Jumaat, 27 Disember 2019

Pendesak Cina akan tetap tolak jawi

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

 

Sesi dialog hanya helah sia-sia Dong Zong kaburi mata


BANGI – Presiden gerakan Islam utama, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Haji Aminuddin Yahaya menyifatkan persetujuan Dong Jiao Zong supaya isu pengenalan pembelajaran tulisan jawi di sekolah vernakular diselesaikan melalui dialog hanyalah satu perbuatan sia-sia.

Ini kerana dakwa beliau, sesi dialog itu hanyalah helah gabungan pertubuhan pendidikan Cina itu untuk membenarkan pendirian mereka mengenai tulisan jawi selama ini.

“Tak perlu berdialog sebab mereka bukan mahu cari kebenaran tetapi hanya mahu menegakkan pendirian mereka menolak pembelajaran tulisan jawi,” katanya ketika dihubungi Ismaweb hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai keputusan kumpulan pendesak Cina itu yang bersetuju agar isu pengenalan pembelajaran tulisan jawi di sekolah vernakular diselesaikan melalui dialog.

Persetujuan itu difahamkan selepas Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa isu tulisan jawi diselesaikan melalui dialog.

Sebelum ini Anwar menggesa pertembungan dua pihak berikutan polemik mengenai tulisan jawi diselesaikan menerusi ruang dialog, bukan penganjuran sebarang sidang yang dikhuatiri bakal menghangatkan suasana politik dan kaum.

Khamis lalu, Dong Jiao Zong menggesa pertubuhan Cina lain mendaftar untuk menghadiri kongres membantah tulisan jawi bagi menyuarakan bantahan terhadap pengenalan pelajaran jawi di sekolah vernakular.

Kongres itu dijadual berlangsung di Kolej New Era, Kajang, esok, dengan matlamat kononnya untuk menjaga kedaulatan pihak lembaga sekolah vernakular.

Dalam perkembangan sama, Haji Aminuddin yang juga Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) memaklumkan bahawa pihaknya tidak akan menganjurkan sebarang himpunan bantahan berhubung kongres membantah tulisan jawi esok.

“Kita akan lihat dahulu apa yang berlaku esok sebelum mengambil apa-apa tindakan,” kata beliau.


Tiada ulasan: