Isnin, 9 Disember 2019

Pengerusi PH Sabah dijangka bertemu Bersatu bincang kerusi Kimanis

MALAYSIAKINI




Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Sabah, Christina Liew dijangka bertemu dengan pimpinan Bersatu negeri itu untuk membincangkan pilihan raya kecil (PRK) Kimanis, berikutan hasrat parti berkenaan untuk bertanding di kerusi itu.

Bernama melaporkan Ketua Menteri Sabah Mohd Shafie Apdal telah meminta Christina, yang juga pengerusi PKR Sabah, mempengerusikan pertemuan dengan Bersatu Sabah untuk membincangkan perkara itu.

Mengulas mengenai hasrat Bersatu meletakkan calon dari parti itu, Shafie semalam berkata: “Itu terserah dengan mereka (Bersatu Sabah). Bertanding, boleh bertanding, tetapi apa yang penting siapa boleh menang."

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita di Kota Kinabalu.

Setiausaha Bersatu Sabah Bersatu, Ronald Kiandee dalam satu kenyataan berkata Kimanis adalah salah satu bahagian Bersatu yang paling aktif di Sabah dengan pelbagai program telah dijalankan.

Ronald berkata Pengerusi Bersatu Sabah, Hajiji Noor telah menyampaikan hasrat berkenaan kepada pengerusi parti itu, Dr Mahathir Mohamad pada mesyuarat baru-baru ini.

Bagaimanapun, beliau menegaskan Sabah akan menghormati sebarang keputusan yang diambil oleh pimpinan PH.

Mahkamah Persekutuan seeblum ini mengekalkan keputusan Mahkamah Pilihan Raya yang membatalkan kemenangan Anifah Aman di kerusi parlimen Kimanis, yang membuka laluan kepada pilihan raya kecil di parlimen itu.

Keputusan itu dicapai oleh lima hakim yang diketuai Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat, di mana mereka sebulat suara menolak rayuan Anifah untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Pilihan Raya.


Tiada ulasan: