Jumaat, 27 Disember 2019

Menjelang sidang, Dong Zong dan KPM kongsi pentas isu Jawi

NG XIANG YI & ANNABELLE LEE




Di tengah-tengah polemik pengajaran Jawi di sekolah vernakular, wakil Gabungan Persekutuan Pertubuhan Lembaga Sekolah-sekolah Cina Malaysia (Dong Zong) dan wakil Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) berkongsi pentas untuk menjelaskan pendirian masing-masing.

Meskipun mengakui pengalaman belajar Jawi ketika di sekolah dahulu tidak pun menukar agamanya kepada Islam, Setiausaha Agung Dong Zong Ng Chai Heng memberitahu, wujud rasa takut di kalangan ahli kumpulan bahawa tindakan itu akan “mengislamkan” murid.

“Bukan takut kepada Jawi, itu tak betul. Tapi sebenarnya, takut diislamkan,” katanya.

Ng menjelaskan ketakutan itu dan ketidakpercayaan terhadap tindakan kementerian, berpunca daripada tanggapan bahawa murid di sekolah kebangsaan akan ditukar agama kepada Islam.

“Ini bukan apa yang saya lihat, tapi begitulah yang diberitahu. Betul atau tidak, saya tak pasti. Tapi apa yang saya nak beritahu di sini, faktor ketakutan itu ada,” tambahnya.
Ng Chai Heng 
Ng berulang-ulang kali menyatakan bahawa kumpulan pendidikan Cina itu tidak membantah Jawi, tetapi mahu lembaga sekolah turut terlibat sekali dalam menentukan pengajaran tiga muka surat berkenaan Jawi itu kepada pelajar tahun empat sebagai sebahagian silibus Bahasa Malaysia tahun hadapan.

Berdasarkan garis panduan KPM, keputusan mengenai hal itu terletak di tangan ibu bapa dan persatuan ibu bapa dan guru (PIBG). Lembaga sekolah hanya boleh membuat keputusan di sekolah-sekolah yang tiada PIBG, itu pun setelah ibu bapa membuat undian terhadap perkara itu.

Dia turut menggesa KPM untuk lebih terbuka untuk berkomunikasi dengan pihak berkepentingan berkenaan isu tersebut.

Penghargaan terhadap Jawi, bukan Islamisasi

Memberi respons terhadap kebimbangan disuarakan Dong Zong, Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Polisi dan Kurikulum) Habibah Abdul Rahman menjelaskan Jawi dimasukkan dalam buku teks untuk menggalakkan murid menghargai tulisan tradisional Melayu itu ketika belajar tentang mekanik bahasa.

Tegasnya, tujuannya bukan untuk mengislamkan murid.

“Saya tak fikir kita belajar Jawi atau khat itu akan menukarkan agama, kefahaman atau prinsip seseorang. Ia untuk kita belajar bahasa lain, dari segi tulisan itu, dan menghargai seni di sebalik tulisan tersebut...

“Kita tak mundur ke belakang, tetapi untuk kita sedar bahawa inilah warisan kita, yang kita pernah menulis (bahasa Melayu) dalam Jawi (suatu ketika dahulu),” katanya.
Habibah Abdul Rahman
Habibah turut menjelaskan bahawa kabinet memutuskan untuk memberikan suara terbesar kepada ibu bapa dalam menentukan apa yang anak-anak mereka akan pelajari di sekolah.

“Kita tak boleh biarkan PIBG dan lembaga sekolah di satu sekolah yang sama untuk buat keputusan, kerana tak semua PIBG mempunyai hubungan rapat dengan lembaga sekolah.

“Saya fikir itulah kebenarannya, dan kami tak mahu sebarang salah komunikasi (atau) salah faham berlaku antara pihak-pihak yang memainkan peranan penting dalam sekolah,” katanya.

Tambahnya, apabila Dong Zong dan kumpulan-kumpulan lain menyuarakan bantahan terhadap silibus baru Bahasa Malaysia itu sejak Julai, KPM telah berkomunikasi dengan mereka dan meminda silibus tersebut sebanyak lima kali.

Ini termasuklah mengurangkan separuh daripada pengajaran Jawi kepada tiga muka surat, tidak membabitkan peperiksaan, dan menukar fokus pengajaran daripada kosa kata Jawi kepada mengenali tulisan Jawi dalam objek kebangsaan dan objek harian.

Bagaimanapun, dia mengakui bahawa kementerian perlu menambah baik proses libat urus dengan pihak berkepentingan.

Habibah berharap Persidangan Bersama Organisasi Cina anjuran Dong Zong Sabtu ini akan turut mengambil maklum mengenai kesediaan kementerian untuk menangani kebimbangan berhubung Jawi.

“Sekolah tetap akan bermula dan kita masih berfikir tentang Jawi dan ketakutan kita terhadap Jawi… Saya harap kita boleh fikir (mengenai hal ini) dan bergerak ke hadapan,” tambahnya.

Habibah turut berkongsi bahawa Jawi akan turut dimasukkan dalam silibus Bahasa Malaysia darjah lima dan enam yang disemak semula untuk sekolah vernakular. Ia akan dilaksanakan pada tahun 2021 untuk darjah lima dan 2021 untuk darjah enam.

Kebuntuan dan gangguan

Ng dan Habibah berkongsi pandangan mereka dalam “Forum Jawi: Saling Memahami” malam tadi di Dewan Perniagaan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH), anjuran NGO Gabungan Bertindak Malaysia (GBM).

Ia bagi menjernihkan keadaan berhubung persidangan Dong Zong yang akan berlangsung esok (28 Disember).

Dianggap sebagai persidangan anti-Jawi, persidangan itu mengundang kemarahan kumpulan nasionalis Melayu. Ada yang mengancam tindak balas ganas, dan menggesa agar Dong Zong diharamkan sekiranya persidangan itu diteruskan.

Polis dijangka akan turut hadir di lokasi persidangan itu nanti.

Ketika ditemui selepas forum, baik Ng dan Habibah, kedua-duanya tidak berganjak dengan pendirian mereka.

Habibah bertegas bahawa keputusan terbaru KPM berhubung Jawi adalah muktamad, manakala Ng berkata persidangan itu tetap akan diteruskan. Ng berhadap Menteri Pendidikan Maszlee Malik dapat bertemu dengan Dong Zong berhubung isu berkenaan.

“Saya secara terbuka memohon menteri memberi peluang untuk kami bertemu dengannya,” kata Ng.

Pada awal berlangsungnya forum, ada sebahagian penonton yang tidak berpuas hati dengan perjalanan dialog, dan cuba bertanyakan soalan. Antaranya peguam dan aktivis, Siti Kasim.
Siti Kasim
Mereka bagaimanapun ditegah daripada mengganggu perjalanan forum oleh ahli panel, moderator Nathaniel Tan dan penonton-penonton lain.

Siti merupakan sebahagian daripada NGO Gabungan Seni Khat Action Team (Sekat), yang akan menganjurkan kongres berasingan berhubung pengajaran Jawi pada 29 Disember.

Ng menjelaskan acara Sekat itu tiada kaitan dengan Dong Zong.

“Ia bukan dianjurkan oleh Dong Zong, tapi oleh mereka yang tidak berpuas hati. Bagaimanapun, ia organisasi lain,” katanya semasa forum.

Selain Ng dan Habibah, ahli panel lain ialah Presiden Tamil Foundation K Arumugam, Timbalan Presiden Ikram Badlishah Sham, dan Presiden Abim Muhammad Faisal Abdul Aziz, dan anggota Exco KLSCAH Isabella Pek.

Tiada ulasan: