Selasa, 10 Disember 2019

Pencipta watak ‘Keluang-Man’ dan ‘Usop Sontorian’ meninggal dunia

MARDHIAH HAYATI ZOLKEPLAI
 


LAJNAH Kebudayaan, Kesenian dan Rekreasi Dewan Muslimat PAS Malaysia merakamkan ucapan takziah buat seluruh ahli keluarga pencipta watak ‘Keluang-Man’ dan ‘Usop Sontorian’, Kamaruddin Ismail atau lebih dikenali dengan nama Kamn Ismail yang meninggal dunia pada usia 63 tahun semalam, 8 Disember 2019.

Almarhum merupakan tokoh pelopor penggunaan teknologi komputer dan aplikasi digital pada 90-an melalui penerbitan animasi Usop Sontorian, seterusnya mencipta dan menerbitkan animasi Keluang Man melalui kaedah hibrid animasi 2D dan 3D.

Sebelum animasi Upin Ipin, Ejen Ali, Boboi Boy dan sebagainya, kanak-kanak era 90-an terlebih dahulu dihiburkan dengan animasi yang bersifat bersahaja namun penuh dengan mesej kemanusiaan, persahabatan dan nilai-nilai positif lain.

Hari ini negara Malaysia telah kehilangan seorang permata dalam dunia animasi, dalam masa yang sama kita yakin dan percaya sudah pasti ramai lagi generasi baru yang berbakat dalam bidang ini yang akan mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa.

Terbaharu, Le’s Copaque menerusi filem Upin Ipin : Keris Siamang Tunggal Berjaya menempah nama standing filem animasi antarabangsa Frozen 2, Toy Story 4 dan lain-lain. Di samping itu, filem Ejen Ali telah berjaya mengutip 6.4 juta selama 3 hari tayangan.

Semoga Malaysia terus maju jaya dalam industri seni. Sekali lagi salam takziah buat keluarga almarhum Kamaruddin Ismail. Semoga segala usaha dan kebaikan almarhum menjadi amal jariah bekalan yang berpanjangan.

MARDHIAH HAYATI ZOLKEPLAI
Pengerusi
Lajnah Kebudayaan, Kesenian dan Rekreasi
Dewan Muslimat PAS Malaysia
 – HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: