Sabtu, 28 Disember 2019

Mansuh elaun kritikal bermotif politik

nurul atikah

 

Tindakan tak rasional merumitkan banyak perkara

BANGI – Tindakan kerajaan menamatkan pemberian insentif perkhidmatan kritikal bukan satu tindakan rasional tetapi lebih kepada memangsa, melemah dan merumitkan banyak perkara.

Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia, Ir Haji Khairil Nizam Khirudin berkata, belum tiba masanya negara membincangkan mengenai kawalan saiz perkhidmatan awam.

“Kami melihat, belum masanya negara membicarakan mengenai kawalan saiz perkhidmatan awam dan menyatakan kebersamaan dengan para penjawat awam.

“Kami gesa kerajaan kaji perjawatan yang memerlukan elaun berkaitan, bukan pemansuhan atau ketidakselarasan yang bakal melemahkan motivasi perkhidmatan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Pada masa sama, Khairil menyifatkan pekeliling baharu Kerajaan Persekutuan tidak dilihat sebagai satu langkah pengukuhan, malah dilihat sebagai satu motif yang berkaitan dengan politik.

“Pekeliling baharu Kerajaan Persekutuan berkaitan pemberian elaun perkhidmatan awam hakikatnya tidak dilihat sebagai satu langkah pengukuhan, sebaliknya dicurigai menghala ke satu motif berkaitan politik.

“Dalam pada itu, banyak pihak melihat ia berada dalam kerangka untuk mengecilkan saiz perkhidmatan awam di negara ini,” katanya.

Mengulas lanjut perkara itu, Khairil berkata, perkhidmatan awam dikatakan sebagai jentera terpenting dalam kerajaan yang menjadi penghubung kepada rakyat.

Malah, katanya, tindakan yang dilakukan berkaitan jumlah perjawatan ini adalah satu langkah mengundur ke belakang oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Perkhidmatan awam selaku jentera terpenting kerajaan menjadi penghubung dengan rakyat yang memerlukan keupayaan mereka sentiasa diperkasakan.

“Oleh itu, tindakan berkaitan jumlah perjawatan dan elaun ini adalah satu langkah berundur ke belakang yang dibuat pihak kerajaan PH. Ia pasti memberi kesan negatif di masa hadapan,” katanya.

Semalam, Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq mengumumkan, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohammad bersetuju bagi menangguhkan pemansuhan Bayaran Insentif Perkhidmatan Kritikal (BIPK) bagi penjawat awam 33 Skim Perhidmatan Krtitikal.

Beliau berkata demikian, menerusi rakaman video di laman Twitter rasminya, Syed Saddiq berkata, Dr Mahathir juga setuju untuk membincangkan isu berkenaan dalam mesyuarat Kabinet pertama tahun hadapan.

“Sebentar tadi saya berbincang dengan Perdana Menteri berkenaan isu elaun kritikal dalam pekeliling baharu JPA (Jabatan Perkhidmatan Awam).

“Alhamdulillah, Perdana Menteri bersetuju untuk menangguhkan pekeliling JPA yang baharu mengenai elaun kritikal dan Kabinet akan bersama-sama membincangkan isu ini pada Mesyuarat Kabinet yang pertama pada Januari depan,” katanya.


Tiada ulasan: