Jumaat, 27 Disember 2019

Menteri kongsi butiran elaun 'sulit'

AIDILA RAZAK
 


Pengumuman pemansuhan bayaran insentif perkhidmatan kritikal (BIPK) kepada doktor baru yang diambil untuk berkhidmat dengan kerajaan, seperti yang diumumkan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menimbulkan bantahan awam.

Antara maklum balas yang diterima adalah desakan agar kerajaan memotong elaun kepada menteri.

Keadaan diburukkan lagi oleh gambar keratan akhbar kabur yang mendakwa menteri kabinet antara lain boleh menuntut elaun meletak kenderaan sehingga RM5,700.

Sumber keratan akhbar itu tidak diketahui tetapi mendakwa butiran tersebut dipetik daripada "maklumat tular di internet". Walau bagaimanapun maklumat ini telah dinafikan.


Jadi sebenarnya berapa yang dibawa pulang oleh seorang menteri?

Gaji bulanan bagi ahli pentadbiran, iaitu anggota kabinet, timbalan menteri dan setiausaha politik, disenaraikan dalam Akta Ahli Parlimen (Saraan) 1980 (Akta 237).

Akta yang sama juga menyatakan bahawa anggota pentadbiran boleh menikmati elaun seperti yang dipersetujui oleh kabinet, selain daripada pendapatan bulanan mereka.

'Tidak sembunyi apa-apa'

Senarai terperinci elaun ini tidak terbuka untuk orang awam, dengan sumber yang dekat dengan kabinet memberitahu Malaysiakini bahawa dokumen itu adalah "sulit".

Walau bagaimanapun, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Saifuddin Nasution Ismail bersetuju untuk berkongsi beberapa butiran, demi ketelusan.
Saifuddin Nasution Ismail
“Fail kerajaan yang sulit bermaksud surat, pekeliling dan dokumen tidak boleh diedar tetapi kandungan atau butiran boleh dikongsi […]

“Ringkasnya, tiada apa-apa yang nak disembunyikan. Pandangan saya dalam isu viral berkait pendapatan (elaun) ialah (utamakan) ketelusan dan jangan seleweng dan rasuah. Selebihnya serah pada rakyat menilai,” katanya.

Menurut Saifuddin, gaji dan elaun menteri kabinet Pakatan Harapan adalah sama dengan apa yang dibayar kepada menteri BN, tetapi ditolak 10 peratus.

Katanya, menteri-menteri PH yang juga adalah ahli parlimen, menikmati elaun yang sama seperti wakil rakyat lain kecuali elaun kehadiran RM400 sehari untuk menghadiri sidang parlimen, katanya.

Beliau berkata selain elaun MP, menteri juga boleh menuntut elaun berikut secara bulanan:
  • Elaun keraian: RM12,000
  • Elaun menteri Kabinet: RM4,000
  • Elaun perumahan: RM4,000 (tidak boleh dituntut jika tinggal di kediaman rasmi)
  • Elaun pembantu rumah: RM2,500
  • Elaun pemandu: RM2,500
  • Elaun tetap ini berjumlah RM25,000 sebulan.
Mereka juga diberikan elaun cuti, termasuk penerbangan kelas pertama atau perniagaan sekali setahun untuk menteri dan pasangannya, serta penerbangan kelas ekonomi untuk anak-anak mereka yang berumur bawah 21 tahun.

Beliau berkata para menteri juga boleh menuntut elaun harian dan elaun makan jika mereka perlu melakukan perjalanan untuk kerja, tetapi dia tidak dapat mengingat jumlahnya tanpa membuat rujukan terlebih dahulu.

“Tak banyak dan tak berbaloi letih. Kecualilah Menteri Luar, Menteri MITI (Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri) dek tugasan setiap bulan travel atau yang memang menteri yang suka berjalan,” katanya.

Elaun lain adalah sama dengan apa yang boleh dituntut oleh ahli parlimen, katanya lagi.

Tidak termasuk elaun dan selepas potongan 10 peratus untuk penjimatan, menteri dibayar RM13,400 sebulan selain gaji RM16,000 sebulan sebagai ahli parlimen, katanya.

Elaun menteri BN terdedah di mahkamah

Pendedahan Saifuddin ini memberi penjelasan kepada perkara yang sebelum ini hanya dapat diagak oleh orang ramai.

Perbicaraan yang sedang berlangsung membabitkan bekas menteri BN juga adalah salah satu cara untuk mendapatkan gambaran tentang elaun yang diberikan kepada menteri.

Saksi baru-baru ini memberitahu mahkamah bahawa Ahmad Zahid Hamidi memperolehi elaun bulanan RM26,215 ketika menjadi timbalan perdana menteri, manakala Tengku Adnan Mansor pula mendapat elaun RM24,320 sebulan semasa menjadi Menteri Wilayah Persekutuan antara 2013 hingga 2018.

Perbendaharaan tidak mendedahkan jumlah elaun yang dibayar kepada menteri, tetapi menyatakan bahawa salah satu perbelanjaannya adalah "Elaun tetap yang dibayar kepada Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri, Timbalan Menteri, Setiausaha Parlimen dan Setiausaha Politik".

Sebaliknya, elaun untuk ahli parlimen, speaker dan timbalan speaker Dewan Rakyat dan Dewan Negara boleh didapati melalui Kertas Statut yang diterbitkan di laman web Parlimen.

Semua menteri kabinet, timbalan menteri dan setiausaha politik juga telah mengisytiharkan pendapatan bulanan mereka, termasuk elaun, dan aset melalui laman web yang dikendalikan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia.
 Sebagai contoh, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata beliau memperoleh RM100,004.32 sebulan, termasuk daripada pelaburan dan pendapatan tidak rasmi yang lain.

Menurut Akta 237, RM22,826.65 itu adalah gaji pokok bulanannya, tidak termasuk elaun.

Berapa elaun anggota Dewan Rakyat?

Tidak seperti anggota kabinet, elaun anggota parlimen diterbitkan melalui kertas statut yang disiarkan di laman web Parlimen.

Ini termasuk elaun speaker dan timbalan speaker Dewan Rakyat dan Dewan Negara
Di samping gaji RM16,000 sebulan, anggota Dewan Rakyat menikmati pelbagai elaun, termasuk:
  • Menghadiri sidang Parlimen - RM400 sehari
  • Menghadiri mesyuarat atau bengkel agensi kerajaan - RM300 sehari
  • Elaun keraian - RM2,500 sebulan
  • Bayaran khas - RM1,500 sebulan (kecuali jika MP adalah ahli pentadbiran)
  • Penerbangan kelas perniagaan dan perjalanan kereta api kelas pertama
  • Elaun hotel semasa di luar negara - bilik standard
  • Elaun hotel apabila bekerja luar kawasan dalam negeri lebih daripada 32 km dari rumah - tidak lebih daripada RM400 semalam
  • Jika tidak menetap di hotel, lojing harian semasa bekerja luar kawasan - RM100 malam (domestik), RM170 malam (antarabangsa)
  • Elaun makanan di luar negara - RM340 malam
  • Elaun perjalanan tetap - RM1,500 sebulan
  • Elaun bahan api - RM1,500 sebulan
  • Elaun tol - RM300 sebulan
  • Elaun pemandu - RM1,500 sebulan
  • Bantuan pakaian majlis ‘black tie’ - RM1,500
Desakan orang ramai agar elaun menteri dipotong timbul selepas JPA mengumumkan bahawa kerajaan tidak akan lagi membayar elaun kritikal sebanyak RM750 sebulan kepada doktor baru yang menyertai perkhidmatan awam bermula 1 Januari depan.

Pemotongan elaun kritikal juga melibatkan lain-lain pekerjaan dalam perkhidmatan awam. Elaun ini adalah sebanyak lima ke 15 peratus gaji bulanan. Jururawat mendapat elaun kritikal sebanyak 15 peratus.

JPA berkata elaun tersebut diperkenalkan untuk menarik kemasukan baru untuk sektor yang diperlukan. Ia tidak lagi terpakai untuk doktor baru kerana tiada lagi kekurangan di sektor tersebut.

Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Abdul Rahman mendesak elaun menteri dan ahli politik juga dipotong, dan menawarkan untuk tidak menggunakan elaun cuti beliau.

Hari ini, beliau mengumumkan Perdana Menteri Dr Mahathir telah bersetuju menangguhkan potongan elaun kritikal sehingga ia dibincangkan di mesyuarat kabinet akan datang.

Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) pula telah melancarkan petisyen untuk menggesa elaun tersebut dikembalikan buat doktor baru, manakala Kementerian Kesihatan akan bertemu dengan JPA untuk membincangkan perkara itu.

Tiada ulasan: