Selasa, 31 Disember 2019

Pengaruh kuat faktor parti Cina berlumba ‘bodek’ Dong Zong

tyrazalhe

 

Haram pertubuhan radikal kerana halang integrasi nasional

BANGI – Kekuatan Dong Jiao Zong (DJZ) menyatukan pengundi Cina untuk mengundi parti tertentu, antara faktor pimpinan politik dalam kerajaan atau pembangkang berlumba-lumba membela pertubuhan antinasional itu.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marzuki berkata, pengaruh DJZ itu adalah faktor menentukan corak pengundian kaum Cina dalam sesuatu pilihan raya umum.

Beliau yakin, pengaruh besar DJZ, selain dua pihak lain menjadi penyumbang kepada kemenangan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) lalu, berdasarkan pola pengundian kaum Cina.

“Dalam PRU-14 yang lalu, kesimpulan yang boleh dibuat secara puratanya hampir 92 peratus pengundi Cina mengundi PH. 

“Dengan sokongan padu pengundi Cina ini, DAP dan parti-parti sahabatnya menang besar. Manakala, MCA tinggal hanya satu kerusi,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) telah memuktamadkan kandungan pelajaran tiga halaman tulisan jawi yang hanya memberi tumpuan terhadap teks pada lambang negara, ringgit Malaysia dan setem.

Secara keseluruhannya, terdapat empat teks jawi yang berbunyi: ‘Bersekutu Bertambah Mutu’ dalam jata negara, ‘Bank Negara Malaysia’ dan ‘Ringgit Malaysia’ pada nota ringgit serta ‘Malaysia’ pada setem.

Namun, DJZ dilihat memberikan reaksi melampau dalam menentangnya sehingga merancang untuk mengheret kerajaan ke mahkamah mengenai pembelajaran itu.

Walaupun kemarahan pelbagai pihak, termasuk Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad terhadap pertubuhan ultra perkauman itu, Dr Mohd Zuhdi berkata, DJZ dilihat cukup kebal dan semakin berani menzahirkan sikap antinasional mereka.

“Oleh sebab itu, apabila PH membentuk kerajaan, Dong Zong telah mula membuat tuntutan-tuntutan yang bersifat antinasional termasuklah yang terbaru isu tulisan jawi dalam pembelajaran Bahasa Melayu. 

“Disebabkan pengaruh pertubuhan ini sangat besar terhadap kemenangan PH, biarpun ada beberapa pimpinan PH merungut terhadap sikap ultra perkauman Dong Zong, pertubuhan ini tetap kebal dari sebarang tindakan,” katanya.

Beliau berkata, tidak mengejutkan apabila parti-parti pembangkang Cina juga mengambil kesempatan untuk ‘membodek’ DJZ kerana masih menaruh harapan supaya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) pertubuhan itu akan berpihak kepada mereka.

“Jika kitaran seperti ini berterusan, Dong Zong akan berterusan menjadi faktor yang menghalang integrasi nasional dan ketegangan kaum tidak akan selesai, justeru ia wajar diharamkan,” katanya.


Tiada ulasan: