Sabtu, 28 Disember 2019

Pas gerak jentera bantu calon UMNO di Kimanis

Takiyuddin (duduk, dua dari kanan) bersama peserta yang menyertai pertandingan mewarna sempena program Back To School, Gunting Rambut Percuma Antara Kaum anjuran Lajnah Perpaduan Nasional Pas Kawasan Kota Bharu hari ini.
 
 
KOTA BHARU - Pas akan menggerakkan jentera partinya untuk memperhebatkan dan membantu gerak kerja kempen bagi memastikan Kimanis kekal di tangan pembangkang pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen itu nanti.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan berkata, jentera pilihan raya terutamanya di Sabah akan digerakkan untuk membantu Barisan Nasional (BN) pada PRK Parlimen Kimanis yang diadakan 18 Januari ini.

Sebagaimana yang telah dilakukan sebelum ini termasuk pada PRK terakhir di Tanjung Piai, Takiyuddin berkata, Pas akan menjadi pembantu secara bersama apabila UMNO meletakkan calon di mana-mana kawasan yang bertanding.

"Pas difahamkan calon dari UMNO Sabah dan Presiden Pas (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) sendiri akan turun (Majlis Pelancaran Jentera BN) pada 1 Januari ini sebagai tanda sokongan kepada UMNO," katanya kepada media hari ini.

Terdahulu beliau menghadiri program Back To School, Gunting Rambut Percuma Antara Kaum anjuran Lajnah Perpaduan Nasional Pas Kawasan Kota Bharu yang turut dihadiri Pengerusinya, Nor Azariza Mohd Alawi di Dataran Cheng Ho di sini.

Ahli Parlimen Kota Bharu itu berkata, berdasarkan momentum sokongan rakyat yang semakin baik kepada pembangkang, Pas yakin calon diletakkan mampu mengekalkan kemenangan lebih-lebih lagi Kimanis adalah kawasan UMNO.

"Biarpun pada PRU 14 lalu, pengundi memilih Pakatan Harapan tetapi Kimanis masih dapat bertahan meskipun dalam majoriti tidak banyak, tetapi boleh menang. Jadi Pas melihat kita masih lagi boleh mempertahankan kerusi pembangkang di Parlimen," katanya.

Sebelum ini juga Takiyuddin berkata, kemenangan BN dalam PRK Kimanis adalah sangat penting bagi menguatkan lagi suara pembangkang di peringkat nasional sebagai semak dan imbang khususnya berkaitan isu melibatkan kepentingan rakyat dan negeri Sabah.

Pas dalam satu kenyataan pada Isnin lalu juga memberitahu akan menghantar pimpinan kanan parti terutama dari Sabah dan Sarawak untuk menghadiri hari penamaan calon pada 4 Januari ini sebagai sokongan.

Tiada ulasan: