantah keputusan MPSepang

Samadi Ahmad
 
 

SERAMAI 400 peniaga di bawah seliaan Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) di Cyberjaya, mendakwa teraniaya apabila pihak berkuasa tempatan (PBT) itu mengehadkan tempoh sewaan kepada 10 tahun tanpa pampasan serta tapak perniagaan baru.

Difahamkan mereka amat kecewa apabila ada dalam kalangan peniaga sudah hampir 15 tahun berniaga dan menyewa di premis bawah seliaan MPSepang itu.

Kesal dengan isu itu, Ahli Jawatankuasa Bertindak Peniaga Di Bawah Seliaan MPSepang bersama 100 peniaga berhimpun di pekarangan pejabat MPSepang bagi menyerahkan memorandum bantahan itu, hari ini.

Pengerusi Ahli Jawatankuasa Bertindak, Jahari Ibrahim berkata, pihaknya berharap MPSepang mengambil tahu nasib peniaga terbabit kerana mereka tidak pernah menimbulkan sebarang masalah sebelum ini.

Beliau berkata, perkara itu hanya dimaklumkan kepada peniaga melalui perjumpaan bersama wakil MPSepang pada pertengahan bulan ini.

“Pada perjumpaan itu, wakil MPSepang memaklumkan tempoh mengehadkan sewaan itu adalah dasar baharu MPSepang bagi memberi peluang kepada peniaga lain berniaga di premis seliaan mereka itu.

“Peniaga berasa buntu kerana sumber pendapatan mereka hanya bergantung kepada perniagaan di premis disewa itu. Kami berharap MPSepang dapat mempertimbangkan semula arahan dikeluarkan itu," katanya.

Mereka yang hadir berkumpul itu turut membawa sepanduk bagi menunjukkan kekecewaan dan mahu kekal berniaga di premis itu.

Sebanyak 24 premis di bawah seliaan MPSepang membabitkan kawasan Dengkil, Salak Tinggi, Sepang, Sungai Pelak dan Bagan Lalang dengan rata-ratanya mengusahakan perniagaan makanan, minuman dan kedai runcit.

Jahari berkata, dalam usaha mendapatkan pembelaan, pihaknya menyerahkan surat bantahan kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shari bagi mendapat jawapan sebenar.

Beliau berkata, jika mereka dihalau tanpa pampasan dan lokasi baru, peniaga terbabit akan hidup melarat kerana sudah lama berniaga di kawasan itu.

Peniaga, Ishak Che Amat, 49, dari Putra Perdana berkata, MPSepang sepatutnya berunding terlebih dahulu dengan peniaga supaya wujud persefahaman antara kedua-dua belah pihak.

Beliau yang sudah 13 tahun mengusahakan perniagaan makanan berkata, kerajaan negeri perlu campur tangan dengan sekurang-kurangnya membela hak dan kebajikan mereka lebih-lebih lagi pada masa ekonomi tidak menentu pada masa ini.

Tiada ulasan: