Ahad, 29 Disember 2019

PAS agih kekayaan negara jika berkuasa

HARAKAHDAILY



TITIWANGSA: Selaku parti bukan kerajaan yang tidak memerintah Malaysia, PAS sewajarnya tidak mampu melaksanakan program-program kebajikan dan kemasyarakatan tanpa mengira musim kepada rakyat di seluruh negara.

Namun dengan izin Allah, PAS sentiasa melaksanakan usaha dan inisiatif tersebut hampir setiap masa demi mengagihkan sumbangan kepada orang ramai yang memberi kepercayaan dan kerana menunaikan tanggungjawab.

Yang DiPertua PAS Kawasan Titiwangsa, Khairul Anuar Abdul Manap berkata sedemikian semasa pada majlis serahan sumbangan ‘Back to School’ PAS Titiwangsa di Markaz PAS Darul Ummah, Kampung Pandan, di sini kelmarin dahulu.

“Hampir setiap tahun PAS melaksanakan program ini. Dalam keadaan PAS bukan parti politik yang memerintah Malaysia, tetapi atas dasar tanggungjawab dan dengan hasil kutipan sumbangan orang ramai, bantuan ini berjaya diagihkan kepada masyarakat setempat yang memerlukan.

“Dalam keadaan pelbagai fitnah dilemparkan kepada PAS, kita (PAS) dituduh penyamun dan sebagainya, namun tidak pernah lagi kita lihat mana-mana pimpinan PAS didakwa di mahkamah.

Akan tetapi, sejak mereka (parti kerajaan) memerintah negara, seantero masyarakat dapat melihat kekacauan demi kekacauan dilakukan oleh mereka pada negara kita ini,” terangnya.

Tempelaknya, Kerajaan PH pada hari ini memintah dengan cukup haru biru di mana bantuan BRIM kepada rakyat ditarik, malah janji ‘bulan dan bintang’ mereka amat meleset dan tidak memberi keuntungan kepada rakyat.

Beliau turut menyeru seluruh hadirin memberi sokongan dan mendoakan PAS dapat memerintah Malaysia kerana sudah tentu kekayaan negara akan diagihkan sama rata kepada masyarakat ketika PAS memerintah kelak. – HARAKAHDAILY 

Tiada ulasan: